Zaid Z Rashid

We are currently working on a new website.
Stay tuned for more information.

to stay updated on our progress.

al-Kisah di Gaza, Palestin

Tempat penginapan peserta Misi Solidariti Gaza Disember 2012

Malam itu lobi hotel sangat meriah. Malam yang kedua kami berada diGaza.

Terasa sesak jugalah.

Hotel kami didatangi oleh Abul 'Abied Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Gaza, Abul Walid Khaled Mesh’al, ketua biro politik Hamas dan puluhan pimpinan Hamas yang lain. Perjumpaan pemimpin tertinggi Hamas di dewan Hotel Commodore Gaza ini diketahui sebahagian rakyat, akibatnya habis hotel kami ini ‘dirempuh’ secara beramai-ramai oleh penyokong yang terdiri dari kalangan rakyat setempat yang ingin bersalaman dengan mereka.

Usai perjumpaan pemimpin Hamas, lobi hotel semakin reda, bilangan orang pun semakin susut. Namun bilangan masih tidak sedikit, suasananya masih lagi bising, cuma tidaklah berhimpitan dan bertindih-tindih seperti waktu awal-awal perjumpaan tadi.

Saya sejak awal-awal lagi, dengan seorang rakan misi, cuba-cuba untuk turun ke lobi. Pada awalnya kami diarahkan untuk tidak turun ke tingkat satu ini. Bila dibenarkan saja, kami terus menyelinap dalam keramaian orang Gaza.

Kami perasan, kebanyakan orang di sini semuanya telah berumur, tidak seperti kami. Entah bagaimana di tengah keramaian tu, Allah jumpakan kami dengan dua orang yang, hei, nampak macam sebayalah. Heh.

Saya pun sapa lah akhi ni dengan ucapan salam. Borak punya borak, dia pun beritahu yang dia ini berumur sembilan belas tahun. Hmh, memang sebaya pun.

Borak perkenalan yang agak panjanglah. Macam-macam.

Malam yang mulia. Perjumpaan pertama antara saya dengan pemuda ini, dan kami mulakan dengan berkenal-kenalanlah.

"Enta dari mana? Maksud ana, negara apa?"

"ah, Malaysia. Ya Malaysia."

"Allahuakbar dari Malaysia!? Masyallah"

Dikupas sikit demi sikit biodata masing-masing. Tergagap-gagap saya, cuba membiasakan diri untuk bercakap bahasa Arab. Selama ni tulis atas kertas saja, nah, sekarang kena sembang dengan orang Arab baru nak sedar manfaatnya.

Oh ya, ada satu perkara penting yang dia sendiri tak mahu dipisahkan dari identitinya. Mesti diberitahu semua.

"Psst, ya akhi Zaid..."

'eh?'

"...Ana Hamas."

"Enta Hamas?" spontan terkeluar dari mulut saya, gembira. Riang hati kecil kami ini, tak boleh sorokkan senyum di muka kami.

Dia mendakwa dengan penuh rasa kebanggaan dan kemuliaan, saya tersenyum, teruja dengan hikmah perjumpaan.



KEKAYAAN JIWA PEMUDA

Menjadi seorang ahli Hamas bukanlah sesuatu yang asing di Gaza. Sesiapa pun boleh mendaftarkan diri sebagai ahli Hamas, namun setelah menyertai Hamas, mereka tertakluk dalam pendidikan islam dan peraturan-peraturan tertentu. Saya tidak berhajat untuk bercerita panjang tentang Hamas dalam artikel ini.

Saya nak bercerita tentang seorang ahli Hamas, namanya Muhammad, daripada keluarga al-Judu.

Pemuda mulia yang Allah pertemukan saya dengannya pada malam tersebut.

Muhammad al-Judu bersama kawan kawanya telah menyertai Hamas sejak muda, dan semua kawannya yang dikenalkan kepada saya termasuk dirinya telah mengahafaz 30 juzu’ al-Quran.

Mungkin kebanyakan dari kita sudah mula menghafal keseluruhan 30 Juzu al-Quran, namun untuk pengetahuan pembaca (yang mungkin fikir, 'alah di Malaysia pun ada hafiz'), kawan saya Muhammad ni, menghafal Quran 30 Juzu dalam tempoh 2 bulan sahaja.

2 Bulan sahaja. Noktah.

"Kau hafal seluruh al-Quran selama dua bulan saja!?"

"Aiwah, sehari sepuluh muka suratlah" Jawabnya selamba.

Saya tergamam.

Subhanallah. Tahu apa yang terlintas dalam fikiran saya?

‘Dia ni keturunan Imam Syafie!’

Allahuakbar wa lillahil Hamd.

Saya terasa benar keindahan yang Allah kurniakan dalam kehidupannya. Keindahan cahaya Islam dalam dirinya dan masyarakat sekelilingnya.

Namun keindahan yang Muhammad nikmati bukannya tidak disulami keperitan dan kepayahan. 

Dia diuji dengan berat apabila ayahnya jatuh sakit dan dia kehilangan sumber kewangan untuk meneruskan pengajian. Semua kawan-kawan sebayanya yang dikenalkan kepada saya telah pergi ke universiti untuk menyambung pelajaran.

Namun, si Muhammad ini, tersepit dalam tanggungan keluarga.

Anak sulung dari 14 orang adik beradik, bukan kecil tanggungjawab yang digalas Muhammad. 

Dia bersahaja. Senyum selalu.

“Zaid, saya sangat cintakan ilmu”

“Saya ingin sambung pelajaran, saya nak masuk Jami’ah(university),sebab saya cintakan ilmu dengan sangat mendalam”

“Tetapi saya diuji dengan kesusahan harta dan kesakitan ayah”

Satu-satu dia sebutkan. Masih tersenyum.

Saya sendiri sudah sebak. Cuba-cuba untuk senyum, mengamankan atmosfera perbualan.

Terasa ingin juga dihulurkan saja wang dipoket, walaupun tak seberapa.

