Zaid Z Rashid

We are currently working on a new website.
Stay tuned for more information.

to stay updated on our progress.

Melangkah Merdeka


Aduhai bangsa ke mana pergi,
menghayun keris di kampung sendiri,

teruslah bapak teruslah mati,
teruslah anak teruslah menanti,

- - - - - - - - - -

Habis keturunan silih berganti,
habis kalimat dijadikan janji,



masih mengemis mengharapkan mimpi,
masih menangis dek dianak tiri,

- - - - - - - - - -

tak perlu jerit tak perlu sakti,
tak akan kita megah berdiri,

selagi hati dibiar mati,
tersepit jiwa mengikut diri.


Zaid b Zainur Rashid
9 November 2012
Kedai Roti
Ipoh, Perak.

Surat Untuk Manusia

Wahai saudara semanusia,
saya ada surat yang ingin saya bacakan kepada saudara. Surat ini memang dihantar untuk saudara, jadi saya berharap saudara boleh membacanya dengan penghayatan.

* * * * * * *


Wahai manusia seluruhnya,
sesungguhnya kamu ini satu, kamu tidaklah pecah-pecah, tidak lain-lain, tiada berbeza, melainkan semua dari kamu adalah perkara yang sama ; manusia.

Kamu bercakap dengan berlainan bahasa, menetap di bertentangan negara, berkelompok dan berbeza warna, tetapi kamu semua tetap manusia, manusia semuanya, manusia yang sama.

Wahai manusia,
ketahuilah bahawa kamu pada asalnya tiada, lalu kamu dicipta.

Bukan kamu yang paling awal, bukan kamu terjadi secara tidak sengaja. Bahkan kamu telah dicipta, lalu kamu membiak menjadi ramai sehingga hampir-hampir kamu lupa dari mana kamu pada asalnya.

Wahai manusia,
ketahuilah bahawa kamu telah dicipta, oleh Tuhan, Dia hanya satu, dan tiada bagiNya sekutu mahupun pembantu, Dialah Allah yang maha Kuasa.

Wahai manusia,
percayalah, bahawa Allah itu benar-benar wujud, tidaklah bagi kamu kekuatan untuk melihatNya atau mencapaiNya, dan tidaklah bagimu jalan untuk mengenalNya melainkan pada jalan yang telah Dia benarkan untuk para manusia yang Dia cipta. Percayalah, bahawa Allah benar-benar telah menciptakan asalmu, kemudian Allah menjaga pembiakanmu, dan membiarkan kamu hidup di dunia, dan percayalah bahawa tidaklah Allah membuatkan segala perkara itu dengan sia-sia.

Percayalah, bahawa Allah benar-benar menciptakan kamu, dan menghantarkan kamu ke dunia, dengan sebab dan tujuan yang tertentu, dengan tugas yang perlu kamu jalankan, dengan perjanjian yang perlu kamu tunaikan. Dia tidak menciptakan manusia saja-saja, Allah tidak menciptakan kamu agar kamu pilih jalan sendiri dan tidak pula supaya kamu hidup dengan cara sendiri.

Namun kebanyakan daripada kamu manusia, yang sudah membiak dan bermacam warna ini, akhirnya lupa tentang semua itu. Maka diambillah batu dan matahari sebagai tuhan, dan ditafsirlah asal usul mu kononnya dari haiwan, agar kamu boleh menolak hakikat bahawa kamu sebenarnya diciptakan, supaya kamu boleh mengingkari kebenaran yang kamu ini milik tuhan.

Kamu lupa, dan kamu derhaka.

Lalu dengan rahmatNya, dia telah memilih seorang daripada kamu, untuk dibongkarkan baginya sedikit rahsia, iaitu rahsia tentang hakikat kehidupan, supaya dia beritakan kembali kepada kamu semua apakah kebenaran yang perlu kamu patuhi, lalu si utusan dari kalangan kamu itu pun menerangkanlah, lalu jadilah sebahagian daripada kamu yang percaya, dan sebahagian daripada kamu yang berpaling darinya.

Maka pecahlah kamu manusia yang satu menjadi dua, iaitu, mereka yang percaya akan berita daripada si utusan Allah, dan mereka yang mengingkari akan berita. Ketahuilah, orang yang telah mengingkari utusan Allah dan segala beritanya, benar-benar telah melampaui batas.

Wahai manusia,
Ingatlah, ketika hari di mana kamu belum masuk ke dalam jasad di dunia, kamu seluruhnya, kepada Allah, menghadap, dan Dia telah mengambil janji daripada kamu, lalu kamu pun segera berikrar akan kesempurnaanNya, dan kamu patuh terhadap ketuhananNya, dan kamu tunduk kepada kuasaNya, lalu Dia pun membahagi-bahagikan dan meniupkan ruh kamu ke dalam daging pada rahim ibumu, maka jadilah kamu tulang -yang diselaputi daging tadi- bergerak, sedangkan pada asalnya kaku, lalu Dia menjadikan bagimu pendengaran dan penglihatan, agar tidak kamu berkata pada hari kamu dikembalikan, sesungguhnya kami, terhadap perkara ini, termasuk di kalangan orang yang lalai.


وإذ أخذ ربك من بني ءادم من ظهورهم ذريتهم وأشهدهم على أنفسهم ألست بربكم قالوا بلى شهدنا أن تقولوا يوم القيامة إنا كنا عن هذا غٰفلين



Benar bukan? Apabila ditiupkan ruh itu, maka itulah yang menjadikan darah-darah kamu mengalir, menjadikan pancaindera kamu berfungsi, lalu bergeraklah jasad itu dengan indahnya, lalu kamu membesar dan menjadi tua, dan dicabutkan ruh kamu daripada jasad kamu yang sempurna, maka jadilah ia daging dan tulang yang kaku, tanpa pergerakan, tanpa pancaindera, seperti yang asalnya.

Wahai manusia,
Tahukah kamu ke manakah ruh kamu pergi selepas itu?

Ruh kamu akan diterbangkan ke alam barzakh, iaitu alam kematian dan alam persediaan, sebelum kepada hari yang kamu akan kembali dibangkitkan.

Wahai manusia,
percayalah, bahawa selepas kematian kamu di dunia, akan ada kehidupan lain selepasnya. Kamu akan dibangkitkan daripada kubur-kubur kamu, bahkan kamu sedang kembali kepada Allah, yang telah menjadikan kamu pada asalnya, dan dibangkitkan lagi sekali selepas kematian kamu di alam dunia.

Maka berdirilah kamu seluruhnya, daripada bapamu yang paling tua sehinggalah anak-keturunan kamu yang paling hujung, di padang mahsyar dalam keadaan resah dan ketakutan, masing-masing berpeluh dan kerisauan terhadap kesudahan dirinya, adakah dia akan dihina, ataupun dia diangkat mulia.

Wahai manusia,
pada hari itu, terputuslah segala pertalian, tidaklah ibu mengenal anaknya, tidaklah anak terfikir akan bapanya, sungguh, kamu tak akan kisah untuk berpaling dari sahabat ataupun kerabat, teman ataupun kekasih.

Pada kehidupan selepas kamu mati itu, tiadalah guna anak-anak dan pangkat, tiadalah nilai emas dan perak, apalah gunanya dunia yang kamu kejar-kejar dahulu, yang kamu malu dan resah jika ia hilang dari kamu, yang kamu hina dan memandang rendah bagi mereka yang tidak mengejarnya, yang kamu kata kolot, sesat, akhirnya manakah kemajuan yang kamu bangga-banggakan, adakah dia boleh menebus diri kamu daripada apa yang telah ditetapkan Allah?

wahai manusia,
percayalah bahawa surga dan neraka itu benar, dan itulah tempat balasan, itulah tempat pengembalian bagi manusia, surgalah tempat tinggal bagi orang yang yakin akan berita, dan nerakalah seburuk-buruk balasan, untuk mereka yang yang meragui kebenaran.

Wahai manusia,
percayalah akan kehidupan selepas kematian.

Wahai manusia,
percayalah bahawa kamu adalah hamba yang diciptakan.

Wahai manusia,
bersaksilah, bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad adalah utusan Allah.

Wahai manusia,
tunduklah dan serahkanlah dirimu kepada Allah, nescaya kamu mulia, nescaya kamu selamat.

Wahai manusia,
percayalah kepada berita yang disampaikan oleh utusan yang tidak meminta imbalan daripada kamu, dan patuhlah terhadap apa yang telah diarahkan oleh Allah dan jauhilah dirimu dari apa yang dilarangNya, dan sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang ingkar.

* * * * *


Para ulama tidak menjadi kaya dengan keimanan saudara. Ustaz ustaz tidak pula menjadi kenyang dengan islamnya saudara. Para pendakwah tidak meminta apa-apa daripada saudara melainkan ketundukan kepada Tuhan yang telah menciptakan kita, Allah azza wa jal, tidaklah hina orang yang mendekatiNya dan tidaklah mulia orang yang menjauhiNya. Dan kepada Allah kita akan dikembalikan.



