Zaid Z Rashid

We are currently working on a new website.
Stay tuned for more information.

to stay updated on our progress.

Kunci Dunia




Kata orang, zaman ini kemuncak kepada kemajuan dunia(atau hampir kepadanya). Maksudnya, tamadun manusia hari ini telah mencapai aras yang agak luar biasa jika dibanding dengan zaman sebelum ini. Apa tidaknya, dalam masa sesaat kata-kata orang kampung pendalaman pun boleh keliling dunia. Internet, pengangkutan, teknologi perubatan, gajet elektronik, alatan perang yang pelbagai rupa dan sebagainya. Canggih. Semua perkara menjadi mudah.

Saya rasa, tidak keterlaluan sekiranya kita sandarkan segala kemajuan yang dunia miliki hari ini dipelopori oleh Rasulullah s.a.w. khatimul anbiya’. Betul tak?

*    *    *    *    *    *

Kemajuan Malaysia yang saya kira tidak kalah hebatnya ini bermula sejak zaman pemerintahan Dr Mahathir.  Sungguh, beliau diiktiraf sebagai bapa pemodenan negara. Kini Malaysia ialah negara kelas ketiga yang paling menonjol, antara negara Islam yang termaju dan terkehadapan dan yang paling aman. Malaysia sudah tidak janggal dalam komuniti antarabangsa. Negara ini mempunyai nilai perbezaan hidup antara ethnik atau luar bandar dengan bandar yang paling rendah antara seluruh negara ASEAN dan negara termaju dalam kalangan ASEAN selepas Singapura. Memang, kita masih jauh dalam menyaingi kuasa barat, bahkan kita masih bergantung terhadap mereka. Namun apa yang jelas ialah, negara ini telah mengalami perubahan yang agak drastik, dan kita telah bergerak meninggalkan negara yang dahulunya setaraf dengan kita. Kita adalah negara kelas ketiga yang berkembang.  Di paruh waktu ini, Malaysia sudahpun menjadi salah satu negara perdagangan utama dunia dan berada di peringkat ke-21 dunia sebagai negara pengeksport pada tahun lalu.

Malaysia 50 tahun yang lalu tidaklah seperti yang digambarkan sekarang. Jauh berbeza. Bukan sahaja tertinggal  dalam bidang ekonomi, bahkan politik, sosial, kerohanian, psikologi  serta aspek persatuan nasional dan sosial. Jalanlah di bandar Kuala Lumpur sekalipun, kita susah untuk menemui bangunan-bangunan tinggi. Pekerja mahir tidaklah ramai berbanding sekarang, orang-orang terpelajar sudah bersepah di negara ini. Tidak ramai orang yang berkemampuan untuk memiliki kereta peribadi, berlainan dengan Malaysia kini yang purata penduduknya mempunyai kereta peribadi walaupun masih lagi belajar. Tidak hairanlah kalau kita tersepit di tengah bandar, menunggu kesesakan kereta pulih.

Ciri masyarakat Malaysia juga telah berubah. Penduduk negara semakin moden dan berpendidikan manakala golongan berpendapatan pertengahan semakin bertambah. Cuba imbas, atuk dan nenek kamu dulu kerja apa? Tentu susah untuk menemui warga tua yang berpendidikan dan bekerja professional. Amat sedikit warga terdahulu dapat bekerja di bandar. Kebanyakan dari generasi awal mengamalkan ekonomi sara diri dan yang agak bertuah dapatlah menjadi guru, atau mana-mana kerja semi-profesional. Namun hari ini, bercita-cita untuk menjadi pensyarah, doktor atau jurutera tidak dilihat mustahil. Sudah ramai pekerja mahir, peluang pendidikan pun terbuka luas.