Tapi orang palestin menyimpan kemuliaan dan meletakkan harga diri di tempat yang tinggi. Mereka menolak untuk menjadi pengemis, mereka menghalang anak-anak mereka meminta-minta.

Apa yang saya mampu buat, saya cuba hubungkan dia dengan Aman Palestin cawangan Gaza. Moga-moga Aman Palestin menyediakan sedikit dana scara rasmi untuk Muhammad tanggung kehidupan keluarga dan sambung pelajaran.

Teringat hari itu, saya menghabiskan sisa malam yang ada di masjid bersama sahabatdari Hamas. Sikit-sikit dia cerita, mengupas selok-belok kehidupan di Gaza, menceritakan perjuangan diri dan bangsanya disini. Saya pun tidak kurangnya, berceritatentang kisah kita orang Malaysia, dia pun berminat juga hendak mendengarnya.

“Setiap masjid ada ahli Hamas yang menjaganya, dan di setiap masjid ini ada tahfiz”

Sebelum berpisah di hotel sewaktu perjumpaan pertama kami,dia sudah berpesan supaya datang untuk solat berjemaah di Masjid el-Huda. Dia dan beberapa orang rakannya bertanggungjawab untuk menjaga masjid itu termasuk menjadi guru tahfiz kepada kanak-kanak di kawasan tersebut.

Syukur, kami sempat mengadakan beberapa kali pertemuan, beberapa kali selepas Subuh, Magrib dan Isya' dalam hari-hari saya di Gaza.

Setiap hari, selepas maghrib, kelas hafazan akan dibuka untuk semua anak-anak setempat. Percuma, tiada bayaran.

“oh, kau jadi guru Tahfiz di sini?” pada awalnya, saya agak terkejut. Belia semuda itu menjadi guru tahfiz, saya agak, patutnya didahulukan syeikh syeikh yang sudah berumur. Dia mengiyakan sahaja.

“Kau ambil bayaran ke percuma saja?”

“Saya ajarkan al-Quran kerana Allah taala, biarlah ia begitu”

Saya jadi tertanya-tanya. Dari mana pula duit dia nak dapatkan? Bukan ke dia yang perlu tanggung ahli keluarganya? Saya pun terlupa nak bertanya tentang pekerjaannya di siang hari.

Saya (berdiri) bersama Muhammad yang duduk di hadapan, Hassan, yang berjambang lebat, setahun lebih tua dari kami. Bersama kanak kanak setempat, kumpulan hafazan yang berada di bawah kendalian mereka berdua


(bersambung : minta maaf, kena keluarkan 1 risalah sebelum tarikh tamat)

Memenangkan Kebenaran Dalam Memerangi Kebatilan

Hak dan Batil sentiasa bertembung.


Wahyu dan Nafsu sentiasa berperang antara satu sama lain, dan mana satu yang kuat, akan menang dan menguasai.



Kuat lemah wahyu atau nafsu adalah disebabkan faktor biasa kuat lemahnya sesuatu perkara. Faktor pendokong, kelebihan suasana, kemahiran dan lain lain.


gambar hiasan


Ya, kebenaran itu sentiasa dimenangkan oleh Allah taala. Namun Allah tidak menjadikan alasan ianya 'kebenaran' maka Allah melarikan peraturan alam yang telah ditetapkan. Allah akan memenangkan agamaNya selari mengikut fitrah yang telah ditetapkan.

Pertembungan hak dan batil berlaku dalam diri sesorang. Jika dia menyediakan asbab kemenangan bagi kebenaran, maka kebenaran akan mengatasi kebatilan yang wujud dalam dirinya.

Jika dia (lelaki) membiasakan dirinya berlapar, hidup bersama orang soleh dan menghadiri majlis ilmu, maka saat dia berdiri di hadapan perempuan yang cantik, kebenaran yang kuat (kerana dilatih) akan mengatasi kebatilan, hak akan menguasai dirinya, kebenaran akan mendominasi dan membuat keputusan terhadap perlakuan dirinya, 

maka dia akan menundukkan pandangannya.

Jika kebenaran itu tidak dilatih, maka ia akan jadi lembik, dan nafsu akan mendominasi keputusan hatinya, dan dia terpaksa tunduk dengan kehendak nafsu untuk melaksanakan perlakuan yang kadang kadang akalnya sendiri benci dan menyesalinya.

Sebab itu kita menganggap sesetengah manusia itu tidak bebas. Jiwanya tak bebas membuat keputusan, terpaksa tunduk kepada kehendak atau dominasi nafsu ke atasnya.

Kehendak nafsu mengarahkannya untuk mendengar lagu-lagu haram, berpacaran, meninggalkan solat dan dia tunduk terhadap desakan tersebut disebabkan kuatnya dominasi nafsu ke atas diri.

Begitu juga dengan pertembungan kebenaran dan kebatilan di peringkat masyarakat. 

Pertembungannya sama. Kebenaran dan kebatilan terus bertempur, dan andaikata kebenaran lemah, ianya tetap akan kalah. 

Jadilah masyarakat itu masyarakat yang terjajah oleh nilai nafsu. Akhirnya keputusan yang dibuat di peringkat pemimpin masyarakat adalah keputusan yang tidak merdeka, bahkan terikat kepada kepentingan kepentingan selain daripada kebenaran.

Keputusan seperti tidak mahu melaksanakan syariat, membenarkan kilang arak dibuka, menolak al-muqowamah (fatah di palestin suatu ketika sahulu), tunduk kepada kehendak dan desakan orang kafir, rasuah dan rompakan harta rakyat, itu semua contoh keputusan yang didominasi oleh kebatilan.

Ya, jika kita perhatikan dengan teliti, kebenaran bukannya langsung tidak wujud dalam individu sewaktu ia mengerjakan maksiat dan kebenaran bukannya langsung tidak terlintas dalam perbincangan masyarakat sewaktu keputusan membenarkan kilang arak dibuka, namun pelaksanaan jahiliah tetap dilakukan kerana lemahnya kuasa kebenaran dan kuatnya dominasi kebatilan.