Zaid b Zainur Rashid
STAM dan Aidhil Adha
Akademi Ikatan Muslimin

Perutusan Ramadhan 1433H Majlis Perwakilan Pelajar AIM

(Artikel diterbit di laman web rasmi Akademi Ikatan Muslimin )

Rasulullah s.a.w. pernah memberi khutbah kepada para sahabatnya tatkala ramadhan bakal menjelang :

" أيها الناس : قد أظلكم شهر عظيم مبارك , شهر فيه ليلة خير من ألف شهر, شهر جعل الله صيامه فريضة وقيام ليله تطوعا , من تقرب فيه بخصلة كان كمن أدى فريضة فيما سواه , ومن أدى فريضة فيه كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه , وهو شهر الصبر , والصبر ثوابه الجنة , وشهر المواساة وشهر يزاد فى رزق المؤمن فيه , من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار , وكان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيء .."


Maksudnya: “ Wahai manusia ! Kamu akan dinaungi satu bulan yang agung, yang penuh keberkatan. Bulan yang terdapat di dalamnya satu hari yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan berpuasa di dalamnya satu fardhu dan menghidupkan malamnya sebagai amalan sunnah.

Sesiapa yang menghampirkan dirinya kepada Allah menerusi amalan sunnah, dia seperti melaksanakan satu amalan fardhu selain amalan sunnah tersebut, dan sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu di dalamnya (bulan Ramadhan), dia seperti menunaikan 70 amalan fardhu selain amalan fardhu tersebut. Ia adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya ialah syurga. Ia juga adalah bulan memberi pertolongan dan bantuan.

Ia bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman bertambah. Sesiapa yang menyediakan makanan kepada seseorang yang berbuka puasa , tindakan itu akan mengampuni dosa-dosanya dan membebaskan dirinya daripada api neraka, bagi dirinya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa sebarang pengurangan..."

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah tuhan yang telah menyempurnakan agamaNya, melengkapkan nikmatNya, meredhai Islam sebagai cara hidup dan memberi kita petunjuk untuk melaksanakannya. Allahumma amankanlah dan sejahteralah bagi junjungan mulia Muhammad Rasulullah serta ahli keluarga baginda, para sahabatnya dan mereka yang mengikuti jejak langkahnya sehingga akhir zaman.

Alhamdulillah pada tahun ini kita diberi peluang dan kesempatan lagi oleh Allah s.w.t untuk menghadapi dan menyambut bulan yang mulia, bulan Ramadhan.

Peluang adalah perkara yang sering kita mengalami dalam hidup kita, padanya terdapat pilihan untuk berkorban atau terkorban, dan kita akan mengakhiri peluang itu dengan kepuasan atau kekesalan, kerana peluang itu datang dan pergi dengan ketetapan, bukannya atas kuasa pilihan kita.

Hari ini Allah telah memberi kita lagi satu peluang dan cabaran, samada kita berjaya merampasnya atau kita yang tertinggal.

Iaitu peluang merebut ganjaran dan pahala yang dilipatgandakan, yang ganjarannya tidak sesuai langsung dibandingkan dengan amalan dan pengorbanannya, ibarat membeli sebuah kereta BMW dengan harga puluhan Ringgit Malaysia sahaja!

Ramadhan adalah bulan yang Allah sediakan bagi para hambanya dikalangan ummat Muhammad s.a.w untuk melatih dan mentarbiah diri mereka, memantapkan iman mereka, mengukuhkan kedudukan mereka dan membuka jalan-jalan kemenangan bagi mereka. Pada bulan inilah Allah telah memenangkan dan memuliakan ahli Badar, meninggikan kedudukan orang Islam dalam peperangan Ain Jalut dan sebagainya.

Ramadhan adalah madrasah tarbiah daripada Allah, telah lengkap objektif dan silibusnya digariskan sendiri oleh Allah untuk mentarbiah seluruh ummat Islam. Bulan ini akan melahirkan individu yang bertaqwa, masyarakat yang prihatin dan negara yang maju dan bertamadun. Sepertimana yang diterangkan di dalam al-quran, manusia itu dimuliakan dengan adanya taqwa dalam dirinya, dan itulah objektif yang harus dicapai oleh setiap individu muslim.

Maka dengan itu, Allah telah mensyariatkan kewajipan berpuasa sepanjang bulan Ramadhan, dengan inilah Allah menguji para hambaNya agar terus bersabar, mendidik supaya menahan diri dari melanggar larangan-laranganNya dengan menahan diri dari makan, minum, mencampuri isteri, berkata kesat dan sebagainya. Siapakah yang akan menghalang kita dari makan dan minum disebalik tabir atau ditempat yang tersorok selain ketaqwaan kita kepada Allah? Kalau perkara harus pun kita berjaya tahan diri kita dari melakukannya sepanjang bulan ramdhan, tentu perkara haram tidak menjadi masalah untuk kita menghindarinya!

Selain dituntut untuk memperbanyakkan ibadah, memanjangkan solat malam, membiasakan zikir, tilawah al-quran, mengimarahkan masjid dan menyemai sifat mahmudah dan membuang sifat mazmumah, dengan memperbanyak sedeqah dan memberi hadiah, saling menasihati dan tolong menolong., bulan ini juga Allah mengajar kita menguruskan kehidupan dengan jadual masa seharian yang kemas dan teliti. Bulan ini juga bulan motivasi.

Cuba bayangkan, pada hari atau bulan bulan lain, bolehkah kita menjalankan tugas kita seperti biasa, bersemangat, jika kita terlepas sarapan atau makan tengahari? Secara umumnya, tentu kita akan sedikit mengomel kalau kita terlepas jadual makan pada hari biasa dan produktiviti pasti akan menurun. Tetapi, dengan mengisi perut sebanyak 2 kali sahaja di bulan ramadhan, sepatutnya kita tetap dapat menjalankan kerja seperti biasa, itu tentu melatih dan memerlukan motivasi yang tinggi.

Barangkali sesetengah orang jemu mendengar kelebihan Ramadhan diulang-ulang, tentu kerana tiada usaha untuk mengejar dan mendapatkannya. Sesungguhnya hidayah dan taufiq itu adalah milik Allah semata-mata, seharusnya kita berusaha mendapatkannya dengan memperbanyakkan doa dan mempamerkan kesungguhan kita kepada Allah tentang keinginan kita terhadap petunjukNya.

Dengan kelebihan yang Allah limpahkan pada bulan Ramadhan ini, hendaklah kita mengubah diri dan memperbanyakkan amal. Masa inilah masa yang paling mulia. Masa inilah masa yang paling berharga. Masa inilah masa untuk kita mentarbiah diri kita. Masa inilah masa untuk menjadi muslim yang lebih baik, dan lebih hampir kepada Allah.

Kalau bukan ramadhan, bila lagi?

Kemuliaan ini tidak dijumpai di bulan yang lain. Kemeriahan beramalnya tak mungkin ditandingi dengan hari hari yang lain. Kalau bukan ramadhan, maka bila agaknya kita mampu berubah? Logiknya, mustahil kita berjaya di bulan lain jika kita gagal melakukannya di bulan ramadhan!

Akhir sekali, seluruh Ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Akademi Ikatan Muslimin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan selamat mentarbiah diri. Semoga ramadhan kali ini lebih baik daripada ramadhan pada tahun tahun yang lalu, dan semoga Allah mendengar doa kita dan memperkenankannya, dan menerima amalan kita dan memasukkan kita di kalangan hambaNya yang ikhlas. RAMADHAN KAREEM.

Wassalam.



Zaid Bin Zainur Rashid
1 Ramadhan 1433
Akademi Ikatan Muslimin
Ipoh, Perak.

PRU-13 : Peranan Kuasa Ketiga

"Badai, malu tahu tak jalan sebelah enta" kata seorang kawan serombongan kepada saya.

Saya pun agak terkejut. Kampung saya di Pasir Puteh. Selama saya ulang-alik dan duduk di Kelantan, tak tahu pulak saya ada Balai Islam semewah itu di Kota Bharu.

Kami datang agak awal, saya rasa kami antara kumpulan yang terawal, kira-kira lapan setengah kami sudah mula mendaftarkan diri di pintu masuk dewan.

Saya pakai sempoi-sempoi sahaja, seperti kebiasaan orang Kelantanlah. Baju Melayu, kain pelekat, kopiah putih dan selipar biasa. Yang lain segak betul. Kelihatan sesetengah orang tu berkasut kulit, dikenakan pulak dengan pakaian Melayu rasmi kemas. Itu yang buat kawan saya bising tu.

Saya ingat saya ni dah jadi ghuraba' dah. Dalam pukul sembilan setengah tu, dewan sudah mula penuh dan yang memakai pakaian ala-ala Cikgu Azmi ni pun sudah bertambah bilangan. Fuh, selamat.



