Zaid Z Rashid

We are currently working on a new website.
Stay tuned for more information.

to stay updated on our progress.

Surat Untuk Manusia

Wahai saudara semanusia,
saya ada surat yang ingin saya bacakan kepada saudara. Surat ini memang dihantar untuk saudara, jadi saya berharap saudara boleh membacanya dengan penghayatan.

* * * * * * *


Wahai manusia seluruhnya,
sesungguhnya kamu ini satu, kamu tidaklah pecah-pecah, tidak lain-lain, tiada berbeza, melainkan semua dari kamu adalah perkara yang sama ; manusia.

Kamu bercakap dengan berlainan bahasa, menetap di bertentangan negara, berkelompok dan berbeza warna, tetapi kamu semua tetap manusia, manusia semuanya, manusia yang sama.

Wahai manusia,
ketahuilah bahawa kamu pada asalnya tiada, lalu kamu dicipta.

Bukan kamu yang paling awal, bukan kamu terjadi secara tidak sengaja. Bahkan kamu telah dicipta, lalu kamu membiak menjadi ramai sehingga hampir-hampir kamu lupa dari mana kamu pada asalnya.

Wahai manusia,
ketahuilah bahawa kamu telah dicipta, oleh Tuhan, Dia hanya satu, dan tiada bagiNya sekutu mahupun pembantu, Dialah Allah yang maha Kuasa.

Wahai manusia,
percayalah, bahawa Allah itu benar-benar wujud, tidaklah bagi kamu kekuatan untuk melihatNya atau mencapaiNya, dan tidaklah bagimu jalan untuk mengenalNya melainkan pada jalan yang telah Dia benarkan untuk para manusia yang Dia cipta. Percayalah, bahawa Allah benar-benar telah menciptakan asalmu, kemudian Allah menjaga pembiakanmu, dan membiarkan kamu hidup di dunia, dan percayalah bahawa tidaklah Allah membuatkan segala perkara itu dengan sia-sia.

Percayalah, bahawa Allah benar-benar menciptakan kamu, dan menghantarkan kamu ke dunia, dengan sebab dan tujuan yang tertentu, dengan tugas yang perlu kamu jalankan, dengan perjanjian yang perlu kamu tunaikan. Dia tidak menciptakan manusia saja-saja, Allah tidak menciptakan kamu agar kamu pilih jalan sendiri dan tidak pula supaya kamu hidup dengan cara sendiri.

Namun kebanyakan daripada kamu manusia, yang sudah membiak dan bermacam warna ini, akhirnya lupa tentang semua itu. Maka diambillah batu dan matahari sebagai tuhan, dan ditafsirlah asal usul mu kononnya dari haiwan, agar kamu boleh menolak hakikat bahawa kamu sebenarnya diciptakan, supaya kamu boleh mengingkari kebenaran yang kamu ini milik tuhan.

Kamu lupa, dan kamu derhaka.

Lalu dengan rahmatNya, dia telah memilih seorang daripada kamu, untuk dibongkarkan baginya sedikit rahsia, iaitu rahsia tentang hakikat kehidupan, supaya dia beritakan kembali kepada kamu semua apakah kebenaran yang perlu kamu patuhi, lalu si utusan dari kalangan kamu itu pun menerangkanlah, lalu jadilah sebahagian daripada kamu yang percaya, dan sebahagian daripada kamu yang berpaling darinya.

Maka pecahlah kamu manusia yang satu menjadi dua, iaitu, mereka yang percaya akan berita daripada si utusan Allah, dan mereka yang mengingkari akan berita. Ketahuilah, orang yang telah mengingkari utusan Allah dan segala beritanya, benar-benar telah melampaui batas.

Wahai manusia,
Ingatlah, ketika hari di mana kamu belum masuk ke dalam jasad di dunia, kamu seluruhnya, kepada Allah, menghadap, dan Dia telah mengambil janji daripada kamu, lalu kamu pun segera berikrar akan kesempurnaanNya, dan kamu patuh terhadap ketuhananNya, dan kamu tunduk kepada kuasaNya, lalu Dia pun membahagi-bahagikan dan meniupkan ruh kamu ke dalam daging pada rahim ibumu, maka jadilah kamu tulang -yang diselaputi daging tadi- bergerak, sedangkan pada asalnya kaku, lalu Dia menjadikan bagimu pendengaran dan penglihatan, agar tidak kamu berkata pada hari kamu dikembalikan, sesungguhnya kami, terhadap perkara ini, termasuk di kalangan orang yang lalai.