Dan berulang seperti apa yang berlaku dalam pertembungan dalam individu, sebahagian dari masyarakat sangat kesal terhadap keputusan yang dilakukan sebabkan kebodohannya membiarkan penguasaan nafsu terhadap diri. Namun begitulah keadaanya, apabila kebenaran lemah, kita tidak boleh lari dari peraturan alam yang menetapkan, ia akan tunduk terhadap yang kebatilan yang lebih kuat.

Tinggallah penyesalan, kekecewaan, dan keluhan itu sendiri tanpa boleh mengubah keputusan yang akan datang.

Kita perlu kuatkan kebenaran. Kita perlu mendokong wahyu. Dan kebenaran tidak cukup kuat dengan islamnya seorang individu, bahkan ia harus dipikul oleh sebuah generasi yang benar benar meyakini, sanggup bekorban demi kebenaran dan mengoptimumkan segala potensi sehingga ia dapat meruntuhkan dominasi nafsu/taghut yang bukan sahaja didokong oleh pemahaman, bahkan sistem yang berada diperingkat antarabangsa.

Dengan apa kebenaran itu dikuatkan?

Dengan penyucian jiwa, pendidikan akhlaq, majlis zikir, kelas pemahaman Islam, dakwah, ukhuwwah, wehdah, jihad, (kekuatan nilai) dan kekuatan teknikal seperti kerajaan, media dan sebagainya.

Dengan itu, ia akan membentuk sebuah kekuatan bagi kebenaran dalam pertempurannya terhadap kebatilan pada peringkat masyarakat dan negara sehinggalah ia mampu menguasai keadaan, mendominasi keputusan dan menjadi penghala tuju terhadap sesebuah pelaksanaan dalam bermasyarakat.

Tidak lupa juga, adalah sangat penting untuk memutuskan segala faktor yang boleh memberi nafas kepada nafsu untuk terus hidup seperti program hiburan melampau, memberikan kuasa kepada yang tidak amanah atau musyrik, dan sebagainya, sepertimana juga pada peringkat individu, kita perlu memutuskan diri dari makan berlebihan, atau membiarkan diri tidak beraktiviti di masa kosong dan apa saja ruang yang memberi nafas untuk nafsu beraksi.

Kebenaran dan kebatilan adalah entiti yang sentiasa berlawan. Tak mungkin memberikan peluang kepada nafsu boleh membina kekuatan bagi kebenaran (seperti kisah abid yang mencuba arak dengan harapan timbul keinsafan). Adalah sangat penting bagi muslim untuk menyedari bahawa kebenaran yang dipikul sifatnya terputus dari mana mana aspirasi nafsu dan jahiliah (selain dari perhambaan kepada Allah).

Kebenaran dan kebatilan itu bertempur. Kita perlu kuatkan kebenaran dan jangan sekali-kali membantu kebatilan. Kita perlu putuskan diri dengan kebatilan.

Ya, saya tahu. Saya kenal pembaca saya, anda seperti saya, saya seperti anda semua, orang yang sangat kesal dengan keputusan keputusan yang telah dibuat oleh kepala masyarakat. Keputusan yang sangat jauh dari kebenaran, kerana lemahnya dominasi kebenaran.

Lemahnya dominasi itu sebab kita sendiri. 

Kitalah yang perlu membangunkan kekuatan al-hak dan memperjuangkan prinsip wahyu.

Kitalah yang harus melaksanakan kerja dakwah dan terus-menerus mentarbiah.

Sifirnya mudah saja.

Kuatkan kebenaran dan lemahkan kebatilan, dan mulakannya pada peringkat diri anda sendiri.

Pertama sekali, kalau kita benar-benar mahukan kebenaran menang di peringkat negara kita, kita mesti menangkan kebenaran pada peribadi kita sendiri.

Kalau kita mahu bebaskan negara dari dominasi kebatilan, kita wajib melepaskan diri kita sendiri dari dominasi nafsu terhadap jiwa.

Pesanan ini khas untuk diri saya, dan juga kawan kawan terutamanya orang muda. Barangkali sebahagian dari kita tak selesa mendengar nama Ustaz al-Banna, apa pun, dia pernah berpesan kepada mahasiswa dalam risalahnya, dia menyebut, wahai pemuda (yang penuh semangat inginkan perubahan), keutamaan kamu adalah diri kamu sendiri.

Wallahualam


*  *  *


Membangun Ummah Beragenda

Zaid b Zainur Rashid 
12 Feb 2013
Taman Guru Melayu








Gaza (ep 1)

Perjalanan saya ke Gaza selama 5 hari cukup memberi kesan kepada peribadi saya. Bukan saya seorang sahaja, bahkan rakan-rakan saya yang turut menyertai misi solidariti ini, tiada siapa nafikan bagaimana anak-anak Gaza ini sebenarnya telah ‘mengajarkan’ sesuatu kepada kami tentang makna kehidupan.

Bacaan al-Quran mereka tidak lari seperti kita. Cara mereka solat juga sama, tiada asingnya sujud dan ruku’ yang biasa kita ulang-ulang setiap hari. Hadith yang diajar kepada anak-anak mereka bukanlah sesuatu yang tidak lansung didengari di negara Malaysia, bahkan sesekali hadith yang dilalui itu, saya sendiri pernah menghafalnya.

Tetapi di sini terasa berbeza. Lain benar.

Jiwa tenteram.

Hati terasa rindu.

Kadang-kadang tersenyum sendirian.

Ada apa sebenarnya dengan kau, Gaza?



Zaid b Zainur Rashid
10 Feb 2013
Taman Guru Melayu
Seremban NS


Rujukan

Tulisan ini khas untuk menjelaskan karangan saya Demokrasi, Liberalisma dan Islam.