Apa pun, syukur al-Hamdulillah. Saya berjaya hadir program "Bual Bicara Bersama Facebookers ; PRU-13 dan Peranan Kuasa Ketiga" yang diadakan tempoh hari di kampung saya, Kelantan.

Video forum ini dah dimuatnaik, kalau berkesempatan tengoklah di youtube.

Di sini, saya ingin kongsikan respon saya setelah program itu diadakan.


KUASA KETIGA


Sepanjang forum tersebut berlangsung, tiada kata sepakat tentang apa yang dimaksudkan dengan kuasa ketiga di Malaysia. Bahkan salah seorang panelisnya, Dr Maszlee berkata bahawa beliau tidak percaya akan adanya kuasa ketiga di Malaysia, akan tetapi beliau lebih senang dengan panggilan kuasa rakyat. Masing-masing pun menafsirkan terma itu dengan definisi yang berbeza-beza.

Pemerhatian saya terhadap permainan politik yang berlaku di Malaysia, diikuti dengan ulasan panelis dalam program ini, saya tidak teragak mengatakan kuasa ketiga benar-benar wujud. Dan terma kuasa ketiga ini, pada hemat saya, tidak tertumpu kepada golongan-golongan atau pertubuhan khusus seperti JATI atau PSM sahaja bahkan lebih umum daripada itu.

Kalau kita meneliti, sebelum PRU-12 pada tahun 2008, isu hak istimewa orang Melayu dan Islam tidak hangat dipertikaikan oleh orang bukan Islam. Bahkan, kedua-dua blok besar tanah air iaitu parti pembangkang dan kerajaan berlumba-lumba untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan memartabatkan Islam menandakan isu ini isu yang harus dibawa kehadapan.

Secara ringkasnya, boleh kita simpulkan, persaingan sebelum PRU-12 adalah antara Islam Hadhari kerajaan UMNO-BN dan Negara Islam PAS. Persaingan ini persaingan yang sihat. Ataupun lebih tepat lagi, persaingannya lebih baik dibandingkan dengan persaingan yang berlaku pada hari ini. Kedua-dua pihak berusaha untuk lebih memartabatkan Islam. Mana-mana blok yang menang pun, tentu ianya akan menguntungkan Islam dan umatnya.

Tetapi halatuju persaingan ini telah berubah pasca PRU-12. Apa yang berlaku selepas 2008, persaingan 'kami lebih Islamik' antara kerajaan dan pembangkang bertukar kepada 'kami lebih adil dan lebih terbuka'. Bahkan pada hari ini, pemimpin orang Melayu Islam sendiri sudah kecut untuk mengaku dirinya Melayu dan sayup-sayup sahaja mempertahankan kemuliaan Islam, takut-takut kehilangan undi.

Hampir keseluruhan pemimpin Melayu berebut-rebut hendak meraikan perasaan kaum lain.

Bak kata seorang panelis, Ust Fauzi, persaingan hari ini adalah persaingan di antara 1Malaysia dan Malaysian Malaysia.

Di sudut pandang yang lain, timbullah persoalan, kenapa berlakunya perubahan dalam halatuju persaingan dua blok utama di Malaysia ini?

Jawapannya adalah kerana wujudnya desakan yang kuat, pada tempoh itu sehingga membentuk arus yang meliberalkan agenda kerajaan dan pihak pembangkang. Suara-suara semakin berani menuntut hak samarata, mempertikai institusi diraja, kedudukan istimewa orang Melayu dan martabat Islam juga dipersoalkan. Akhirnya, ahli politik yang tidak jelas matlamat politiknya pun 'tenggelam' dan hanyut dibawa arus baru tersebut.

Di sinilah bukti wujudnya kuasa ketiga.

Mudahnya, takrif saya tentang kuasa ketiga di Malaysia, untuk tempoh ini :

1. Bukan daripada blok kerajaan mahupun blok pembangkang.

2. Golongan yang mempunyai kemampuan untuk mengubah cara pandang masyarakat sekaligus mempengaruhi undi terhadap parti-parti yang bertanding.

3. Menjadi pemantau kepada kerajaan pusat dan pembangkang dan menjadi pendesak yang mempengaruhi rupa bentuk persaingan antara dua blok tersebut.

Meskipun ia dipanggil sebagai kuasa ketiga, namun mengikut takrif di atas, maka pihak ketiga itu bukanlah dikhususkan kepada NGO tertentu atau kelompok khusus, bahkan dicampur juga mereka yang berbeza aspirasinya terhadap agenda negara.

Boleh jadi, kuasa ketiga ialah Islamis yang mahu kekal memartabatkan IMR, ataupun kaum cina yang menuntut hak samarata antara seluruh rakyat, ataupun puak liberal yang tidak henti-henti melaung-laungkan hak asasi manusia dan ketuanan rakyat.

Kalau diamati dengan sungguh-sungguh, ahli politik sangat terpengaruh dengan teriakan kuasa ketiga ini.

Dan, atas alasan itulah, jikalau anda menyedari bahawa anda bukannya daripada pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan, maka dari pihak saya secara peribadi mengajak anda, mari kita menjadi watchdog mereka (iaitu kedua-dua blok utama dalam percaturan politik negara) dan terus membadaikan desakan yang menguntungkan agenda Islam.

Bagi saya, kalau kita benar-benar hayati sejarah dunia yang dibentangkan kepada kita, kebanyakan perubahan-perubahan besar yang mencatat sejarah bermula daripada perubahan-perubahan kecil yang dilakukan oleh individu-individu secara tegas dan konsisten.

Barangkali tak salah saya katakan, persaingan antara UMNO dan PAS pada hari ini seringkali dilihat melampaui dari batas yang ditetapkan syara', atau seperti yang disebutkan oleh Dr Yusri, ianya tidak lagi selari dengan slogan 'fastabiqul khairat' iaitu berlumba-lumba dalam membuat kebajikan, bahkan semua yang dibuat oleh lawan politik dikiranya sebagai penumbuk kepada satu sama lain.

Dan akibat daripada arus liberal yang sangat kuat, hampir-hampir ahli-ahli politik ini terlupa agenda Islamnya yang asal, sehingga terkeluar dari mulut mereka kenyataan-kenyataan yang sangat mengecewakan hati umat Islam.

Maka di sinilah saya kira jawapan kepada tajuk yang dibentangkan tempoh hari.

Ada perkara yang harus dilakukan oleh si kuasa ketiga. Menjadi kuasa pengimbang, mempertahankan hak-hak yang semakin terhakis, menjadi cermin kepada parti pemerintah dan pembangkang, dan mengharmonikan hubungan antara semua. Bak kata Dr Maszlee, peranan 'fa aslihu baina akhowaikum' perlu dilaksanakan.

Inilah masanya kuasa ketiga islamis harus memainkan peranannya.

Inilah masa kita.


Zaid b Zainur Rashid
18 Jun 2012
Akademi Ikatan Muslimin

Kejayaan (Apa yang saya belajar daripada ISMA)

Engineering?

"Hah, STAM ke!? Pergh, what a waste" Komen kawan saya.

Kawan lama, kata orang, bila berjumpa tu banyaklah ceritanya. Kebetulan kami bersolat di surau yang sama, panjang kami borak tentang perjalanan selepas SPM. Lebih kurang gitulah dia kata pada saya.

Saya senyum-senyum sajalah.

Namun pada sebelah syiling yang lagi satu, apa yang dia kata sebenarnya membuatkan saya terfikir lama. Bukannya dia seorang yang kata begitu pada saya. Bukannya biasa-biasa, tawaran yang saya terima. Balik dari surau itu, banyak jugalah benda yang bermain-main di kepala.

Saya yang pening atau orang sekeliling saya yang pusing.

Carilah jawapan dalam al-Quran, pesan orang lama.

Nah, sebijik tafsir surah al-anfal(boleh tahanlah tebalnya), tulisan Dr Abdullah Azzam mak saya bagi.


*  *  *  *  * *


Semua orang ingin berjaya.

Semua orang ingin jadi orang yang berjaya dalam hidup mereka.

Termasuklah saya. Yalah, mana ada orang yang nak hidup merana.

Tetapi sayang, pilihan saya untuk mendalami bidang agama (STAM) pada riak kebanyakan orang seolah-olah saya memilih untuk hidup biasa-biasa. Ataupun bagi sesetengah yang ekstrim, macam saya memilih untuk hidup sengsara. Saya ini conservative kata mereka.

Saya pun hitung-hitunglah. Rasanya sebab tafsiran kita terhadap kejayaan berbeza-beza.

Saya bukan tak nak jadi kaya-raya dan popular.

Namun menjadi orang kaya, berkerjaya ternama, hidup bahagia dalam banglo besar macam pasar raya, bukanlah maksud berjaya yang saya faham.