Mengikut penyataan penganalisis ekonomi, duit negara paling banyak dihabiskan pada zaman pemerintahan Dr Mahathir. Ini dipengaruhi oleh banyak faktor, selain tempoh pentadbiran yang panjang. Uniknya, duit negara yang digunakan paling tinggi nilainya adalah pada sektor pendidikan. Ya, banyak bangunan tinggi dibina dan projek dilaksanakan namun duit negara yang dihabiskan pada zaman pentadbiran Tun mencatatkan rekod yang tertingi adalah pada sektor pendidikan iaitu pembinaan universiti, pembiayaan, memberikan biasiswa, bantuan kewangan, menaikkan taraf pendidikan luar bandar dan sebagainya. Sedikit banyak, pemikiran rakyat telah berubah. Banyak universiti tempatan dibina, peluang pendidikan juga terbuka luas. Ini ialah pelaburan yang besar. Ramai berpeluang menyambung pelajaran dan membaiki kualiti hidup masing-masing. Akhirnya mereka akan bekerja dan berbakti pada Negara dan menjadi titik tolak kepada kemajuan Malaysia. Gagasan Wawasan 2020 (kalau tak silap) digerakkan pada awal tahun 1991, setelah sedekad Tun menaikkan kualiti sektor pendidikan. Perubahan sikap masyarakat terhadap ilmu inilah yang telah membawa perubahan yang besar kepada Malaysia.

Kemajuan Malaysia yang kita nikmati hari ini adalah kerana perubahan yang berlaku sejak kita menghargai ilmu.

*    *    *    *    *    *

Eropah juga tidak banyak berbeza dengan kita. Eropah pada kurun-kurun yang lepas tidaklah seperti sekarang. Dari aspek teknologi dan penyelidikan, tentulah berbeza, kerana dunia belum lagi membibitkan era modenisasi. Maksud saya adalah dari aspek politik, ekonomi  dan sosial mereka. Psikologi mereka lemah. Mereka adalah bangsa sampah yang tiada keyakinan diri. Hidup mereka gelap, miskin, tertindas dan kotor. Mundur. Gambarannya, dapat disimpulkan sewaktu perang salib yang pertama. Crusade War ini sangat memalukan. Atas kejayaan Paul melakukan provokasi, beliau menghimpunkan ribuan orang barat dan mengerah mereka untuk merampas kembali Baitul Maqdis yang ketika itu berada di bawah kuasa Empayar Islam.

Mereka bersemangat, tapi tidak persediaan. Tiada Langsung. Mereka sangat miskin, sehinggakan tidak mampu menyediakan alatan perang dan akhirnya cangkul, besi, parang dan kayu-kayu dijadikan senjata. Bekalan makanan mereka juga tidak mencukupi, apatah lagi kalau nak bertanya tentang ubat-ubatan. Belum sampai lagi ke tanah suci Baitul Maqdis, lebih separuh daripada tentera mereka mati kerana kebuluran dan penyakit. Begitulah teruknya bangsa mereka suatu ketika dahulu. Bandinglah dengan barat hari ini, perangnya siap dengan jet-jet yang terlaju di dunia. Negara mereka maju dan menjadi kiblat dunia. Kenapa begitu ketara perbezaannya? Apa yang mereka lakukan? Sejak bila mereka berubah?

Jawapannya adalah Rennaisance.

Zaman dimana mereka mula sedar akan kepentingan ilmu. Mereka mendapatkan kesedaran. Bermulalah projek mereka dalam mencedok mutiara ilmu daripada Empayar Islam dan mengkaji semula falsafah-falsafah dunia termasuk falsafah Islam, falsafah Yunani dan lain-lain. Mereka menghantar orientalis untuk mengkaji kekuatan umat Islam, mengkaji teknologi dan penyelidikan, dan mereka kembali kembali ke tanah air mereka untuk bawa sebuah perubahan. Harapan baru.

Titik inilah yang telah membawa perubahan yang menyeluruh pada tamadun barat. Dan perubahan baratlah yang telah menjadi titik tolak kepada perubahan tamadun dunia.

*    *    *    *    *    *

Pada awal perlantikan Obama, beliau pernah mengadakan lawatan ke Mesir, sebagai manifesto untuk memulihkan hubungan antara dunia barat dan dunia Islam. Dalam perhimpunan itu, beliau berjaya menarik perhatian ramai dengan memulakan ucapannya dengan ucapan salam. Ini menimbulkan pelbagai respon daripada umat Islam. Apa yang penting, dalam ucapannya Obama menakui bahawa tamadun barat yang mereka banggakan hari ini adalah hasil mereka menculik mutiara-mutiara dari Empayar Islam.

Benar, barat memang terhutang budi dengan Islam.