Ulama fiqah telah membahagikan negara kepada lima jenis bahagian iaitu :

1. Dar al-Islam
2. Dar al-Harb
3. Dar al-Sulh
4. Dar al-Riddah
5. Dar al-Bughat


NEGARA ISLAM

- Surah al-Haj ayat 41 "(iaitu) orang-orang yang jika kami beri kedudukan di muka bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada maaruf dan mencegah dari yang mungkar ; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan"


- Syeikh Muhammad Abu Zuhrah menyebut bahawa

“Negara Islam (Darul Islam) ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintah Islam, dalam mana kekuatan dan pertahannya berada di tangan umat Islam. Negara seperti ini wajib dipertahankan oleh setiap Muslim”   (1964, 377)

- Di dalam Usul Ifta tulisan Muhd Ahmad ar-Rashid, beliau menukilkan pandangan Sheikh Abdullah al-Qadiri bahawa negara Islam ialah bumi di mana hukum Allah dominan(zohir), terlaksana hukum Hudud dan Qisas, ditegakkan syiar Islam, dikibarkan bendera tauhid dan dijatuhkan bendera kufur.

- Imam Al-Fahistani (ulama mazhab hanafi) berkata bahawa “Negara Islam ialah negara yang hukum pemerintah Islam berkuatkuasa ke atasnya.”

* * * * * *

CDHRI adalah singkatan kepada Cairo Declaration on Human Rights in Islam, ia adalah sebuah deklarasi oleh OIC pada tahun 1990 bagi menetapkan hak asasi manusia berasaskan Islam, dan beberapa penjelasan yang lain. Boleh rujuk di mana mana website.

* * * * * *



Demokrasi, Liberalisma dan Islam

Karangan kali ini ditulis bagi memperbetulkan tulisan saya di laman Facebook pada tarikh 2 December 2012, yang saya terbitkan sekali di laman blog saya di link berikut.

Pengalaman pembacaan saya yang tidak berapa banyak dan penyusunan semula yang tidak dilakukan secara teliti dan kemas menyebabkan saya sedikit keliru tentang beberapa terma dan idea. Saat itu, saya berkejar untuk menulis sebuah siri tulisan, sebelum saya sampai ke jadual penerbangan ke Gaza. 

Terima kasih kepada saudara saya Alif Imran menyoal semula tentang penulisan saya, menyebabkan saya menyimpan hajat untuk memperbetul semula dan akhirnya berpeluang menulis dan membaiki semula hari ini. el-Hamdulillah.

Moga sentiasa dirahmati Allah taala.


*  *  *  *  *  *  *  *


Demokrasi bukan sebuah falsafah. Ia adalah satu bentuk pemerintahan dan sistem politik sesebuah negara.

Adapun yang saya sebutkan bertentangan dengan Islam adalah falsafah Liberalisme, bukannya demokrasi.

Jadi sepatutnya, ia berbunyi begini 


Demokrasi adalah sebuah bentuk pemerintahan atau sistem politik sesebuah negara.

Sistem Syura juga adalah sebuah bentuk pemerintahan atau sistem politik sesebuah negara. Saya belum belajar Siyasah Syar'iyah, jadi saya tidak tahu samada sistem syura ini mempunyai/telah-digariskan-oleh-ulama sebuah bentuk dan struktur yang tetap atau tidak.

Namun sistem pemerintahan seringkali tidak mempunyai struktur kecil dan teliti yang tetap, bentuknya berubah mengikut masa, tempat dan keadaan semasa, jadi bila dinilai semula, pelbagai sistem politik diguna pakai oleh negara negara pada hari ini, namun ia tetap digelar sebagai demokrasi kerana persamaan terhadap beberapa struktur utamanya.

Begitu juga dengan sistem pemerintahan syura yang diamalkan pada zaman khilafah islamiah terutamanya zaman khulafa ar-Rasyidin, ia tidak statik pada bentuk yang tertentu bahkan ia berubah dari zaman ke zaman. Ini kerana pertimbangan yang dilakukan oleh ulama menghasilkan bentuk yang berbeza bergantung kepada situasi semasa yang berubah-ubah. Namun, ia tetap mempunyai asas utama yang disepakati sebagai sistem syura.

Demokrasi ditemui oleh manusia, dilahirkan melalui falsafah liberalisma. Jadi, kebanyakan dari undang-undang demokrasi terikat dengan falsafah tersebut. 

Demokrasi juga terkenal sebagai sistem pemerintahan bagi falsafah liberalisma. 

Sistem syura yang diamalkan di dalam pemerintahan Islam, menjadikan dalil dalil Islam sebagai rujukannya, manakala sistem demokrasi tulen mengambil Liberalisma sebagai rujukan utamanya.

Melalui rujukan kepada falsafah inilah, demokrasi menolak adanya keistimewaan orang Islam ke atas orang bukan Islam, dan sistem pemerintahannya menolak sebarang penggunaan dalil Islam sebagai hujah dalam menentukan sesebuah keputusan ataupun perlaksanaan. Sebab itulah perkahwinan sejenis dibenarkan di bawah sistem demokrasi tulen.

Perkara ini perlu difahami dengan jelas. Sistem demokrasi telah melarang penglibatan Islam dalam sistem pemerintahan, atau menghalalkan perkahwinan sejenis, bukanlah kerana struktur demokrasi itu sendiri, tetapi kerana keterikatannya dengan dalil dalil liberalisma yang menolak sama sekali peranan agama dalam kehidupan manusia.

Sebagaimana 'kekuasaan' dalam Islam adalah digunakan untuk menegakkan Islam, begitulah 'kekuasaan' dalam Liberalisma adalah bagi menegakkan prinsip prinsip liberal.

Demokrasi dibuat bagi meraikan prinsip prinsip yang ada dalam falsafah liberalisma, jadi bila sesuatu perlaksanaan atau perbuatan yang bertentangan dengan falsafah liberalisma, liberalist akan menggelar dan mendakwa sebagai tidak demokratik(tidak mengikut undang-undang demokrasi).


Jadi, bila Amerika menyerang negara Arab Islam, mereka memanggil ia sebagai democratization atau proses pendemokrasian negara Arab, sedangkan ia juga membawa maksud kepada memasak dan mengguna pakai falsafah liberalisma dalam negara tersebut.