Jadi anda boleh tanya, sebenarnya, saya ini nak apa?

Jawapan saya, saya nak jadi orang yang berjaya. Macam anda juga.

Tapi ada garisan yang memisahkan makna yang sampai kepada saya, dan makna yang sampai kepada sebahagian yang lain.

Kita melihat dari tingkap yang berbeza.

Jadi, maksud kita pun berbeza, betul tak?

Dengan-nama-Allah apa yang saya maksudkan ialah, saya ingin menjadi orang yang benar imannya di dunia dan mendapatkan kemuliaan syahid. Agar ruh saya terbang dengan mulia menuju alam yang seterusnya.

Itulah saya yang berjaya.

Ini bukan cakap-cakap yang biasa-biasa. Tapi kalau dah al-Quran pun tak baca, memang patut pun saya dihukumnya conservative.

Sebab apa yang dikhabarkan di dalam al-Quran itu semuanya benar-benar belaka.

Alam di kubur itu benar. Azab dan nikmatnya benar-benar ada.

Inilah pokok pangkal yang membentuk harapan saya.

Inilah yang mentafsirkan bagi saya satu sisi yang lain tentang kejayaan.

Agar dilepaskan pula dari siksaan kubur yang sungguh berat. Disambut dengan meriah pula oleh para malaikat, -Allah- alangkah leganya hati, kerana itu tanda-tanda kesejahteraan di alam akhirat.

Dan sewaktu seluruh manusia dibangkitkan semula, saya berharap moga Allah bangkitkan saya -dengan rahmatNya- dalam keadaan yang paling mulia.

Di padang mahsyar nanti, tatkala matahari sejengkal sahaja jaraknya dengan kepala, maka kelihatanlah nanti kesemuanya berpeluh-peluh sehingga ada yang membanjiri lututnya, ada yang ke paras dadanya dan ada yang tenggelam seluruhnya. Ke mana perginya harta dan anak-anaknya di dunia?

Dengan harta yang banyak itu kita tidak boleh membeli payung untuk berteduh. Apalah gunanya.

Maka saya amat berharap agar Allah s.w.t merahmati saya dan memasukkan saya di dalam 7 golongan khusus yang mendapat teduhanNya di mana pada hari tersebut tiada teduhan yang boleh diguna pakai melainkan teduhan dari Allah s.w.t..

Alangkah bertuahnya kita kerana kita semua adalah umat nabi Muhammad s.a.w.. Justeru saya berharap -dengan rahmatNya- saya diakui oleh baginda sebagai umatnya di padang mahsyar nanti.

Moga-moga saya diasingkan ke dalam kelompok yang mendapat darjat yang tinggi, kemudian di tengah kepanasan itu saya mendapatkan syafaat nabi s.a.w, dan disuapkan sendiri oleh nabi s.a.w akan air dari telaga kauthar.

Allahukbar.

Dengan rahmat Allah s.w.t., saya berharap agar saya termasuk dikalangan mereka yang terlepas dari dihisab. Kalau yang dihitung itu, sudahkan teliti sungguh perkiraannya, penungguannya bahkan ratusan tahun.

Maka, saya memang nak jadi orang yang berjaya.

Saya nak masuk surga Allah s.w.t..

Duduk bersama penghuni-penghuni surga yang mulia darjatnya. Dari manusia di zaman nabi Adam a.s sehinggalah tokoh-tokoh surga dari akhir zaman. Bayangkanlah kehebatannya. Tak reti saya nak ungkap di sini.

Bayangkanlah betapa gembiranya hati, kalau saya dikumpulkan bersama orang sangat tinggi darjatnya disisi Allah s.w.t.. Betapa riang dan berbunga gembira kalau di sisi saya tatkala itu, Tok Janggut, Hang Tuah, Imam Hassan al-Banna, Sultan Alaudin Shah, para wali Songo, Syed Qutb, Syeikh Ahmad Yassin, Abdullah Azzam, Imam Ibn Taimiah, Sultan Abd Hamid II, Sultan Muhammad al-Fateh, Solahuddin al-Ayubi, Imam Syafie, Imam Ibn Hanbal, Umar b Abd Aziz, Hassan al-Basri, Said b Jubair. Rahimahumullah.

Lagi?

Moga-moga, dengan rahmat Allah s.w.t, Dia mengizinkan saya tinggal berjiran dengan para sahabat nabi yang mulia. Bahkan, setiap hari di dalam surga, saya makan tengahari setalam dengan Nabi kita yang agung Muhammad s.a.w., saidina Abu Bakar r.a, saidina Umar al-Khattab r.a, saidina Uthman al-Affan r.a, saidina Ali r.a, Masyallah. 


Allahukbar. Haru. Jadi tak tentu.

Sungguh, pasti saya akan tanya bagaimana kisah sebenar perjuangan Tok Janggut. Saya pasti mendengar dengan teliti dari mulut Imam al-Banna bagaimana beliau mendapatkan syahid. Wajib, saya tanya kepada Sultan al-Fateh bagaimana dia membuka kota konstantinopel(dan juga bagaimana dia istiqomah Qiamullail setiap hari semenjak aqil baligh!).

Dengan-izin-Allah s.w.t boleh jadi kita menangis di dalam surga. Gembira atau terharu, entah mana satu.

Mendengar sendiri, ketika bersama berbual-bual dengan kita (moga Allah mengkabulkan doa ini), Nabi Muhammad s.a.w. dan saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a, menceritakan kisah mereka di dalam gua thur sewaktu berhijrah ke madinah. Kedua-duanya berborak dan berkongsi pengalaman mereka, alangkah rapatnya badan saidina Abu Bakar r.a dengan Rasulullah s.a.w ketika di gua thur, berapa lamanya mereka bersembunyi, bagaimana perasaannya, bahkan pasti saidina Abu Bakar r.a berasa bangga dengan pengorbanan beliau menemani dan melindungi manusia yang paling kita cintai, Rasulullah s.a.w..

Gelak tawa, gurau, ziarah dari rumah ke rumah (atau istana ke istana), solat berjemaah dan memuji Allah beramai-ramai dan sebagainya. Tidak habis senarainya. Subhanallah.

Alangkah bahagianya.

Kalau saya diberi pilihan, saya memang tidak mahu masuk surga seorang diri. Walaupun membawa diri ke surga itupun belum suatu perkara yang pasti, tetapi inilah yang yang kita faham sebagai cita-cita, betul?

Moga dengan rahmat Allah s.w.t, Dia mengizinkan saya dan ibu bapa saya yang tercinta, bersama adik-beradik saya, bersama juga rakan-rakan dan naqib saya, muallim dan muallimah saya, termasuk seluruh zuriat bangsa yang semakin mendalam cinta saya terhadapnya dan umat Islam keseluruhannya dapat menikmati kebahagiaan yang kekal ini.

Terlalu banyak. Bahkan, tiada penghujung bagi nikmat ini. Alangkah agungnya, Subhanallah.

Dan selama saya hidup, semoga dengan kasih sayang Allah, saya kekal mentauhidkan Allah. Dengan itulah setinggi nikmat dan cita-cita, mencapai kejayaan redhonya Allah kepada kita. al-Khaliq, ar-Rahman, al-Malik, malu kita untuk meminta. Tetapi apa yang lebih baik daripada melihat wajahNya?

Allahu ya Rabbi.

Tiada Tuhan selainMu ya Allah
Akulah hambaMu yang lemah dan hina
Siapalah aku. Siapalah aku. Siapalah aku
Tetapi Engkau yang paling Mulia dan yang Maha Agung
Kasihmu tidak kalah bilangannya dengan pasir di pantai dan bintang di langit
Dengan RahmatMu ya Allah, hadiahkanlah aku kejayaan yang hakiki
Daripada Engkau ya Rahman

*  *  *  *  *  *

Ehem. Lap cermin, tengok diri. Lama sangat berangan, muhasabahlah pula diri, layak ke? Pang! Hentaman kuat disitu. Jauh lagi, tahu? Apalah amal kita. Apalah cerita kita yang nak dikongsi bersama ahli surga. Siapalah kita untuk menuntut setinggi itu dengan amal separuh kerja.

Apa pun, teliti balik, jauh bukan perbezaan kejayaan yang masyarakat kita faham dengan apa yang Allah s.w.t. gariskan?

Saya hanya berkongsi apa yang saya mahu. Harapan.

Inilah cita-cita saya. Menjadi orang yang berjaya. Mendapatkan ganjaran yang sebenar dari Allah s.w.t.

Bukannya saya kata, kita tidak perlu menjadi kaya-professional-beriman ke apa. Saya juga menafikan kalau anda fikir kesimpulan risalah ini adalah 'orang-kaya-tidak-berjaya'.

Jauh sekali maksud risalah ini daripada anggapan sebegitu.