Saya tidak pernah manusia atau mana-mana tokoh yang hidup sebelum Rasulullah S.A.W. berbicara tentang kepentingan ilmu. Tidak pernah sekalipun. Saya tidak tahu ada bangsa sebelum umat Islam yang begitu menghargai ilmu seperti mereka dan tokoh-tokohnya sentiasa menekankan ilmu. Sebutlah, Socrates atau Plato, Chin atau Buddha, Alexender atau mana-mana tokoh sebelum baginda yang memberitahu bangsanya kepentingan ilmu dan menyuruh mereka mendapatkannya secara serius.Tak tahulah, mungkin sebab saya bukan dari tamadun mereka. Ada juga dengar Chinese proverb dan sikit-sikit bercerita tentang ilmu. Dan, mengikut kajian mereka juga mengadakan peperiksaan dan majlis-majlis ilmu. Tapi agenda itu bukanlah agenda yang berkembang secara spesifik seperti yang berlaku dalam tamadun Islam. Bezanya seperti pendidikan di tanah air sebelum merdeka dan selepas merdeka. Tentu berbeza bukan? Kajiannya formal, tersusun,dirancang kemas dan berterusan.

Saya yakin, nabi Muhammad S.A.W. adalah manusia pertama yang memberitahu umat manusia keseluruhannya akan kepentingan ilmu.

“ Barangsiapa yang mahukan dunia, hendaklah dia berilmu. Barangsiapa yang mahukan akhirat, hendaklah dia berilmu. Dan barangsiapa yang menghendaki kedua-duanya, hendaklah dia berilmu.” Hadith

Ya, memang benar sebelum kedatangan nabi s.a.w. terdapat tokoh ilmuwan yang hebat. Mereka bijak pandai. Namun mereka tidak sehebat nabi Muhammad s.a.w. dalam menjadikan seluruh bangsa mereka juga menjadi bijak pandai. Mereka tidak memberitahu tamadun manusia bahawa ilmu itu penting. Mungkin, mereka cuma memberitahu anak-anaknya sahaja. Atau, anak-buahnya yang terdekat sahaja. Ini tidak akan mampu membentuk sebuah tamadun manusia yang maju.

Siapa sebenarnya yang memberitahu tamadun manusia bahawa ilmu adalah kunci segala-galanya?

“Dan tidaklah (betul dan elok) keluar semuanya (pergi berperang); hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap puak di antara mereka, supaya yang tinggal itu mempelajari secara mendalam(tafaqquh) ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka, agar mereka itu dapat menjaga dirinya.” (at-Taubah 9:122)

Walaupun anda seorang pejuang, tidak bermakna anda terlepas daripada kewajipan menuntut ilmu.

“Menuntut ilmu itu adalah kewajipan bagi setiap individu Muslim.” Sabda Baginda.

Sehinggalah menuntut ilmu itu menjadi budaya umat Islam.

Lihat, bagaimana Islam memberitahu kita bahawa manusia pernah dicemuh dan ditolak oleh para malaikat sewaktu bapa kita,nabi Adam dilantik menjadi khalifah. Namun kita diterima selepas Allah melengkapkan Adam a.s dengan kekayaan ilmu.

“Dan Dia telah mengajarkan nabi Adam, akan segala nama-nama benda dan segala gunanya, kemudian ditnjukkan kepada para malaikat lalu ia berfirman; ‘ Terangkanlah kepada-Ku nama-nama benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar’. Malaikat menjawab; ‘Maha Suci Engkau (ya Allah)! Kami tidak mempunyai ilmu pengetahuan selain apa yang Engkau ajarkan pada kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahuia lagi Maha Bijaksana.’ Allah berfirman; ‘ Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semuanya kepada mereka.” (al-Baqarah 2:31-33)

Al-Quran juga menunjukkan kelebihan orang yang berilmu atas orang yang jahil dengan firmanNya yang bermaksud :

“Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna” (az-Zumar 39:9)

Dan Allah juga menasihati kita dalam firmanNya:

“…oleh itu, bertanyalah kamu kepada ahli Zikr jika kamu tidak mengetahui” (an-Nahl 16:43)

Islam adalah satu-satunya agama yang mengajak umatnya berfikir tentang diri, alam, sains, dan lain lain dalam kebanyakan ayat. Tidak lupa juga tentang bertanya. Kalau kita tidak tahu atau kelompongan ilmu, maka bertanyalah pada orang-orang yang mahir. Kalau semangat inquiri(persoalan) itu dikatakan pencetus kepada renaissance dan kejayaan barat, maka Allah telah menanam sikap ini dalam peribadi tentera-tenteraNya sejak awal pertumbuhan Islam lagi.

