Zaid Z Rashid

We are currently working on a new website.
Stay tuned for more information.

to stay updated on our progress.

Perutusan Ramadhan 1433H Majlis Perwakilan Pelajar AIM

(Artikel diterbit di laman web rasmi Akademi Ikatan Muslimin )

Rasulullah s.a.w. pernah memberi khutbah kepada para sahabatnya tatkala ramadhan bakal menjelang :

" أيها الناس : قد أظلكم شهر عظيم مبارك , شهر فيه ليلة خير من ألف شهر, شهر جعل الله صيامه فريضة وقيام ليله تطوعا , من تقرب فيه بخصلة كان كمن أدى فريضة فيما سواه , ومن أدى فريضة فيه كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه , وهو شهر الصبر , والصبر ثوابه الجنة , وشهر المواساة وشهر يزاد فى رزق المؤمن فيه , من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار , وكان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيء .."


Maksudnya: “ Wahai manusia ! Kamu akan dinaungi satu bulan yang agung, yang penuh keberkatan. Bulan yang terdapat di dalamnya satu hari yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan berpuasa di dalamnya satu fardhu dan menghidupkan malamnya sebagai amalan sunnah.

Sesiapa yang menghampirkan dirinya kepada Allah menerusi amalan sunnah, dia seperti melaksanakan satu amalan fardhu selain amalan sunnah tersebut, dan sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu di dalamnya (bulan Ramadhan), dia seperti menunaikan 70 amalan fardhu selain amalan fardhu tersebut. Ia adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya ialah syurga. Ia juga adalah bulan memberi pertolongan dan bantuan.

Ia bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman bertambah. Sesiapa yang menyediakan makanan kepada seseorang yang berbuka puasa , tindakan itu akan mengampuni dosa-dosanya dan membebaskan dirinya daripada api neraka, bagi dirinya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa sebarang pengurangan..."

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah tuhan yang telah menyempurnakan agamaNya, melengkapkan nikmatNya, meredhai Islam sebagai cara hidup dan memberi kita petunjuk untuk melaksanakannya. Allahumma amankanlah dan sejahteralah bagi junjungan mulia Muhammad Rasulullah serta ahli keluarga baginda, para sahabatnya dan mereka yang mengikuti jejak langkahnya sehingga akhir zaman.

Alhamdulillah pada tahun ini kita diberi peluang dan kesempatan lagi oleh Allah s.w.t untuk menghadapi dan menyambut bulan yang mulia, bulan Ramadhan.

Peluang adalah perkara yang sering kita mengalami dalam hidup kita, padanya terdapat pilihan untuk berkorban atau terkorban, dan kita akan mengakhiri peluang itu dengan kepuasan atau kekesalan, kerana peluang itu datang dan pergi dengan ketetapan, bukannya atas kuasa pilihan kita.

Hari ini Allah telah memberi kita lagi satu peluang dan cabaran, samada kita berjaya merampasnya atau kita yang tertinggal.

Iaitu peluang merebut ganjaran dan pahala yang dilipatgandakan, yang ganjarannya tidak sesuai langsung dibandingkan dengan amalan dan pengorbanannya, ibarat membeli sebuah kereta BMW dengan harga puluhan Ringgit Malaysia sahaja!

Ramadhan adalah bulan yang Allah sediakan bagi para hambanya dikalangan ummat Muhammad s.a.w untuk melatih dan mentarbiah diri mereka, memantapkan iman mereka, mengukuhkan kedudukan mereka dan membuka jalan-jalan kemenangan bagi mereka. Pada bulan inilah Allah telah memenangkan dan memuliakan ahli Badar, meninggikan kedudukan orang Islam dalam peperangan Ain Jalut dan sebagainya.

Ramadhan adalah madrasah tarbiah daripada Allah, telah lengkap objektif dan silibusnya digariskan sendiri oleh Allah untuk mentarbiah seluruh ummat Islam. Bulan ini akan melahirkan individu yang bertaqwa, masyarakat yang prihatin dan negara yang maju dan bertamadun. Sepertimana yang diterangkan di dalam al-quran, manusia itu dimuliakan dengan adanya taqwa dalam dirinya, dan itulah objektif yang harus dicapai oleh setiap individu muslim.