Tetapi menyempitkan makna kejayaan itu pada golongan yang berkerjaya professional sahaja maka itu adalah satu kepincangan dalam pegangan islam kita.

Baca al-Quran dan guna-pakailah neraca itu.

Bangga dengan Islam kita. Dalami maksud kehidupan, pasti kita tidak endah pandangan serong masyarakat islam-seluruh-dunia (bukan Malaysia saja) yang telah rosak akibat jauh daripada al-Quran, terhadap kita. Biarlah kita bekerja sebagai tukang angkut sampah Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sekalipun, kalau kita bebas dari azab neraka, maka kitalah orang yang paling berjaya.

Duit dan pangkat tidak boleh beli surga. Serius.

Saya tidak suruh kita semua jadi miskin.

Saya cuma nak beritahu, orang miskin, bukanlah orang yang gagal.

Kita tidak kejar apa yang ada di sisi manusia.

Bahkan, kita tekad terhadap apa yang lebih baik dan kekal di sisi Allah.


Zaid b Zainur Rashid
27 Mei 2012
Rumahku Surgaku

Ukhuwwah Islamiah Kita.


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


"Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: 


Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, 


lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, 


dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, 


seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, "Aku takut kepada Allah", 


seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya,


seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya."


(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)










Kita faham, ukhuwwah itu, satu tali ikatan, yang disandarkan kepada Allah s.w.t.


Kalau yang lain-lain itu, biasanya tipu belaka.


Sebab itu nabi s.a.w. menerangkan kepada kita :


“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad).


Imam al-Ghazali juga pernah sebut :


"Ukhuwwah itu bukan terletak pada pertemuan atau manisnya ucapan, tetapi pada namanya yang disebut di dalam doa" al Ghazali.


Maka perkara yang disandarkan pada Allah s.w.t itu kekal. Ia tidak mati.


Moga-moga Allah s.w.t kekalkan nikmat Ukhuwwah itu, sehingga di hari yang kekal abadi.




Ikhwah
19 Mei 2012
Pindah Randah

Teriak Bangsaku



Apa guna pendekar dan hulubalang,
kalau Melaka habis diroboh-robohkan,
untuk apa kumpulan berbilang-bilang,
kalau kesatuan ranap dihancur-hancurkan.



Zaid b Zainur Rashid
5 MEI 2012
Malam Kemuncak E.D.I.
Akademi Ikatan Muslimin

Buka mata, tetapi jangan main api.

Sekolah Menengah Kebangsaan

Sistem pelajaran kebangsaan memang dijadikan dengan sifatnya tunggal dan kebangsaan.

Dalam dunia ini, seluruh negara memberikan pelajaran kepada rakyatnya termasuklah kaum-kaum pendatang, di dalam bahasa kebangsaan. (Sekolah kerajaan, bukan swasta)

Seluruh institusi pendidikan kerajaan (sekolah) menggunakan satu bahasa pengantar.

Kecuali Kanada, dan Malaysia.

Maksudnya, di kedua-dua negara ini, bahasa pengantar bagi sekolah kebangsaannya tidak bersifat tunggal.

Namun, saya harus beritahu, situasi di Kanada tidak boleh disamakan dengan Malaysia kerana pada asalnya orang Perancis bukanlah kaum pendatang ke dalam negara yang asasnya orang British itu. Mereka telahpun berada di Kanada sebelum British datang.

Jadi, kenapa kita membenarkan amalan yang ganjil ini diamalkan di Malaysia?

Satu.

Ok, seterusnya, bila saya belek-belek buku sirah, saya dapati bahawa semangat perpaduan atas dasar kenegaraan itu wujud dalam perlembagaan Madinah. 

Sebagaimana yang disebutkan, penduduk Madinah haruslah saling membantu dalam menghadapi ancaman musuh di luar, dan mereka dilarang sama sekali menjalinkan hubungan di antara musuh-musuh negara. Tidak kira, anda seorang Muslim (secara nalurinya,tentulah kita pertahankan) mahupun anda seorang yahudi, haruslah diketahui bahawasanya pada ketika itu, anda telahpun menjadi warganegara Madinah.

Makanya, saya nak beritahu lagi satu, selain daripada fungsi menyampaikan ilmu dan memajukan pengetahuan dan kemahiran, dasar pendidikan mana-mana negara juga bertujuan menanam semangat perpaduan rakyat, taat setia dan kebanggaan terhadap negara. Ini adalah perkara yang sangat asasi.

Sebab itu pelajaran sejarah dan sastera diwajibkan. Dan atas dasar yang sama jugalah bahasa kebangsaan seharusnya menjadi bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan negara. Bagi memupuk nilai perpaduan dan menanam identiti warganegara.

Perlaksanaan satu sistem pelajaran kebangsaan, yang cenderung kepada pembentukan identiti kebangsaan adalah suatu perkara yang normal di dalam mana-mana negara.

Dan bila kita sebut tentang identiti kebangsaan, nak tak nak, kita juga sedang berbicara tentang pencairan identiti asing.

Ini semua atas dasar perpaduan dan keharmonian sesebuah negara.

Pada sebahagian daripada abad ke-20, bahasa dan sistem pembelajaran dari negara-negara lain diizinkan untuk menjadi sebahagian daripada apa yang disebutkan sebagai sistem kebangsaan Malaysia. Pelik bukan?

Dengan sebab ini adalah pendidikan berorientasi asing, ia dipisahkan daripada sistem pelajaran berpengantar bahasa Melayu. Dan, bukan sahaja dipisahkan oleh perbezaan kurikulum dan bahasa, tetapi juga dari sudut fizikal dan teknikal, iaitu dengan menempatkan murid-murid di dalam bangunan sekolah dan tempat yang berasingan, mempunyai guru-guru, sistem pentadbiran dan sistem pengambilan kerja yang dibataskan oleh asal-usul kaum.

Menyedari hal ini, Malaysia telahpun menjalankan pelbagai langkah untuk menjalankan integrasi sistem pendidikan. Demi perpaduan dan keharmonian negara.

Hari demi hari berlalu, proses evolusi ini menampakkan kesan postifnya.

Tetapi, tiba-tiba ada sekumplan manusia mengajak kita berundur ke belakang.

Kenapa mereka beria-ia berbuat begitu, dan apa pula yang anda ingin lakukan? 

Dua.

Ha, saya ada lagi satu perkara yang saya ingin ungkit.

Konsesi yang dibuat oleh orang Islam di Malaysia, iaitu membuang huruf jawi yang telah mereka kembangkan sebagai tulisan kebangsaan mereka. 

Walaupun saya dengan seluruh jiwa raga tidak bersetuju dengan tindakan ini, namun saya ingin membawa pembaca ke sudut yang lain, iaitu nilai kesungguhan dalam memberikan peluang dan memudahkan jalan kepada orang-orang yang payah nak baca huruf al-Quran ini dalam menghayati identiti negara, agar meletakkan kepentingan negara dahulu daripada kepentingan pihak tertentu.

Ini bukan dibuat saja-saja.

(Walaupun tindakan ini ikhlas, tetapi ia tetap salah. Saya cuma nak ungkit kesungguhan itu, walaupun banyak teori konspirasi tentang pembuangan tulisan jawi, yang saya juga mempercayainya)

Konsesi yang datang secara sukarela dari Muslim, berbanding mereka tadi itu, yang tidak pernah bertolak ansur, melainkan tekanan dan arahan yang datang memaksa. (itu bukan tolak ansur namanya)

Sampai hari ini, sudah tidak kelihatan tulisan jawi pada surat khabar. (sungguh menyedihkan)

Yang ada, rumi, mandarin, tamil. Cuba kita haramkan segala jenis tulisan selain rumi, boleh tak?

Tiga. dan tamat.


*  *  *  *  *  *


Tulisan ini bersifat peribadi.

Saja-saja, ajak kawan-kawan buka mata. Lagipun, sudah lama tidak kemaskini blog dengan risalah baru. Alang-alang tiada idea.

Saya minta maaf, sebenarnya tak berapa minat menulis berkenaan dengan perkara sebegini. Tambahan pula dengan gaya penulisan yang sebegini. Lagi satu, saya tidak cukup masa untuk menyusun, memudahkan dan memendekkan lagi tulisan yang serabut ini.

Terakhir, saya tidak mahu sangat menggunakan nama perpaduan sebenarnya, tetapi bunyinya lebih selamat daripada menggunakan nama hak.

Senior saya kata jangan bermain dengan api. Wallahualam


Zaid b Zainur Rashid
6 April 2012
Akademi Ikatan Muslimin

Ziarah Ust Abdul Halim


“Ini Zaid Zainurrashid ni, em, ammu(pakcik) boleh nampak ke?” tanya saya, dengan tangan masih berjabat.

Sejurus selepas saya masuk ke bilik icu dan memberi salam.