وإذ أخذ ربك من بني ءادم من ظهورهم ذريتهم وأشهدهم على أنفسهم ألست بربكم قالوا بلى شهدنا أن تقولوا يوم القيامة إنا كنا عن هذا غٰفلين



Benar bukan? Apabila ditiupkan ruh itu, maka itulah yang menjadikan darah-darah kamu mengalir, menjadikan pancaindera kamu berfungsi, lalu bergeraklah jasad itu dengan indahnya, lalu kamu membesar dan menjadi tua, dan dicabutkan ruh kamu daripada jasad kamu yang sempurna, maka jadilah ia daging dan tulang yang kaku, tanpa pergerakan, tanpa pancaindera, seperti yang asalnya.

Wahai manusia,
Tahukah kamu ke manakah ruh kamu pergi selepas itu?

Ruh kamu akan diterbangkan ke alam barzakh, iaitu alam kematian dan alam persediaan, sebelum kepada hari yang kamu akan kembali dibangkitkan.

Wahai manusia,
percayalah, bahawa selepas kematian kamu di dunia, akan ada kehidupan lain selepasnya. Kamu akan dibangkitkan daripada kubur-kubur kamu, bahkan kamu sedang kembali kepada Allah, yang telah menjadikan kamu pada asalnya, dan dibangkitkan lagi sekali selepas kematian kamu di alam dunia.

Maka berdirilah kamu seluruhnya, daripada bapamu yang paling tua sehinggalah anak-keturunan kamu yang paling hujung, di padang mahsyar dalam keadaan resah dan ketakutan, masing-masing berpeluh dan kerisauan terhadap kesudahan dirinya, adakah dia akan dihina, ataupun dia diangkat mulia.

Wahai manusia,
pada hari itu, terputuslah segala pertalian, tidaklah ibu mengenal anaknya, tidaklah anak terfikir akan bapanya, sungguh, kamu tak akan kisah untuk berpaling dari sahabat ataupun kerabat, teman ataupun kekasih.

Pada kehidupan selepas kamu mati itu, tiadalah guna anak-anak dan pangkat, tiadalah nilai emas dan perak, apalah gunanya dunia yang kamu kejar-kejar dahulu, yang kamu malu dan resah jika ia hilang dari kamu, yang kamu hina dan memandang rendah bagi mereka yang tidak mengejarnya, yang kamu kata kolot, sesat, akhirnya manakah kemajuan yang kamu bangga-banggakan, adakah dia boleh menebus diri kamu daripada apa yang telah ditetapkan Allah?

wahai manusia,
percayalah bahawa surga dan neraka itu benar, dan itulah tempat balasan, itulah tempat pengembalian bagi manusia, surgalah tempat tinggal bagi orang yang yakin akan berita, dan nerakalah seburuk-buruk balasan, untuk mereka yang yang meragui kebenaran.

Wahai manusia,
percayalah akan kehidupan selepas kematian.

Wahai manusia,
percayalah bahawa kamu adalah hamba yang diciptakan.

Wahai manusia,
bersaksilah, bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad adalah utusan Allah.

Wahai manusia,
tunduklah dan serahkanlah dirimu kepada Allah, nescaya kamu mulia, nescaya kamu selamat.

Wahai manusia,
percayalah kepada berita yang disampaikan oleh utusan yang tidak meminta imbalan daripada kamu, dan patuhlah terhadap apa yang telah diarahkan oleh Allah dan jauhilah dirimu dari apa yang dilarangNya, dan sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang ingkar.

* * * * *


Para ulama tidak menjadi kaya dengan keimanan saudara. Ustaz ustaz tidak pula menjadi kenyang dengan islamnya saudara. Para pendakwah tidak meminta apa-apa daripada saudara melainkan ketundukan kepada Tuhan yang telah menciptakan kita, Allah azza wa jal, tidaklah hina orang yang mendekatiNya dan tidaklah mulia orang yang menjauhiNya. Dan kepada Allah kita akan dikembalikan.



Zaid b Zainur Rashid
STAM dan Aidhil Adha
Akademi Ikatan Muslimin
Powered by Blogger.

Rakan

My Blog List

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Sampaikan Ke Peti Email

Terjemah

Follow by Email

Risalah yang Dibaca

Labels

Followers

Blog Archive