Zaid Z Rashid

We are currently working on a new website.
Stay tuned for more information.

to stay updated on our progress.

Apa Neraca Penilaian Kita?



Apakah warna baju Nobita itu?

Ada orang memanggilnya Kuning.

Ada orang lain memanggilnya Yellow.

Ada juga yang menggelarnya Safra’.

Bahkan, ada orang secara sedar, menamakan warna itu sebagai Merah. Hm, hairan?

Warna/perkara yang sama, namun diterjemah dengan tema bahasa yang berbeza, maka hasil bunyi yang lahir pun berbeza-beza. Faham?

Hari ini saya tidak berniat untuk menulis tentang bahasa mahupun perbezaan pandangan.

Saya ingin berbicara tentang neraca dan persepsi.

Membuat perbandingan neraca kehidupan dengan bahasa, tentulah nampak dangkal. Ya, memang sandarannya berbeza pun, kerana dalam kepelbagaian bahasa, tiada bahasa yang salah, namun bagi persepsi pula, ada neraca yang benar dan ada juga neraca yang salah.



NERACA

Ali, Abu dan Ahmad adalah kawan persekolahan yang telahpun bekerja dalam bidang yang berasingan dalam syarikat yang besar.

Suatu hari, mereka mengadakan trip ke Beijing, China. Mereka memilih hotel yang agak berprestij, sesuai dengan pangkat dan kekayaan mereka untuk mereka bermalam.

Sebaik sahaja mereka melangkahkan kaki ke dalam hotel tersebut, terbayanglah macam-macam di kepala tiga orang rakan ini.

‘Wah, cantiknya susunan abstrak hotel ini’ bisik Ali. Setiap gambar yang tergantung di dinding diratapinya. Penuh seni, sesuai dengan harga hotel yang boleh melenyapkan gaji sebulan seorang jurutera.

Abu merenung sekeliling. Dia dapati ada yang tidak kena dengan hotel tersebut. Oh, baunya! Baunya terlalu menusuk. Wangian yang dipaksa. Sebagai pengkaji bahan wangian, Abu mula hilang selera berada di hotel ini. Huh, buat habis duit sahaja, fikirnya.

Ahmad, takjub sungguh dengan seni bina hotel. Ukirannya, ukurannya, wah ini luar biasa!

Masing-masing menilai hotel tersebut dengan neraca masing-masing. Masing-masing memberikan komen. Payah Ali hendak memahami Ahmad dalam hal ini, dan kalau Abu, usah cakaplah, lagi jauh berbeza.

Ahmad kata hotel ini lebih dari sempurna.

Ali kata, memuaskan.

Abu pula lain, katanya, ia sungguh merimaskan dan merosakkan mood perjalanan!

Perkara yang sama, diterjemah oleh neraca yang berlainan, akan menghasilkan respon yang berbeza-beza.




MIQYAS KITA

Neraca adalah perkara yang sangat asas dalam kehidupan manusia.

Neracalah yang akan menentukan respon manusia terhadap persekitaran mereka.

Neracalah yang akan menentukan cita-cita dan perbuatan manusia.

Maka, adalah sangat penting bagi manusia agar memiliki neraca yang benar bagi menilai dunia ini.

Stephen R Covey menjelaskan dalam bukunya, The 7 Habits of Highly Effective People, neraca(paradigm) sebagai peta dalam kehidupan manusia. Setiap orang memegang peta. Ada yang sama, ada yang berbeza.

Jika kita berada di New York, kita seharusnya menggunakan peta bagi bandar New York, bukan peta negeri lain. Ada orang, menggunakan peta bagi negeri lain, dan dia menyangka bahawa dia berada di jalan yang betul menuju ke arah destinasi, rupanya dia silap. Kenapa? (sedangkan) Dia sangat yakin, kerana dia menyusur galur sebijik seperti yang ditunjukkan di dalam peta. Tetapi malangnya, itu peta negeri lain! Itu masalahnya.

Memang dia silap, akhirnya sesatlah dia dalam kebuntuan.

Nampak? Seandainya kita benar-benar yakin, ia tidak bermaksud kita di jalan yang betul.

Yang menentukan betul atau salah ialah neraca kita.