Saya terkedu, melihat keadaan Ust Abd Halim terbaring, luka-luka dan badannya penuh dengan tiub.
Mulutnya tidak boleh bergerak ketika itu. Dia menjawab dengan isyarat tangan, saya pun faham-faham, maksudnya, dia nampak dan dia sedar.

Saya dan Muhammad pelawat pertama yang menziarahinya petang itu. Pelawat yang dibenarkan masuk tidak lebih dari dua orang dalam satu masa. Semua orang terpaksa bergilir.

Kami tidak tahu nak buat apa. Sunyi sahaja.

“Macam mana ini Mad?” bisik saya kepada rakan sekelas saya itu.

Ust Halim bergerak-gerak, kemudian memusing tangan, dan menadah tangan ke langit. Agaknya dia dengar apa yang kami bisikkan. Doa, dia berisyarat.

“em oh doa. Ya doa.”

Susun kata-kata kami berterabur.

Ust Abd Halim, ditimpa kemalangan ketika menjalankan tugas dakwah. Menunggang motor, dilanggar kereta, dan pemandunya cabut lari.

Kami diberitahu, dengan beliau ada galaxy tab, jadi jika kami bertanya maka beliau boleh menjawab dengan menulis di atasnya. Tapi kali ini perbualan akan menjadi satu hala, kerana galaxy tab itu disimpan oleh anaknya, Muhd Hassan.

“em, amu.” Saya nak mula bicara. Mencari-cari ayat ubat. Ayat penguat.

“Sebelum ana datang ini, ana ada terbaca satu hadis Qudsi..” huh, saya teringat satu hadis ini. Syukur.

Ust Halim pun menutupkan mata. Saya kira, dia suruh kami teruskan bacaan hadis kot.

“Allah Azz Wa Jal berfirman pada para malaikat..”

“ …Intoliqu ila ‘abdi…”

“…Fasubbu ‘alaihi ..”

Perlahan-lahan temponya. Saya perhati saja parut-parutnya. Dalam, dan nampak sangat pedih.

“ …. Bala a shobba …”

Tiba-tiba saya terasa sangat sebak. Entah kenapa.

Saya keras untuk teruskan bacaan.

“… fa inni uhibbu an asma’a shoutah”

Getar-getar sikit suara. Takut saya, mata sudah nak melinangkan air. Jantan la sikit, bisik hati.

Sejuk sungguh jiwa teringatkan hadith ini.

Al-hamdulillah, dapat saya sempurnakan. Saya kira beliau lebih faham hadis ini dari saya, dan saya tidak terjemah.

Saya usik tangan Mad.

“Mad, bacalah doa” bisik saya menyuruhnya buat sesuatu.

Kami menadah tangan. Ust Halim turut serta.

Kami berdoa bersama-sama.

Moga-moga Allah makbulkan doa kami itu.

Pengawal keselamatan memberi isyarat menyuruh kami segera keluar, agaknya ramai lagi pelawat di luar.

Setelah berbual kecil, kami bersalaman, mencium tangan beliau dan beredar.

*  *  *  *  *  *

Nota :



Ust Abd Halim Abdullah, Pengerusi Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ditimpa kemalangan. Paru-paru beliau ada kebocoran yang menyebabkan darah masuk kembali ke dalam paru-paru pada peringkat permulaan, pendarahan ringan di hati, tulang bahu kiri patah, tulang rusuk kanan yang ke-7 juga patah dan tulang belakang C6 retak kecil.

Beliau kirim salam kepada semua pelajar Akademi Ikatan Muslimin (AIM).

*beliau tulis atas kertas     ' سلام الى جميع  '

Turut hadir dari Ipoh, Aqil Rozain yang terpaksa masuk pada giliran kedua kerana tidak dibenarkan melebihi quota pelawat.

Maksud Hadith;

‘Pergilah kepada hambaKu dan timpakanlah kepadanya bala yang perit/berat kerana sesungguhnya Aku amat merindui untuk mendengar suaranya(berdoa)’

Tidak ada benda yang saya boleh bagi kepada beliau ketika itu.

Saya tidak mampu merawat.

Saya juga tidak rasa beliau perlukan duit dari saya. Dan kami pun sebenarnya tertinggal wang kutipan kilat yang kami kumpul bagi keluarga beliau. *anak beliau belajar di tempat yang sama,boleh kirim nanti

Saya menjadi blur juga awal-awal menziarahi beliau.

Apa yang kita boleh bantu sebenarnya?

Kita boleh memberikan sokongan.

Kita umat Islam, ada senjata, kita boleh berdoa.

Mari tadah tangan bersama, doa moga-moga Allah s.a.w. menyembuhkan kecederaan yang dialami, memudahkan urusan dan memberikan ketenangan kepada keluarga beliau. Semoga beliau Allah berikan jalan untuk terus berbakti kepada Ummah.

Zaid b Zainur Rashid
4 Februari 2012
Akademi Ikatan Muslimin 
(AIM) Ipoh Perak

Apa Neraca Penilaian Kita?



Apakah warna baju Nobita itu?

Ada orang memanggilnya Kuning.

Ada orang lain memanggilnya Yellow.

Ada juga yang menggelarnya Safra’.

Bahkan, ada orang secara sedar, menamakan warna itu sebagai Merah. Hm, hairan?

Warna/perkara yang sama, namun diterjemah dengan tema bahasa yang berbeza, maka hasil bunyi yang lahir pun berbeza-beza. Faham?

Hari ini saya tidak berniat untuk menulis tentang bahasa mahupun perbezaan pandangan.

Saya ingin berbicara tentang neraca dan persepsi.

Membuat perbandingan neraca kehidupan dengan bahasa, tentulah nampak dangkal. Ya, memang sandarannya berbeza pun, kerana dalam kepelbagaian bahasa, tiada bahasa yang salah, namun bagi persepsi pula, ada neraca yang benar dan ada juga neraca yang salah.



NERACA

Ali, Abu dan Ahmad adalah kawan persekolahan yang telahpun bekerja dalam bidang yang berasingan dalam syarikat yang besar.

Suatu hari, mereka mengadakan trip ke Beijing, China. Mereka memilih hotel yang agak berprestij, sesuai dengan pangkat dan kekayaan mereka untuk mereka bermalam.

Sebaik sahaja mereka melangkahkan kaki ke dalam hotel tersebut, terbayanglah macam-macam di kepala tiga orang rakan ini.

‘Wah, cantiknya susunan abstrak hotel ini’ bisik Ali. Setiap gambar yang tergantung di dinding diratapinya. Penuh seni, sesuai dengan harga hotel yang boleh melenyapkan gaji sebulan seorang jurutera.

Abu merenung sekeliling. Dia dapati ada yang tidak kena dengan hotel tersebut. Oh, baunya! Baunya terlalu menusuk. Wangian yang dipaksa. Sebagai pengkaji bahan wangian, Abu mula hilang selera berada di hotel ini. Huh, buat habis duit sahaja, fikirnya.

Ahmad, takjub sungguh dengan seni bina hotel. Ukirannya, ukurannya, wah ini luar biasa!

Masing-masing menilai hotel tersebut dengan neraca masing-masing. Masing-masing memberikan komen. Payah Ali hendak memahami Ahmad dalam hal ini, dan kalau Abu, usah cakaplah, lagi jauh berbeza.

Ahmad kata hotel ini lebih dari sempurna.

Ali kata, memuaskan.

Abu pula lain, katanya, ia sungguh merimaskan dan merosakkan mood perjalanan!

Perkara yang sama, diterjemah oleh neraca yang berlainan, akan menghasilkan respon yang berbeza-beza.




MIQYAS KITA

Neraca adalah perkara yang sangat asas dalam kehidupan manusia.

Neracalah yang akan menentukan respon manusia terhadap persekitaran mereka.

Neracalah yang akan menentukan cita-cita dan perbuatan manusia.

Maka, adalah sangat penting bagi manusia agar memiliki neraca yang benar bagi menilai dunia ini.

Stephen R Covey menjelaskan dalam bukunya, The 7 Habits of Highly Effective People, neraca(paradigm) sebagai peta dalam kehidupan manusia. Setiap orang memegang peta. Ada yang sama, ada yang berbeza.

Jika kita berada di New York, kita seharusnya menggunakan peta bagi bandar New York, bukan peta negeri lain. Ada orang, menggunakan peta bagi negeri lain, dan dia menyangka bahawa dia berada di jalan yang betul menuju ke arah destinasi, rupanya dia silap. Kenapa? (sedangkan) Dia sangat yakin, kerana dia menyusur galur sebijik seperti yang ditunjukkan di dalam peta. Tetapi malangnya, itu peta negeri lain! Itu masalahnya.

Memang dia silap, akhirnya sesatlah dia dalam kebuntuan.

Nampak? Seandainya kita benar-benar yakin, ia tidak bermaksud kita di jalan yang betul.

Yang menentukan betul atau salah ialah neraca kita.