Maka dengan itu, Allah telah mensyariatkan kewajipan berpuasa sepanjang bulan Ramadhan, dengan inilah Allah menguji para hambaNya agar terus bersabar, mendidik supaya menahan diri dari melanggar larangan-laranganNya dengan menahan diri dari makan, minum, mencampuri isteri, berkata kesat dan sebagainya. Siapakah yang akan menghalang kita dari makan dan minum disebalik tabir atau ditempat yang tersorok selain ketaqwaan kita kepada Allah? Kalau perkara harus pun kita berjaya tahan diri kita dari melakukannya sepanjang bulan ramdhan, tentu perkara haram tidak menjadi masalah untuk kita menghindarinya!

Selain dituntut untuk memperbanyakkan ibadah, memanjangkan solat malam, membiasakan zikir, tilawah al-quran, mengimarahkan masjid dan menyemai sifat mahmudah dan membuang sifat mazmumah, dengan memperbanyak sedeqah dan memberi hadiah, saling menasihati dan tolong menolong., bulan ini juga Allah mengajar kita menguruskan kehidupan dengan jadual masa seharian yang kemas dan teliti. Bulan ini juga bulan motivasi.

Cuba bayangkan, pada hari atau bulan bulan lain, bolehkah kita menjalankan tugas kita seperti biasa, bersemangat, jika kita terlepas sarapan atau makan tengahari? Secara umumnya, tentu kita akan sedikit mengomel kalau kita terlepas jadual makan pada hari biasa dan produktiviti pasti akan menurun. Tetapi, dengan mengisi perut sebanyak 2 kali sahaja di bulan ramadhan, sepatutnya kita tetap dapat menjalankan kerja seperti biasa, itu tentu melatih dan memerlukan motivasi yang tinggi.

Barangkali sesetengah orang jemu mendengar kelebihan Ramadhan diulang-ulang, tentu kerana tiada usaha untuk mengejar dan mendapatkannya. Sesungguhnya hidayah dan taufiq itu adalah milik Allah semata-mata, seharusnya kita berusaha mendapatkannya dengan memperbanyakkan doa dan mempamerkan kesungguhan kita kepada Allah tentang keinginan kita terhadap petunjukNya.

Dengan kelebihan yang Allah limpahkan pada bulan Ramadhan ini, hendaklah kita mengubah diri dan memperbanyakkan amal. Masa inilah masa yang paling mulia. Masa inilah masa yang paling berharga. Masa inilah masa untuk kita mentarbiah diri kita. Masa inilah masa untuk menjadi muslim yang lebih baik, dan lebih hampir kepada Allah.

Kalau bukan ramadhan, bila lagi?

Kemuliaan ini tidak dijumpai di bulan yang lain. Kemeriahan beramalnya tak mungkin ditandingi dengan hari hari yang lain. Kalau bukan ramadhan, maka bila agaknya kita mampu berubah? Logiknya, mustahil kita berjaya di bulan lain jika kita gagal melakukannya di bulan ramadhan!

Akhir sekali, seluruh Ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Akademi Ikatan Muslimin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan selamat mentarbiah diri. Semoga ramadhan kali ini lebih baik daripada ramadhan pada tahun tahun yang lalu, dan semoga Allah mendengar doa kita dan memperkenankannya, dan menerima amalan kita dan memasukkan kita di kalangan hambaNya yang ikhlas. RAMADHAN KAREEM.

Wassalam.



Zaid Bin Zainur Rashid
1 Ramadhan 1433
Akademi Ikatan Muslimin
Ipoh, Perak.

PRU-13 : Peranan Kuasa Ketiga

"Badai, malu tahu tak jalan sebelah enta" kata seorang kawan serombongan kepada saya.

Saya pun agak terkejut. Kampung saya di Pasir Puteh. Selama saya ulang-alik dan duduk di Kelantan, tak tahu pulak saya ada Balai Islam semewah itu di Kota Bharu.