Setelah itu, banyaklah penerokaan yang dilakukan oleh muslimin untuk mendapatkan ilmu atas dasar Iman. Bahkan kewajipan ini tidak boleh lari dari umat ini. Kerana, untuk mengerjakan solat kita harus menghadap kiblat dan solat mestilah dilaksanakan pada waktu yang telah ditentukan. Ini memerlukan kemahiran dalam ilmu geografi dan astronomi. Demikian juga, terdapat keperluan asas untuk memahami kandungan al-Quran untuk mengenalpasti fakta sejarah, cerita-cerita pengajaran, juga merujuk kepada ilmu sains yang terkandung di dalamnya. Benarlah sabda nabi bahawa menuntut ilmu itu kewajipan bagi setiap Muslim. Akhirnya lahirlah ramai ilmuwan Islam yang menjadi pelopor kepada kemajuan dunia, setelah mereka berjaya meneroka ilmu-ilmu baru seperti teknologi perubatan, dasar politik dan sosial, falsafah, sejarah, geografi dan sebagainya.

Di sinilah (antara perkara) dunia mendapat Rahmat dari Islam. Rahmat ilmu. Bahkan tamadun Islam bermula dengan ilmu. Lupakah kita, wahyu pertama yang diturunkan kepada nabi di gua Hira’?

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan dari segumpal darah beku, Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Inilah titiknya. Permulaan bagi sebuah perubahan tamadun manusia.

*    *    *    *    *    *

Asas penghambaan pada Allah adalah ilmu.

Asas tamadun Islam juga adalah ilmu.

Hari ini, dunia menikmati atau sengsara dengan kemajuan yang ada, saya pun tidak tahu.



الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها  فهو  أحق  بها  (رواه  الترمذي)

Maksudnya: Al-Hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Riwayat Tirmizi).

Seronok hidup di sekolah. Bulan tujuh yang lalu saya menyertai pertandingan debat antarabangsa di Kuala Lumpur. Dan kini, sedang menduduki trial SPM peringkat negeri. Budaya ilmu itu hidup dan ia merangsang diri saya. Saya tahu budaya ini berasal daripada tamadun Islam, yang kini telah dilenyapkan.

Saya tidak tahu bagaimana hendak menyimpulkan risalah kali ini. Saya bertemu dengan manusia di pelbagai peringkat. Saya ini tidaklah tahu banyak mana. Tulis-tulis pun sikit sahaja. Cuma saya terserempak dengan quote yang menakutkan.

" (Kehebatan) Islam ditutupi oleh kebodohan umatnya."

Inilah yang menggerakkan saya untuk bersurat dengan semua. Ia merisaukan. Tamadun kita, umat Islam jatuh sendiri di tangan kita. Tangan yang tidak reti menulis. Tangan yang tidak reti mencipta dan mengangkat pedang. Tangan yang dungu. Tiada kebolehan.

Saya hairan. Budaya ilmu yang dipelopori oleh tamadun kita hilang, dirampas oleh tamadun lain. Saya merasa cemburu, kerana budaya ini milik kita pada asalnya, namun dilupai dan akhirnya dihidupkan oleh bangsa-bangsa lain.

Benar, manusia diciptakan dengan kelemahan dan kekurangan ilmu. Agar, kita berusaha mendapatkannya. Bukan berputus asa dan berdiam diri. Saya geram melihat sikap enteng mereka (sesetengah muslim) terhadap ilmu. Gawat, tahu? Inilah yang menjatuhkan kita.

Anak Muslim, bangun dan rampas kembali kunci itu, masa depan milik kita.








Trial SPM 2011- Lusa bios logos.


Zaid b Zainur Rashid
16 September 2011
Powered by Blogger.

Rakan

My Blog List

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Sampaikan Ke Peti Email

Terjemah

Follow by Email

Risalah yang Dibaca

Labels

Followers

Blog Archive