و ما أشد دهشتك بعد قيل حين ينكشف لك أن القوم لم يفهموا عنك و لم يدركوا قولك "
رأيت ذلك مرات و لمسته من عدة مواقف , و اعتقد أن السر فيه لا يعدوا أحد أمرين :
"إما أن الذي يقيس به كل منا و ما يسمع عنه مختلف , فيختلف تبعا لذلك الفهم و الإدراك

“Setelah itu saudara akan sangat terpegun apabila semuanya menjadi jelas (seruanmu setelah dibahaskan olehmu), tetapi ternyata orang yang diajak berbicara tadi belum mengerti dan faham apa yang dimaksudkan oleh saudara.

Perkara ini sering kali saya lihat berlaku, dan setelah dikaji, terdapat dua masalah penting.

Pertama: Kebiasaannya yang sebagai neraca bagi suatu pembicaraan adalah diri kita sendiri, dan yang mendengarnya berbeza neracanya, tentu akan membawa kepada fahaman yang berbeza…” (Ke Mana Kita Menyeru Manusia- Hassan alBanna)

Contoh mudah bagi memahami konsep neraca, umpamanya, saya jerit kepada khalayak ramai, “Wooi, jom kita gapai kejayaan!” maka terlintaslah kehendak dan niat dalam hati setiap pendengar. Ada yang kata, ok, saya akan dapatkan 12A+ dalam SPM. Ada yang berazam kembali, baiklah saya akan berkahwin dalam masa kurang dari tiga bulan ini. Ada yang tersenyum, nekad untuk menjayakan projek rompakan bank malam ini!

Padahal, apa yang saya maksudkan dari seruan saya, adalah mencapai kejayaan dalam pertandingan membuat video islamik osem. Hmh.

Lihat, neraca tentang kejayaan yang berbeza!

Imam as-Syahid Hassan al-Banna memanggil neraca sebagai Miqyas.

Jadi, adakah kita sedang menggunakan peta yang betul dalam menilai kehidupan kita? Kalau ianya salah, maka apa pula Miqyas yang benar?

Islam telah menggariskan neraca untuk digunakan oleh umatnya(hebat kan Islam?). Ia harus digunakan dalam setiap aspek. Bila meletakkan cita-cita, neraca itu mesti digunakan. Bila hendak melakukan projek, neraca itu mesti digunakan. Bila hendak respon kepada apa-apa ujian, neraca yang digariskan itu jugalah yang wajib digunakan, bukan neraca yang lain.

Miqyas kita adalah Kitab Allah.

Neraca kita, orang Islam, dalam menilai setiap perkara adalah Kitab Allah.

Itulah yang sepatutnya, tetapi betulkah semuanya begitu?

Dengan terang lagi bersuluh, jawapannya tentu Tidak.

Dalam setiap aspek, seremeh kehidupan seharian kita sehinggalah isu-isu yang memikukkan negara, kita dilihat sangat meminggirkan Kitab Allah. Kita menggunakan neraca lain. Sedar tidak?

Neraca entah apa-apa. Dari mana kita kutip, saya pun tidak tahu.

Ubah neraca kita. Yang hebat itu bukanlah yang paling kaya. Bukan yang paling mulia itu yang paling tinggi markahnya di dalam peperiksaan. Doktor tidak melebihi ustaz, dan ustaz tidak melebihi doktor, atas sebab kerjaya dan gaji. LGBT adalah benar di sisi barat, tidak di sisi kita, orang Islam. Hentikan menggunakan nama ‘Hak Asasi Manusia’ yang digubal oleh barat sebagai ukuran kita benar atau salah.

Murtad di dalam ruh demokrasi barat adalah dibenarkan, tapi persoalannya, adakah demokrasi barat itu benar? Mengapa kita sibuk menggunakan peta yang salah itu? Kenapa kita menilai sesuatu perkara berdasarkan ‘hak asasi manusia’ yang digubal oleh manusia yang berkepentingan?

Tidak semua yang disebut sebagai betul oleh DEMOKRASI liberal barat dianggap betul di sisi ISLAM. Dan tidak semua yang digariskan ISLAM sebagai kebenaran dianggap betul oleh semangat DEMOKRASI.

‘Hak Asasi Manusia’lah yang telah melahirkan Pluralisme, Sekularisme, Liberalisme, Hedonisme dan lain-lain isme. Tidak perlu untuk cuba-cuba mengislamisasikan hak asasi manusia.

Kita ada neraca kita yang tersendiri.

Kita ada Kitab Allah dan Sunnah ar-Rasul.

Bila berdepan dengan apa sahaja, tanya balik diri kita, bincang sama kawan-kawan, apa komen al-Qur’an dan as-Sunnah tentang perkara ini ya? Bukan tanya apa perasaan kita, bukan tanya apa yang orang akan fikir, bukan segala itu.