Kami datang agak awal, saya rasa kami antara kumpulan yang terawal, kira-kira lapan setengah kami sudah mula mendaftarkan diri di pintu masuk dewan.

Saya pakai sempoi-sempoi sahaja, seperti kebiasaan orang Kelantanlah. Baju Melayu, kain pelekat, kopiah putih dan selipar biasa. Yang lain segak betul. Kelihatan sesetengah orang tu berkasut kulit, dikenakan pulak dengan pakaian Melayu rasmi kemas. Itu yang buat kawan saya bising tu.

Saya ingat saya ni dah jadi ghuraba' dah. Dalam pukul sembilan setengah tu, dewan sudah mula penuh dan yang memakai pakaian ala-ala Cikgu Azmi ni pun sudah bertambah bilangan. Fuh, selamat.



Apa pun, syukur al-Hamdulillah. Saya berjaya hadir program "Bual Bicara Bersama Facebookers ; PRU-13 dan Peranan Kuasa Ketiga" yang diadakan tempoh hari di kampung saya, Kelantan.

Video forum ini dah dimuatnaik, kalau berkesempatan tengoklah di youtube.

Di sini, saya ingin kongsikan respon saya setelah program itu diadakan.


KUASA KETIGA


Sepanjang forum tersebut berlangsung, tiada kata sepakat tentang apa yang dimaksudkan dengan kuasa ketiga di Malaysia. Bahkan salah seorang panelisnya, Dr Maszlee berkata bahawa beliau tidak percaya akan adanya kuasa ketiga di Malaysia, akan tetapi beliau lebih senang dengan panggilan kuasa rakyat. Masing-masing pun menafsirkan terma itu dengan definisi yang berbeza-beza.

Pemerhatian saya terhadap permainan politik yang berlaku di Malaysia, diikuti dengan ulasan panelis dalam program ini, saya tidak teragak mengatakan kuasa ketiga benar-benar wujud. Dan terma kuasa ketiga ini, pada hemat saya, tidak tertumpu kepada golongan-golongan atau pertubuhan khusus seperti JATI atau PSM sahaja bahkan lebih umum daripada itu.

Kalau kita meneliti, sebelum PRU-12 pada tahun 2008, isu hak istimewa orang Melayu dan Islam tidak hangat dipertikaikan oleh orang bukan Islam. Bahkan, kedua-dua blok besar tanah air iaitu parti pembangkang dan kerajaan berlumba-lumba untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan memartabatkan Islam menandakan isu ini isu yang harus dibawa kehadapan.

Secara ringkasnya, boleh kita simpulkan, persaingan sebelum PRU-12 adalah antara Islam Hadhari kerajaan UMNO-BN dan Negara Islam PAS. Persaingan ini persaingan yang sihat. Ataupun lebih tepat lagi, persaingannya lebih baik dibandingkan dengan persaingan yang berlaku pada hari ini. Kedua-dua pihak berusaha untuk lebih memartabatkan Islam. Mana-mana blok yang menang pun, tentu ianya akan menguntungkan Islam dan umatnya.

Tetapi halatuju persaingan ini telah berubah pasca PRU-12. Apa yang berlaku selepas 2008, persaingan 'kami lebih Islamik' antara kerajaan dan pembangkang bertukar kepada 'kami lebih adil dan lebih terbuka'. Bahkan pada hari ini, pemimpin orang Melayu Islam sendiri sudah kecut untuk mengaku dirinya Melayu dan sayup-sayup sahaja mempertahankan kemuliaan Islam, takut-takut kehilangan undi.

Hampir keseluruhan pemimpin Melayu berebut-rebut hendak meraikan perasaan kaum lain.

Bak kata seorang panelis, Ust Fauzi, persaingan hari ini adalah persaingan di antara 1Malaysia dan Malaysian Malaysia.

Di sudut pandang yang lain, timbullah persoalan, kenapa berlakunya perubahan dalam halatuju persaingan dua blok utama di Malaysia ini?