و ما أشد دهشتك بعد قيل حين ينكشف لك أن القوم لم يفهموا عنك و لم يدركوا قولك "
رأيت ذلك مرات و لمسته من عدة مواقف , و اعتقد أن السر فيه لا يعدوا أحد أمرين :
"إما أن الذي يقيس به كل منا و ما يسمع عنه مختلف , فيختلف تبعا لذلك الفهم و الإدراك

“Setelah itu saudara akan sangat terpegun apabila semuanya menjadi jelas (seruanmu setelah dibahaskan olehmu), tetapi ternyata orang yang diajak berbicara tadi belum mengerti dan faham apa yang dimaksudkan oleh saudara.

Perkara ini sering kali saya lihat berlaku, dan setelah dikaji, terdapat dua masalah penting.

Pertama: Kebiasaannya yang sebagai neraca bagi suatu pembicaraan adalah diri kita sendiri, dan yang mendengarnya berbeza neracanya, tentu akan membawa kepada fahaman yang berbeza…” (Ke Mana Kita Menyeru Manusia- Hassan alBanna)

Contoh mudah bagi memahami konsep neraca, umpamanya, saya jerit kepada khalayak ramai, “Wooi, jom kita gapai kejayaan!” maka terlintaslah kehendak dan niat dalam hati setiap pendengar. Ada yang kata, ok, saya akan dapatkan 12A+ dalam SPM. Ada yang berazam kembali, baiklah saya akan berkahwin dalam masa kurang dari tiga bulan ini. Ada yang tersenyum, nekad untuk menjayakan projek rompakan bank malam ini!

Padahal, apa yang saya maksudkan dari seruan saya, adalah mencapai kejayaan dalam pertandingan membuat video islamik osem. Hmh.

Lihat, neraca tentang kejayaan yang berbeza!

Imam as-Syahid Hassan al-Banna memanggil neraca sebagai Miqyas.

Jadi, adakah kita sedang menggunakan peta yang betul dalam menilai kehidupan kita? Kalau ianya salah, maka apa pula Miqyas yang benar?

Islam telah menggariskan neraca untuk digunakan oleh umatnya(hebat kan Islam?). Ia harus digunakan dalam setiap aspek. Bila meletakkan cita-cita, neraca itu mesti digunakan. Bila hendak melakukan projek, neraca itu mesti digunakan. Bila hendak respon kepada apa-apa ujian, neraca yang digariskan itu jugalah yang wajib digunakan, bukan neraca yang lain.

Miqyas kita adalah Kitab Allah.

Neraca kita, orang Islam, dalam menilai setiap perkara adalah Kitab Allah.

Itulah yang sepatutnya, tetapi betulkah semuanya begitu?

Dengan terang lagi bersuluh, jawapannya tentu Tidak.

Dalam setiap aspek, seremeh kehidupan seharian kita sehinggalah isu-isu yang memikukkan negara, kita dilihat sangat meminggirkan Kitab Allah. Kita menggunakan neraca lain. Sedar tidak?

Neraca entah apa-apa. Dari mana kita kutip, saya pun tidak tahu.

Ubah neraca kita. Yang hebat itu bukanlah yang paling kaya. Bukan yang paling mulia itu yang paling tinggi markahnya di dalam peperiksaan. Doktor tidak melebihi ustaz, dan ustaz tidak melebihi doktor, atas sebab kerjaya dan gaji. LGBT adalah benar di sisi barat, tidak di sisi kita, orang Islam. Hentikan menggunakan nama ‘Hak Asasi Manusia’ yang digubal oleh barat sebagai ukuran kita benar atau salah.

Murtad di dalam ruh demokrasi barat adalah dibenarkan, tapi persoalannya, adakah demokrasi barat itu benar? Mengapa kita sibuk menggunakan peta yang salah itu? Kenapa kita menilai sesuatu perkara berdasarkan ‘hak asasi manusia’ yang digubal oleh manusia yang berkepentingan?

Tidak semua yang disebut sebagai betul oleh DEMOKRASI liberal barat dianggap betul di sisi ISLAM. Dan tidak semua yang digariskan ISLAM sebagai kebenaran dianggap betul oleh semangat DEMOKRASI.

‘Hak Asasi Manusia’lah yang telah melahirkan Pluralisme, Sekularisme, Liberalisme, Hedonisme dan lain-lain isme. Tidak perlu untuk cuba-cuba mengislamisasikan hak asasi manusia.

Kita ada neraca kita yang tersendiri.

Kita ada Kitab Allah dan Sunnah ar-Rasul.

Bila berdepan dengan apa sahaja, tanya balik diri kita, bincang sama kawan-kawan, apa komen al-Qur’an dan as-Sunnah tentang perkara ini ya? Bukan tanya apa perasaan kita, bukan tanya apa yang orang akan fikir, bukan segala itu.

Apa pendirian Islam tentang perkara ini?

Cari dalil al-Quran, hadith nabi, pendapat ulama' Islam, mana satu yang lebih benar Islamnya dan lebih rapat dengan keredhaan Allah.

Yang mulia adalah yang paling Islam.

Itu barulah Neraca benar seorang Muslim!


Zaid b Zainur Rashid
22 Jan 2012
Taman Guru Melayu

Kosong Jiwa


Pakcik itu pegang lama tangan saya. Dia tenung.

“Macam mana nak jadikan Ali (bukan nama sebenar anak dia) ni macam kamu.” entah macam mana monolog diri dia boleh terkeluar suara pula.

Saya jadi serba salah. Dia lepaskan tangan kami yang bersalaman, dan cuba selindung kerisauan.

Saya orang biasa-biasa sahaja, sebagaimana orang lain, berpegang dengan nilai-nilai agama. Bukannya saya yang baik, tetapi anak beliau yang agak bermasalah.

Dihantarnya ke kampus untuk belajar, lain pula jadinya.

Saya kelu. Pakcik itu buntu, mencari formula untuk pulihkan keadaan. Mencari jalan keluar. Perbualan kami diheret panjang. Saya sangat rapat dengan anaknya, dan tentu ia menambah lagi rasa tanggungjawab dan serba salah dalam diri.

Ali oh Ali.

*  *  *  *  *  *

Simptom membawa maksud tanda-tanda kewujudan penyakit. Contohnya seperti batuk, asthma, lemah badan dan pening kepala.

Maksudnya, pening kepala itu bukan penyakit. Begitu juga dengan batuk dan lelah.

Apa penyakitnya?

Mungkin anda pening kepala disebabkan stress yang teruk. Maka penyakitnya adalah stress. Kalau batuk dan lelah pula, ia mungkin disebabkan oleh lung infection/infeksi jantung.

Penyakit/disease dan simptom adalah perkara yang berbeza. Dengan sebab wujudnya penyakitlah, simptom itu timbul.

Itu yang mak saya kongsi tentang medik kepada saya, sewaktu saya mengadu masalah kepadanya. Kecil lagi saya pada ketika itu.

“Cure the disease, not the symptom” ujar mak saya.

Masalah yang saya adukan, masalah dalam kehidupan, bukan medik punya cerita. Tapi sama sahaja konsepnya.

Kalau saya pening kepala disebabkan stress yang teruk, cukupkah dengan mengambil panadol sahaja?

Jawapannya tentu tidak.

Cuba menghilangkan pain 'pening kepala'dengan panadol, sedangkan sebab kepada pening kepala masih dibiar wujud, ini akan menatijahkan lebih banyak kesan negatif pada badan. Ia akan membawa kepada penyakit dan masalah-masalah yang lebih besar.

Pergaulan bebas, pergaduhan, mencuri, merompak dan meragut, semua itu simptom sahaja, simptom kepada penyakit yang lebih besar.

Penyakit kekosongan jiwa.

Itu yang perlu kita ubati, betul?

*  *  *  *  *  *

Saya diajar untuk ‘tackle’ penyakit, bukan semata-mata simptom. Tetapi pada masa yang sama, tentu ada perkara yang perlu kita lakukan untuk simptom-simptom tersebut.

Jiwa kita perlu diisi dengan agama. Persoalan-persoalan yang berlegar di kepala perlu dijawab. Tujuan dan matlamat hidup mesti jelas.

Bagaimana seharusnya seorang pemuda (yang bergelora untuk mencuba macam-macam) yang tidak tahu tujuan hidupnya, hendak menjalani kehidupan ‘skema’ dan ‘surau’ ini?

Bila jiwa kosong, jadilah macam-macam.

Bila tak tahu tujuan, maka bersimpang siurlah di tengah jalan.

Tarik balik pemuda itu ke pangkal jalan itu satu kerja. Ajarnya tentang destinasi perjalanan itu pula kerja lain, yang lebih utama. Biarlah dia jelas, sehingga terbina pada peribadinya jati diri muslim.