Peringkat kesempurnaan demokrasi di sesebuah negara, peringkat 
dibahagikan melalui penilaian liberal, negara Arab terletak di peringkat terendah



Secara mudahnya, demokrasi adalah sebuah sistem pemerintahan yang terbahagi kepada empat ciri :


1. Sistem politik bagi memilih dan menggantikan pemerintah melalui pilihanraya yang bebas dan adil

2. Penyertaan aktif bagi setiap individu, sebagai seorang warganegara, dalam politik dan kehidupan sivik

3. Mempertahankan hak asasi setiap warganegara

4. Sebuah sistem undang-undang, di mana peraturan dan undang undang dilaksanakan secara samarata terhadap seluruh warganegara (termasuk pemerintah)



Malaysia termasuk di dalam kategori 'Flawed Democracy', di atas alasan itulah Amerika mendana kumpulan masyarakat Madani (Civil Society Group) dan beberapa pihak lain bagi menghidupkan demokrasi penuh di Malaysia


PENGAJARAN

Demokrasi adalah sebuah bentuk pemerintahan, dan ia menjadi salah apabila ia menjadikan Liberal sebagai rujukan utamanya. Adapun struktur demokrasi, jika terpisah dari liberalisma, maka ia adalah struktur pemerintahan yang mempunyai aspirasi yang sama dengan sistem syura, ia menolak kediktatoran, meraikan hak rakyat, memberi kebebasan dan menghidupkan perkongsian pandangan.

Namun terdapat juga (banyak) strukturnya yang masih tidak menepati aspirasi syara' seperti di dalam sistem pilihanraya di Malaysia :

Syarat calon bertanding yang sangat terbuka, iaitu kepada semua warganegara Malaysia yang berumur lebih 21 tahun. 

Dalam Islam, ahli majlis syura dan pemerintah hendaklah orang yang bertaqwa, amanah dan mempunyai kemampuan memimpin, tetapi sistem hari ini membenarkan sesiapa sahaja menjadi ahli syura, termasuk yang fasik dan kafir, yang penting ia disokong dan diundi oleh rakyat dengan undian tertinggi.

Di samping itu, elemen 'Peraturan Majoriti' (Majority Rule) juga dikira tidak syar'ie kerana ia meletakkan kuasa majoriti di atas autoriti al-Quran dan as-Sunnah, dengan itu jika majoriti perwakilan menetapkan sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, maka ia akan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam ataupun sebaliknya, dan disitulah antara kecacatan sistem demokrasi (berparlimen).

Jika kita lakukan pemerhatian dengan cermat, apabila demokrasi memutuskan hubungannya dengan liberal, (menjadi demokrasi terpimpin) maka perbezaan demokrasi dan sistem syura dalam Islam hanyalah beberapa sudut teknikal sahaja, yang masih boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

Sudut teknikel ini (spt penamaan calon, akhlak parti, kuasa parlimen dll) telahpun dibahaskan oleh ramai pemikir Islam dan Ulama kontemporari seperti dr Salah as-Sowy, Dr Munir Muhammad al-Ghadban, Dr Yusuf Qardawi, Dr Mahmood Ghazlan, Dr Wahbah Zuhaili dan mereka telahpun mengulas demokrasi dan menyusun kembali sistem ini dan menyesuaikannya dengan kehendak Islam. Namun ia belum lagi dilaksanakan di kebanyakan negara Islam, dan sebahagiannya masih/telah melakukan proses islamisasi sistem demokrasi tersebut seperti di Mesir dan Gaza.



Buku yang saya sempat beli semasa ziarah di Mesir, 'Ikhwan dan Demokrasi, Risalah kepada Pemuda' oleh Dr Mahmood Ghazlan (pelajaran dari revolusi)


Seperti yang pernah dinyatakan oleh Ust Abdullah Zaik (Presiden ISMA), ISMA tidak menolak elemen elemen positif dalam demokrasi pilihanraya. Ust Abdullah menyebut bahawa :


" ISMA menerima  :

  1. pertukaran kuasa secara aman
  2. hak rakyat untuk muhasabah pemerintah
  3. hak rakyat untuk sama-sama menentukan masa depan negara

ISMA menganggap demokrasi pilihanraya adalah hasil penemuan manusia. Islam tidak melarang umatnya mengambil faedah dari pengalaman manusia, seperti sabda Rasulullah s.a.w  ”kebijaksanaan itu adalah barang yang hilang dari orang yang beriman..di mana ia menjumpainya, ia lebih berhak terhadapnya”.

Namun ISMA menolak falsafah demokrasi Barat yang menolak peranan Tuhan dalam pemerintahan, peranan agama dalam kehidupan, yang menyamaratakan antara orang yang beriman dan tidak beriman, yang menganggap semua agama sama menyeru kepada perkara yang betul. Falsafah liberal yang bolos dari setiap ikatan akhlak dan hukum hakam serta  meletakkan kebebasan individu sebagai nilai tertinggi atau rakyat sebagai Tuhan."


Sebelum demokrasi ditemui, pertukaran kuasa di mana mana empayar jarang sekali dapat dilakukan secara aman, termasuk juga pertukaran kuasa di dalam empayar Islam. Ulama' silam telah meletakkan syarat-syarat yang sangat ketat dalam melaksanakan penukaran kuasa bagi mengelakkan perpecahan, peperangan, pertumpahan darah dan kemudhoratan yang lebih besar daripada berlaku semata-mata kerana pertukaran kuasa antara blok politik tertentu.

Sistem demokrasi merupakan sistem yang baik hasil kajian manusia itu sendiri, ia adalah sebuah sistem baru untuk dunia, dan negara Islam terutamanya. Namun hendaklah disedari bahwa sistem ini bertumbuh dari bumi barat, setelah zaman gelap mereka, di mana pemikir pemikir mereka adalah orang yang anti-agama, yang hanya menerima pakai logika akal semata-mata, jadi demokrasi yang dimulakan di bumi barat ini sarat dengan nilai nilai liberalisma. Jadi kemasukan sistem ini ke dalam negara Islam seharusnya tidak dilakukan secara terbuka dan kita tidak boleh menerimanya bulat-bulat, bahkan sistem ini haruslah disaring, ditapis sesuai mengikut nilai ketimuran yang terpasak pada negara-negara Islam.