Apa pendirian Islam tentang perkara ini?

Cari dalil al-Quran, hadith nabi, pendapat ulama' Islam, mana satu yang lebih benar Islamnya dan lebih rapat dengan keredhaan Allah.

Yang mulia adalah yang paling Islam.

Itu barulah Neraca benar seorang Muslim!


Zaid b Zainur Rashid
22 Jan 2012
Taman Guru Melayu

Kosong Jiwa


Pakcik itu pegang lama tangan saya. Dia tenung.

“Macam mana nak jadikan Ali (bukan nama sebenar anak dia) ni macam kamu.” entah macam mana monolog diri dia boleh terkeluar suara pula.

Saya jadi serba salah. Dia lepaskan tangan kami yang bersalaman, dan cuba selindung kerisauan.

Saya orang biasa-biasa sahaja, sebagaimana orang lain, berpegang dengan nilai-nilai agama. Bukannya saya yang baik, tetapi anak beliau yang agak bermasalah.

Dihantarnya ke kampus untuk belajar, lain pula jadinya.

Saya kelu. Pakcik itu buntu, mencari formula untuk pulihkan keadaan. Mencari jalan keluar. Perbualan kami diheret panjang. Saya sangat rapat dengan anaknya, dan tentu ia menambah lagi rasa tanggungjawab dan serba salah dalam diri.

Ali oh Ali.

*  *  *  *  *  *

Simptom membawa maksud tanda-tanda kewujudan penyakit. Contohnya seperti batuk, asthma, lemah badan dan pening kepala.

Maksudnya, pening kepala itu bukan penyakit. Begitu juga dengan batuk dan lelah.

Apa penyakitnya?

Mungkin anda pening kepala disebabkan stress yang teruk. Maka penyakitnya adalah stress. Kalau batuk dan lelah pula, ia mungkin disebabkan oleh lung infection/infeksi jantung.

Penyakit/disease dan simptom adalah perkara yang berbeza. Dengan sebab wujudnya penyakitlah, simptom itu timbul.

Itu yang mak saya kongsi tentang medik kepada saya, sewaktu saya mengadu masalah kepadanya. Kecil lagi saya pada ketika itu.

“Cure the disease, not the symptom” ujar mak saya.

Masalah yang saya adukan, masalah dalam kehidupan, bukan medik punya cerita. Tapi sama sahaja konsepnya.

Kalau saya pening kepala disebabkan stress yang teruk, cukupkah dengan mengambil panadol sahaja?

Jawapannya tentu tidak.

Cuba menghilangkan pain 'pening kepala'dengan panadol, sedangkan sebab kepada pening kepala masih dibiar wujud, ini akan menatijahkan lebih banyak kesan negatif pada badan. Ia akan membawa kepada penyakit dan masalah-masalah yang lebih besar.

Pergaulan bebas, pergaduhan, mencuri, merompak dan meragut, semua itu simptom sahaja, simptom kepada penyakit yang lebih besar.

Penyakit kekosongan jiwa.

Itu yang perlu kita ubati, betul?

*  *  *  *  *  *

Saya diajar untuk ‘tackle’ penyakit, bukan semata-mata simptom. Tetapi pada masa yang sama, tentu ada perkara yang perlu kita lakukan untuk simptom-simptom tersebut.

Jiwa kita perlu diisi dengan agama. Persoalan-persoalan yang berlegar di kepala perlu dijawab. Tujuan dan matlamat hidup mesti jelas.

Bagaimana seharusnya seorang pemuda (yang bergelora untuk mencuba macam-macam) yang tidak tahu tujuan hidupnya, hendak menjalani kehidupan ‘skema’ dan ‘surau’ ini?

Bila jiwa kosong, jadilah macam-macam.

Bila tak tahu tujuan, maka bersimpang siurlah di tengah jalan.

Tarik balik pemuda itu ke pangkal jalan itu satu kerja. Ajarnya tentang destinasi perjalanan itu pula kerja lain, yang lebih utama. Biarlah dia jelas, sehingga terbina pada peribadinya jati diri muslim.




"الاءسلام هو الحل" Islam adalah jalan penyelesaiannya : manifesto ikhwan muslimin sewaktu pilihanraya Mesir pada abad 20 an


Kita kena kembali dalam kehidupan beragama. Sungguh, kerana itu fitrah kita.