Jawapannya adalah kerana wujudnya desakan yang kuat, pada tempoh itu sehingga membentuk arus yang meliberalkan agenda kerajaan dan pihak pembangkang. Suara-suara semakin berani menuntut hak samarata, mempertikai institusi diraja, kedudukan istimewa orang Melayu dan martabat Islam juga dipersoalkan. Akhirnya, ahli politik yang tidak jelas matlamat politiknya pun 'tenggelam' dan hanyut dibawa arus baru tersebut.

Di sinilah bukti wujudnya kuasa ketiga.

Mudahnya, takrif saya tentang kuasa ketiga di Malaysia, untuk tempoh ini :

1. Bukan daripada blok kerajaan mahupun blok pembangkang.

2. Golongan yang mempunyai kemampuan untuk mengubah cara pandang masyarakat sekaligus mempengaruhi undi terhadap parti-parti yang bertanding.

3. Menjadi pemantau kepada kerajaan pusat dan pembangkang dan menjadi pendesak yang mempengaruhi rupa bentuk persaingan antara dua blok tersebut.

Meskipun ia dipanggil sebagai kuasa ketiga, namun mengikut takrif di atas, maka pihak ketiga itu bukanlah dikhususkan kepada NGO tertentu atau kelompok khusus, bahkan dicampur juga mereka yang berbeza aspirasinya terhadap agenda negara.

Boleh jadi, kuasa ketiga ialah Islamis yang mahu kekal memartabatkan IMR, ataupun kaum cina yang menuntut hak samarata antara seluruh rakyat, ataupun puak liberal yang tidak henti-henti melaung-laungkan hak asasi manusia dan ketuanan rakyat.

Kalau diamati dengan sungguh-sungguh, ahli politik sangat terpengaruh dengan teriakan kuasa ketiga ini.

Dan, atas alasan itulah, jikalau anda menyedari bahawa anda bukannya daripada pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan, maka dari pihak saya secara peribadi mengajak anda, mari kita menjadi watchdog mereka (iaitu kedua-dua blok utama dalam percaturan politik negara) dan terus membadaikan desakan yang menguntungkan agenda Islam.

Bagi saya, kalau kita benar-benar hayati sejarah dunia yang dibentangkan kepada kita, kebanyakan perubahan-perubahan besar yang mencatat sejarah bermula daripada perubahan-perubahan kecil yang dilakukan oleh individu-individu secara tegas dan konsisten.

Barangkali tak salah saya katakan, persaingan antara UMNO dan PAS pada hari ini seringkali dilihat melampaui dari batas yang ditetapkan syara', atau seperti yang disebutkan oleh Dr Yusri, ianya tidak lagi selari dengan slogan 'fastabiqul khairat' iaitu berlumba-lumba dalam membuat kebajikan, bahkan semua yang dibuat oleh lawan politik dikiranya sebagai penumbuk kepada satu sama lain.

Dan akibat daripada arus liberal yang sangat kuat, hampir-hampir ahli-ahli politik ini terlupa agenda Islamnya yang asal, sehingga terkeluar dari mulut mereka kenyataan-kenyataan yang sangat mengecewakan hati umat Islam.

Maka di sinilah saya kira jawapan kepada tajuk yang dibentangkan tempoh hari.

Ada perkara yang harus dilakukan oleh si kuasa ketiga. Menjadi kuasa pengimbang, mempertahankan hak-hak yang semakin terhakis, menjadi cermin kepada parti pemerintah dan pembangkang, dan mengharmonikan hubungan antara semua. Bak kata Dr Maszlee, peranan 'fa aslihu baina akhowaikum' perlu dilaksanakan.

Inilah masanya kuasa ketiga islamis harus memainkan peranannya.

Inilah masa kita.


Zaid b Zainur Rashid
18 Jun 2012
Akademi Ikatan Muslimin

Powered by Blogger.

Rakan

My Blog List

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Sampaikan Ke Peti Email

Terjemah

Follow by Email

Risalah yang Dibaca

Labels

Followers

Blog Archive