Negara kita dianggap sebagai negara yang mempunyai demokrasi yang cacat (flawed demokrasi) seperti yang tertera pada indeks demokrasi adalah kerana Malaysia menolak untuk menerima seluruh nilai nilai tersebut. Pemikir Islam kita di era kemerdekaan telah menyesuaikan sistem ini di Malaysia dengan kehendak siyasah syar'iyah, pada kadar yang paling maksima yang mampu dilakukan bagi memelihara kehendak siyasah syar'iyah pada waktu tersebut. Pada tahun 1955 kita telah menerima pakai sistem demokrasi, secara bertapis seperti kebanyakan negara Islam lain dan disertakan dengan sistem beraja.

Negara Islam mengikut pandangan ulama bolehlah disimpulkan kepada 2 perkara utama iaitu :

1. Kekuasaan Muslimin

2. Penegakan Syariah

(rujuk)

Penyesuaian sistem demokrasi dengan kehendak siyasah syar'iayah pada era kemerdekaan boleh dilihat apabila kita menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan(menjadi rujukan), tiadanya perkataan sekular di dalam perlembagaan, ketuanan umat Islam (Melayu) di Malaysia, pengekalan institusi Diraja dan lain lain. Namun kita dapati kebanyakan masalah yang berlaku adalah pada perlaksanaannya, disebabkan oleh faktor pemimpin dan rakyat yang tidak memahami Islam dengan baik.

Falsafah liberalisma adalah falsafah ciptaan manusia di bawah bimbingan syaitan. Ianya tidak sempurna, dan ia tak akan mampu menandingi falsafah dan sistem yang datang dari langit, iaitu Islam. Dan kecacatan liberalisma sendiri telah mula disedari oleh pihak barat sendiri, seperti Perancis, Itali, Greece dan Slovenia yang dengan sendirinya telah menolak demokrasi penuh, menolak liberalisma dan hak asasi manusia sebagai rujukan utama dalam pelaksanaan ekonomi dan pentadbiran, yang akhirnya menjadikan negara mereka jatuh dari Full democracy ke Flawed Democracy, seperti di Malaysia. Kecacatan demokrasi ini terserlah tatkala ia benar-benar diuji tentang validitinya, apabila dunia menghadapi krisis ekonomi, dan juga penilaian hasil dari agenda kebebasan Amerika yang dilakukan di timur tengah.


Jadi, adakah kita menerima demokrasi?


Jawapannya, ya, kita terima, tetapi tidak sepenuhnya.

Kita terima beberapa aspek strukturnya, tetapi kita menolak falsafahnya.

Kita terima demokrasi Islam, bukan demokrasi liberal.


Kita beranggapan bahawa struktur yang ada haruslah diperbetulkan, dan demokrasi yang sepatutnya diguna pakai tidak seharusnya merujuk kepada falsafah liberalisma atau UNDHR bahkan ia patut merujuk kepada Islam dan CDHRI/UIDHR.

Kalaulah demokrasi Islam yang kita takrifkan ini tidak dianggap sebagai demokrasi oleh Amerika/masyarakat dunia, (walaupun setelah kita mengguna pakai sistem pilihanraya dan beberapa strukturnya), maka lebih baik kita dakwa sendiri bahawa kita tolak demokrasi.

Saya kira masyarakat Islam adalah masyarakat yang unik, tersendiri, dan tidak boleh dicampurkan sistemnya dengan sistem jahiliah. Mufasolah atau pembezaan antara yang Hak dan Batil adalah perkara yang pasti dalam menegakkan maksud syahadah yang sebenar.

Nabi s.a.w. telah membina sebuah masyarakat yang exclusive, mempunyai nilai yang tersendiri, tidak tunduk kepada nilai masyarakat lain bahkan membina blok baru dan memanggil manusia untuk berada di bawah garisan garisan, sistem, dan nilai yang ditentukan oleh Allah s.w.t sendiri.

Permulaan bagi langkah ini ialah dengan membina individu yang benar-benar Muslim, yang bebas dari nilai jahiliah, kemudian kepada keluarga Muslim, masyarakat yang Muslim, dan kemudian dengan masyarakat yang muslim inilah, mereka menjadi pengundi (penentu kepada majlis pemerintahan) yang sah, berkelayakan dari segi akidah dan kefahaman Islamnya, bagi memilih ulil Amr mereka.

 (Syarat kelayakan pengundi ; seluruh warganegara yang berumur 21 tahun - saya kira dalah peraturan yang cukup loggar dan tidak kuat. Dalam Islam sendiri, mereka yang membuat keputusan dalam perbincangan sepatutnya terdiri daripada ahlinya. Paling kurang, pengundi mestilah mereka yang mempunyai ilmu yang cukup, adil dan matang.

Dan gerakan Islam seperti Hamas dan Ikhwan Muslimin tidak memilih untuk menukar bentuk syarat kelayakan pengundi (buat masa ini) bahkan mereka mengambil langkah menjadikan seluruh rakyat berumur 21 tahun mereka yang berkelayakan dari segi penilaian Islam melalui projek dakwah dan tarbiah masyarakat. Dengan ini kuasa pengundi membentuk desakan Islam yang kuat dan membantu blok politik untuk menjalankan pemerintahan yang berlandaskan Islam yang sebenar.)

Dari ulil Amr yang terpilih itu, mereka membersihkan negara Islam dari kuasa asing, sama ada aspek ekonomi, budaya, dan sistem/ fahaman politik itu sendiri. Setelah itu, ulil Amr ini akan mendirikan negara Islam yang benar-benar bercirikan Islam, menegakkan keadilan, membasmi kemiskinan dan menjadi negara contoh kepada negara negara lain.