Zaid b Zainur Rashid
5 Januari 2012
Pasir Puteh, Kelantan

Jauh Mana Kita Telah Pergi?


Rasanya, semenjak sekian lama saya balik kampung, tidak pernah pintu rumah atuk saya dikunci dengan begitu banyak sebegini. Lebih dari lima selak. Kata atuk saya, merisaukan, sebab orang sekeliling sudah semakin liar. Sedangkan beberapa tahun yang lalu, pagar pun dibiarkan sahaja terbuka. Di kampung saya inilah, namanya, Kelantan Darul Naim.

Sebagaimana yang diceritakan orang, kejutan budaya luar bukan sahaja menular di kawasan bandar sahaja, bahkan diceruk hutan sekalipun, rasa fitnahnya!

* * * * * *

Dari Adi bin Hatim, ia berkata bahwa ketika kami berada bersama Rasulullah saw, datang seseorang yang mengadukan kemiskinannya. Kemudian datang pula lelaki lain yang mengadukan terganggunya keamanan perjalanan karena banyaknya para penyamun. Maka bersabdalah Rasulullah saw, “…Hai Adi apakah engkau pernah ke Hirah (Irak). Aku jawab belum pernah, tapi saya telah mendengar ceritanya. Nabi melanjutkan: “Seandainya usia anda panjang, kelak anda akan melihat ’skedup’ (yang di dalamnya perempuan) berangkat dari Hirah (Irak) pergi mengunjungi Baitullah tanpa disertai suami, dengan tidak merasa takut kecuali kepada Allah Az Wajal”      - diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Apa maknanya itu? Daripada Hadith ini, kita dapat simpulkan ‘ke mana’ Rasulullah saw hendak bawa peradabannya. Bahasa mudahnya, ia adalah wawasan pentadbiran Rasulullah saw, iaitu membina tamadun yang adil dan aman, seluruh sistem dan termasuklah isinya.

'Dengan apa yang aku lakukan pada hari ini, kau akan menikmati keamanan dari bumi irak sehingga ke makkah'. Lebih kurang begitulah, yang kita boleh rumuskan.

Besar, tanah dari bumi Irak sehingga Makkah itu dijanjikan keamanan. Ini janji pentadbiran baginda saw. Manifesto yang paling susah dikotakan, iaitu tiada ketakutan bagi rakyat, tiada kerisauan akan berlakunya kerosakan dan boleh hidup dalam keadaan aman. Keamanan yang dibangunkan oleh manusia, dan diruntuhkan oleh manusia juga.

Seperti Malaysia, perundangan dan wawasan semua menjanjikan keamanan, tapi adakah itu yang kita nikmati di bawah jambatan di Pasar Seni, di Klang atau di lorong Petaling Street? Kita rasa selamatkah, lalu kawasan itu dengan wang 50k di dalam kocek? Adakah peragut dan taiko-taiko di situ selaras bersama dengan kerajaan merealisasikan wawasan 2020?

Kerja yang Rasulullah saw laksanakan bukan semata-mata menulis perlembagaan, tapi membina manusia yang akan mendokongnya. Sudut inilah yang paling mencabar, membentuk nilai pada setiap rakyat termasuklah orang jalanan( biasanya orang sebegitulah yang kerap terlibat dalam jenayah) agar semua bersama membawa dan menikmati rahmat daripada risalah Islam. Dan akhirnya, timbullah keamanan dan luputlah kerisauan.

Bahasa hari ini, kita panggilnya sebagai keamanan sosial. Dan, inilah yang kita hilang sedikit demi sedikit dari Malaysia, termasuklah kampung soleh saya ini.



Membina keamanan sejagat ini, tentu tidak cukup dengan perlembagaan, helaian perundangan dan sistem kehakiman sahaja, tetapi mestilah ia disokong oleh manusia-manusia yang jujur di dalamnya!

Bukan nak taksub dengan negara orang, tapi ada pengajaran yang kita boleh ambil dari temu ramah Lee Kuan Yew dengan Reader’s Digest. Beliau menceritakan, satu ketika di kota London, beliau lihat surat khabar berbagai syarikat dibiar di tembok di tepi jalanan. Orang lalu-lalang mengambil dan meletakan duit di dalam bakul, dan tiada siapa pun mencuri duit mahupun surat khabar yang tertinggal padahal tiada tuan yang menjaganya! Dia, sangat ta’jub dengan peristiwa yang berlaku dan cakap pada dirinya “Look, how civilized they are!”. Dia mengakhiri, “This is what I’m going to do with my country”.