"الاءسلام هو الحل" Islam adalah jalan penyelesaiannya : manifesto ikhwan muslimin sewaktu pilihanraya Mesir pada abad 20 an


Kita kena kembali dalam kehidupan beragama. Sungguh, kerana itu fitrah kita.




Zaid b Zainur Rashid
5 Januari 2012
Pasir Puteh, Kelantan

Jauh Mana Kita Telah Pergi?


Rasanya, semenjak sekian lama saya balik kampung, tidak pernah pintu rumah atuk saya dikunci dengan begitu banyak sebegini. Lebih dari lima selak. Kata atuk saya, merisaukan, sebab orang sekeliling sudah semakin liar. Sedangkan beberapa tahun yang lalu, pagar pun dibiarkan sahaja terbuka. Di kampung saya inilah, namanya, Kelantan Darul Naim.

Sebagaimana yang diceritakan orang, kejutan budaya luar bukan sahaja menular di kawasan bandar sahaja, bahkan diceruk hutan sekalipun, rasa fitnahnya!

* * * * * *

Dari Adi bin Hatim, ia berkata bahwa ketika kami berada bersama Rasulullah saw, datang seseorang yang mengadukan kemiskinannya. Kemudian datang pula lelaki lain yang mengadukan terganggunya keamanan perjalanan karena banyaknya para penyamun. Maka bersabdalah Rasulullah saw, “…Hai Adi apakah engkau pernah ke Hirah (Irak). Aku jawab belum pernah, tapi saya telah mendengar ceritanya. Nabi melanjutkan: “Seandainya usia anda panjang, kelak anda akan melihat ’skedup’ (yang di dalamnya perempuan) berangkat dari Hirah (Irak) pergi mengunjungi Baitullah tanpa disertai suami, dengan tidak merasa takut kecuali kepada Allah Az Wajal”      - diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Apa maknanya itu? Daripada Hadith ini, kita dapat simpulkan ‘ke mana’ Rasulullah saw hendak bawa peradabannya. Bahasa mudahnya, ia adalah wawasan pentadbiran Rasulullah saw, iaitu membina tamadun yang adil dan aman, seluruh sistem dan termasuklah isinya.

'Dengan apa yang aku lakukan pada hari ini, kau akan menikmati keamanan dari bumi irak sehingga ke makkah'. Lebih kurang begitulah, yang kita boleh rumuskan.

Besar, tanah dari bumi Irak sehingga Makkah itu dijanjikan keamanan. Ini janji pentadbiran baginda saw. Manifesto yang paling susah dikotakan, iaitu tiada ketakutan bagi rakyat, tiada kerisauan akan berlakunya kerosakan dan boleh hidup dalam keadaan aman. Keamanan yang dibangunkan oleh manusia, dan diruntuhkan oleh manusia juga.

Seperti Malaysia, perundangan dan wawasan semua menjanjikan keamanan, tapi adakah itu yang kita nikmati di bawah jambatan di Pasar Seni, di Klang atau di lorong Petaling Street? Kita rasa selamatkah, lalu kawasan itu dengan wang 50k di dalam kocek? Adakah peragut dan taiko-taiko di situ selaras bersama dengan kerajaan merealisasikan wawasan 2020?

Kerja yang Rasulullah saw laksanakan bukan semata-mata menulis perlembagaan, tapi membina manusia yang akan mendokongnya. Sudut inilah yang paling mencabar, membentuk nilai pada setiap rakyat termasuklah orang jalanan( biasanya orang sebegitulah yang kerap terlibat dalam jenayah) agar semua bersama membawa dan menikmati rahmat daripada risalah Islam. Dan akhirnya, timbullah keamanan dan luputlah kerisauan.

Bahasa hari ini, kita panggilnya sebagai keamanan sosial. Dan, inilah yang kita hilang sedikit demi sedikit dari Malaysia, termasuklah kampung soleh saya ini.



Membina keamanan sejagat ini, tentu tidak cukup dengan perlembagaan, helaian perundangan dan sistem kehakiman sahaja, tetapi mestilah ia disokong oleh manusia-manusia yang jujur di dalamnya!

Bukan nak taksub dengan negara orang, tapi ada pengajaran yang kita boleh ambil dari temu ramah Lee Kuan Yew dengan Reader’s Digest. Beliau menceritakan, satu ketika di kota London, beliau lihat surat khabar berbagai syarikat dibiar di tembok di tepi jalanan. Orang lalu-lalang mengambil dan meletakan duit di dalam bakul, dan tiada siapa pun mencuri duit mahupun surat khabar yang tertinggal padahal tiada tuan yang menjaganya! Dia, sangat ta’jub dengan peristiwa yang berlaku dan cakap pada dirinya “Look, how civilized they are!”. Dia mengakhiri, “This is what I’m going to do with my country”.

Manusia di kota itu telah dibangunkan dengan nilai-nilai, sebelum adanya peraturan tentang jual beli surat khabar di tembok jalanan.

Tiada apa yang perlu dirisaukan oleh sang peniaga.

Kalaulah sebuah sistem perundangan yang lengkap lagi adil, diterajui oleh haikm yang zalim, tentu tidak berguna sistem itu dan rakyat akan tetap dizalimi. Tetapi jika sistem perundangan yang dusta, tetapi diterajui oleh hakim yang adil lagi mulia hatinya, tentulah ramai yang akan dibela. (albanna)

Kita sudah ada segala sistem dan kata-katanya, tinggal manusia sahaja yang belum melaksanakannya.

Rasa selesa ke duduk Malaysia? Duduk diam di dalam KTM pun boleh hilang dompet dan segala harta di dalamnya. Saya tidak rasa ini 'aman' yang ditulis dalam wawasan negara.

Dengan sebab itu Ibn Khaldun menjelaskan, maksud tamadun itu adalah apabila manusia di dalamnya mencapai tahap tatasusila yang tinggi. Kalau orang putih punya bahasa, sebutnya, the civil society. Kita bukan hendak membina bangunan, menulis perjanjian, melaksanakan hukuman dan memperbaiki sistem perundangan semata-mata. Tapi, yang hendak dibina itu seharusnya manusia yang berada di dalamnya.

Pak Lah dulu, yang saya ingat, selalu ulang-ulang quote ni, “ First class infrastructure, third class mentality” untuk komen situasi masyarakat kebanyakan di Malaysia.

Seruannya langsung sahaja tidak diendah.

Persoalan dan kerumitan ini terabai tanpa perhatian. Semuanya ke arah mengukuhkan ekonomi, sistem-sistem dan pentadbiran. Ada retoriknya sedikit, tidak banyak yang membumikannya.

Jangan tersilau, kerja kita adalah membangun tamadun manusia, bukan membangun tamadun kebendaan semata-mata.

Hari ini, crime rates di negara meningkat, dan saya, sebagai rakyat biasa (yang tiada body guard ni) pula yang perit menanggungnya.

* * * * * *

Saya nak keluarkan banyak-banyak statistik pun, rasanya pembaca semua dah tahu. Salah satu yang popular, kajian Dr Khaidzir Ismail dari UKM mendedahkan satu sahaja daripada 887 remaja bermasalah belum pernah melakukan hubungan seks. Baru-baru ini, digemparkan pula dengan perkahwinan sama jantina, oleh seorang pemuda Melayu. Ibu bapa menjadi takut untuk menghantar anak-anak ke universiti.

Semakin lama semakin menggerunkan.

Kanak-kanak hilang pun sudah menjadi-jadi. Kes ragut, ugut, buang bayi, semua sudah hilang tempat dalam surat khabar. Membosankan. Sama sahaja, kata orang. Sekarang ini, kita semua nak keluar rumah pun takut. Nak derma kat orang miskin pun ragu-ragu jadinya, entah-entah sindiket, mana tahu?

Ramadhan lalu, suatu pagi selepas saya bersahur, sejurus selepas saya keluar saja bangunan, terserempak dengan remaja seusia bertumbuk dan menjerit-jerit, berkumpulan. Jantan dan betina. Ada gaya kongsi gelap, saya pun menjauhkan diri dan terus ke masjid. Apa mereka buat pagi-pagi buta ini?

Segalanya dah tak betul. Semua tak selamat.

Nak pergi solat subuh pun risau, agak-agak, ada yang patah tengkuk nanti!

* * * * * *

2012. Kiranya, sudah 55 tahun Negara kita merdeka.

Saya cerita tadi tentang tamadun manusia. Khususnya, di Malaysia.



Soalannya, lebih separuh abad ni, apa yang telah kita bina sebenarnya?



*Ok, tambah bajet untuk modal insan lagi! -Kerajaan, ambil perhatian tuntutan rakyat ni (PRU13)   
Zaid b Zainur Rashid                                                                            
4 Januari 2012                                                                                   
Pasir Puteh, Kelantan                                                                         

Powered by Blogger.

Rakan

My Blog List

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Sampaikan Ke Peti Email

Terjemah

Follow by Email

Risalah yang Dibaca

Labels

Followers

Blog Archive