Untuk langkah seterusnya, anda boleh baca maratib amal Ikhwan di dalam rukun Baiah yang ketiga, Risalah taa'lim, Imam as-Syahid Hassan al-Banna.


Sekali lagi, adakah kita benar benar terima demokrasi?

Ya, apabila ia terpisah dari falsafah liberalisma, apabila kita bersungguh menjalankan dakwah dan tarbiah, dan apabila kita, umat Islam, berani untuk bersatu padu. (seruan ust Abdullah Zaik)



Wallahualam

Zaid b Zainur Rashid
24 Januari 2013
Taman Guru Melayu
Seremban, Negeri Sembilan

Pandangan Terhadap Bacaan Politik ISMA

Saya merupakan ahli umum badan bukan kerajaan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), dan ini pandangan saya terhadap bacaan dan pendirian politik ISMA bagi politik semasa di Malaysia.




- ISMA menganggap UMNO sebagai sebahagian dari barisan umat Islam dalam peranan politik tanah air

- Negara ini adalah negara Islam, dan dipegang oleh umat Islam 

- Maksud negara Islam adalah apabila kuasa pembuat dasar negara adalah pada umat Islam


1. UMNO dan PAS adalah wakil bagi ‘umat Islam’ dalam pemerintahan negara Malaysia manakala MCA, MIC dan DAP adalah wakil bagi umat kafir di Malaysia.

2. Kini negara Malaysia dipimpin oleh umat Islam, dan umat kafir menetap di sini, mempunyai wakil dan wakilnya berperanan untuk berbincang dengan pemerintah Islam dalam hal ehwal pentadbiran kerana melibatkan hal ehwal umat kafir yang tinggal di negara Islam Malaysia ini.

3. Sama ada BN atau PR memegang tampuk pemerintahan negara, ISMA akan terus menganggap PAS dan UMNO sebagai wakil umat Islam di Malaysia, dan UMNO atau PAS berhak menjadi pemerintah kepada negara itu manakala kehadiran DAP, MCA atau MIC dalam pemerintahan hanyalah sebagai penolong dan wakil bagi bahagian kelompok rakyat tertentu dalam negara Islam Malaysia.

4. Andaikata PR memenangi PRU, PAS akan memerlukan kesepakatan Melayu, dan kekuatan UMNO bagi memimpin pemerintahan dan menjaga kuasa politik umat Islam, dan begitu juga sebaliknya bagi pihak UMNO.

5. ISMA sebagai sebahagian dari kelompok dalam umat Islam akan terus berikan sokongan dan teguran kepada wakil umat Islam dalam politik pemerintahan.

6. ISMA belum membuat keputusan untuk menyokong BN atau PR (komponen keduanya) di dalam PRU-13.

7. MSIB adalah sebuah idea untuk memberikan kekuatan bagi wakil umat Islam ini atau lebih tepat, mengukuhkan kekuatan politik umat Islam.

8. Sama ada BN atau PR menang, ISMA akan terus melaungkan MSIB agar PAS dan UMNO bersatu tenaga untuk menjaga Islam di Malaysia, terutamanya melalui menjaga kuasa politik umat Islam.



Saya kira, itu pandangan dan pendirian asas ISMA kepada politik di Malaysia yang membuahkan respon respon terhadap isu semasa agak berbeza dengan kebanyakan. Lihat kepada respon ISMA, dan cuba kaitkan dengan cara melihat di atas.

Saya juga lihat ISMA cuba menghalakan persaingan antara PAS dan UMNO kepada persaingan yang menguntungkan orang Melayu Islam, bukan pertelingkahan kosong atau yang merugikan.

ISMA tiada kepentingan langsung untuk menjatuhkan mana mana wakil umat Islam sama ada PAS atau UMNO. Tak untung apa pun.

Wallahualam.



Zaid b Zainur Rashid
4 Januari 2012
Iskandariah, Mesir.

Agenda Kebebasan dan MSIB (bhg 2)

Contoh Tuntutan Liberalisasi

1. Hak untuk bertukar agama (bagi muslim)
2. Hak untuk berzina
3. Hak untuk minum arak
4. Hak untuk membawa dan mempunyai senjata api
5. Hak untuk menukar jantina
6. Hak untuk kahwin sejenis
7. Hak untuk kahwin antara agama
8. Hak salun unisex
9. Hak penggunaan kalimah Allah dalam kitab bible









Desakan ini akan berlarutan sehingga kepada membenarkan cium di khalayak ramai, kebenaran aktiviti dan pensyarikatan pornografi, perlacuran berlesen secara terang terangan, hak samarata penuh, hak kaum lain untuk menjadi PM, pemansuhan institusi Islam dan lain lain.


Melayu Sepakat Islam Berdaulat


1. Begitulah arus liberalisasi datang. Ia berbentuk arus untuk mencairkan identiti masyarakat Islam, juga mencairkan identiti Islam negara Malaysia. Musuh mereka, adalah kerajaan (dan undang undangnya), seperti PAS dan UMNO, begitu juga institusi agama dan badan sosial (NGO) yang menghalang agenda kebebasan mereka.


2. Matlamat mereka ialah melonggarkan undang undang sehingga terhapus sama sekali perkara yang menyekat kebebasan individu dan akhirnya bentuklah negara equal seperti negara model mereka, Amerika. 




3. Lihat kepada gambar :

A) Adakah si kecil mampu memberikan arahan kepada si gemuk tersebut?

B) Adakah si kecil itu mempu menjadikan si gemuk itu tunduk dan patuh kepada arahannya?

C) Apa yang si kecil itu mampu paksakan ke atas si gemuk tersebut?

D) Adakah kalau dibuat persetujuan, si kecil itu yang mengemukakan syarat dan peraturan atau si gemuk yang membuat syarat dan peraturan, dan si kecil yang terpaksa ikut?

E) Bahkan si gemuk tidak ragu sikitpun di hatinya untuk melawan si kecil, dan kemungkinan besar dia akan ambil budak itu sebagai kuli atau dibunuh saja.