Manusia di kota itu telah dibangunkan dengan nilai-nilai, sebelum adanya peraturan tentang jual beli surat khabar di tembok jalanan.

Tiada apa yang perlu dirisaukan oleh sang peniaga.

Kalaulah sebuah sistem perundangan yang lengkap lagi adil, diterajui oleh haikm yang zalim, tentu tidak berguna sistem itu dan rakyat akan tetap dizalimi. Tetapi jika sistem perundangan yang dusta, tetapi diterajui oleh hakim yang adil lagi mulia hatinya, tentulah ramai yang akan dibela. (albanna)

Kita sudah ada segala sistem dan kata-katanya, tinggal manusia sahaja yang belum melaksanakannya.

Rasa selesa ke duduk Malaysia? Duduk diam di dalam KTM pun boleh hilang dompet dan segala harta di dalamnya. Saya tidak rasa ini 'aman' yang ditulis dalam wawasan negara.

Dengan sebab itu Ibn Khaldun menjelaskan, maksud tamadun itu adalah apabila manusia di dalamnya mencapai tahap tatasusila yang tinggi. Kalau orang putih punya bahasa, sebutnya, the civil society. Kita bukan hendak membina bangunan, menulis perjanjian, melaksanakan hukuman dan memperbaiki sistem perundangan semata-mata. Tapi, yang hendak dibina itu seharusnya manusia yang berada di dalamnya.

Pak Lah dulu, yang saya ingat, selalu ulang-ulang quote ni, “ First class infrastructure, third class mentality” untuk komen situasi masyarakat kebanyakan di Malaysia.

Seruannya langsung sahaja tidak diendah.

Persoalan dan kerumitan ini terabai tanpa perhatian. Semuanya ke arah mengukuhkan ekonomi, sistem-sistem dan pentadbiran. Ada retoriknya sedikit, tidak banyak yang membumikannya.

Jangan tersilau, kerja kita adalah membangun tamadun manusia, bukan membangun tamadun kebendaan semata-mata.

Hari ini, crime rates di negara meningkat, dan saya, sebagai rakyat biasa (yang tiada body guard ni) pula yang perit menanggungnya.

* * * * * *

Saya nak keluarkan banyak-banyak statistik pun, rasanya pembaca semua dah tahu. Salah satu yang popular, kajian Dr Khaidzir Ismail dari UKM mendedahkan satu sahaja daripada 887 remaja bermasalah belum pernah melakukan hubungan seks. Baru-baru ini, digemparkan pula dengan perkahwinan sama jantina, oleh seorang pemuda Melayu. Ibu bapa menjadi takut untuk menghantar anak-anak ke universiti.

Semakin lama semakin menggerunkan.

Kanak-kanak hilang pun sudah menjadi-jadi. Kes ragut, ugut, buang bayi, semua sudah hilang tempat dalam surat khabar. Membosankan. Sama sahaja, kata orang. Sekarang ini, kita semua nak keluar rumah pun takut. Nak derma kat orang miskin pun ragu-ragu jadinya, entah-entah sindiket, mana tahu?

Ramadhan lalu, suatu pagi selepas saya bersahur, sejurus selepas saya keluar saja bangunan, terserempak dengan remaja seusia bertumbuk dan menjerit-jerit, berkumpulan. Jantan dan betina. Ada gaya kongsi gelap, saya pun menjauhkan diri dan terus ke masjid. Apa mereka buat pagi-pagi buta ini?

Segalanya dah tak betul. Semua tak selamat.

Nak pergi solat subuh pun risau, agak-agak, ada yang patah tengkuk nanti!

* * * * * *

2012. Kiranya, sudah 55 tahun Negara kita merdeka.

Saya cerita tadi tentang tamadun manusia. Khususnya, di Malaysia.



Soalannya, lebih separuh abad ni, apa yang telah kita bina sebenarnya?



*Ok, tambah bajet untuk modal insan lagi! -Kerajaan, ambil perhatian tuntutan rakyat ni (PRU13)   
Zaid b Zainur Rashid                                                                            
4 Januari 2012                                                                                   
Pasir Puteh, Kelantan                                                                         

Powered by Blogger.

Rakan

My Blog List

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Sampaikan Ke Peti Email

Terjemah

Follow by Email

Risalah yang Dibaca

Labels

Followers

Blog Archive