4. Politik adalah kekuatan. Siapa yang kuat, maka dia yang akan menentukan halatuju politik sesuatu medan.


5. Tunduknya UMNO dan PAS kepada desakan liberalisasi adalah kerana kuasa politik yang semakin melemah. Kenapa hendak diikut dan tunduk kepada desakan itu kalau tidak kerana mileage politik?


6. Lemahnya kekuatan politik itu dilihat berpunca kepada perpecahan yang melampau, dan tidak wujudnya kesepakatan dalam menjaga agenda Islam di dalam negara. Kelemahan kuasa politik ini diambil kesempatan oleh pihak minoriti untuk membuat desakan desakan yang menguntungkan pihak mereka. 


7. Kesepakatan antara UMNO dan PAS untuk menjaga agenda Islam di negara dan tidak bekerjasama dengan musuh adalah satu kekuatan dan kestabilan politik umat Islam yang dicitakan.


8. Pihak kuffar semuanya bersepakat untuk bersama dengan arus liberal, walaupun mereka di barisan politik kepartian yang berbeza. Dan ia membentuk satu kekuatan dengan kolaborasi antara mereka.


9. ISMA mengajak kita melihat di luar kerangka politik kepartian. Pertembungan hari ini bukanlah di antara BN dan PR, bukan juga UMNO dan PAS. ISMA mengajak kita melihat pentas pertarungan yang sebenar, iaitu pertembungan antara kuasa Islam dan blok barat.


10. ISMA melihat PAS dan UMNO itu berada dalam barisan yang sama, iaitu blok umat Islam, manakala yang diperangi adalah hegemoni barat dan kuffar, sebagai satu barisan tentera bersekutu, DAP, IFC, LGBTRC, SIS, IRF, Malaysiakini, SUARAM dan lain lain.


11. Boleh Nampak? Di barisan tentera bersekutu kuffar, mereka bersatu menyerang Islam, namun di barisan kita umat Islam, kita berpecah belah bahkan memanggil orang luar untuk bersama membantu melawan keluarga sendiri. ISMA menyeru agar PAS dan UMNO bersepakat dalam menghadapi barisan kuffar dan menyelesaikan kes dalaman secara sendiri, tanpa menjemput anasir luar untuk campur tangan hal rumahtangga.


12. Kalau keadaan berterusan tanpa pemulihan, ISMA melihat akhirnya negara akan terlepas kepada kuasa kuffar. Bukan lagi UMNO, atau PAS yang membentuk dan mengepalai negara, tetapi blok kafir. 


13. Saat itu, negara kita akan menjadi seperti negara Amerika. Atau lebih dekat lagi, negara Singapura. Kita umat Islam hanyalah akan menjadi penonton, merayu dan meraung, berdemonstrasi sedangkan kuasa untuk menentukan berada di tangan orang kafir. Na’uzubillah min zalik. 


14. Atas alasan itu, ISMA mengajak umat Islam :

A) UMNO agar ikhlas dalam perjuangan

B) PAS agar tidak membantu DAP dalam mengukuhkan kedudukan mereka

C) Mencadangkan PAS agar membersihkan saf mereka dari puak Syiah dan liberal jika ingin memegang tampuk negara

D) UMNO dan PAS menyelesaikan masalah dalaman secara sendiri sesama umat Islam, tanpa perlu mengajak pihak luar menyelesaikan pertelingkahan rumahtangga 

E) UMNO dan PAS bersepakat untuk menjaga kedudukan dan kuasa Islam, dan kepentingan umat Islam (51% Melayu, 9% lain lain)


Kalau kita kuat, kita yang akan menentukan bentuk negara ini. Kalau kita lemah, sudah pegang negara pun, tak mungkin boleh buat apa apa. Dalam keadaan PAS adalah kerajaan di negeri Kelantan, mengapa harus tunduk kepada gertakan Karpal tempoh hari? (isu salun)

Isu utama kita adalah kekuatan politik. Bukan instrumen intrumen politik, bukan teknikel lain. Perkara lain didirkan setelah wujudnya kekuatan. Kekuatan sebelum hudud. Kekuatan sebelum kewarakan. Instrumen lain tak mungkin dapat dibangunkan kalau tiada kekuatan. Dan tak guna juga hidup di bawah pimpinan tanpa rasuah kalau dia adalah orang kafir. Sama macam duduk di Amerika. 

Lebih baik sendiri mempunyai negara khilafah yang rasuah dari hidup hanya menumpang di empayar Kristian yang adil.


Zaid b Zainur Rashid
2 Januari 2013
Kaherah, Mesir.


Agenda Kebebasan dan MSIB (bhg 1)

(Agenda Kebebasan adalah merujuk kepada The Freedom Agenda yang dikepalai oleh Amerika manakala MSIB pula adalah slogan yang dilaungkan oleh ISMA, yang bermaksud Melayu Sepakat Islam Berdaulat)

1. Liberalisma adalah falsafah yang meletakkan kebebasan mutlak individu sebagai nilai politik yang tertinggi. Tumpuan utama ialah hak kebebasan individu dan kesamarataan mutlak.

2. Maksud bebas ialah seluruh individu berhak melakukan apa yang ia suka dan berhak untuk menjadi siapa yang dia mahu. Kebebasan yang dianjurkan tidak tertakluk kepada penggunaan logik akal waras, apatah lagi peranan agama.

3. Mengikut logik akal waras, Lesbian Gay Bisexual Transexual (LGBT) adalah satu perkara yang tertolak dan termasuk sebagai perkara luar tabiat. Namun menurut liberalisma, kehendak individu tidak boleh disekat, ia bebas melakukan apa yang disukai dan direla. Maka liberalisma menghalalkan perkahwinan antara jantina kerana itulah kehendak manusia tersebut terhadap dirinya. Atas alasan yang sama, pemilikan dan pengambilan dadah adalah tidak salah di bawah undang undang negara liberal (tetapi tidak boleh lebih had/menjadi pengedar), dan ibu bebas untuk melakukan penzinaan bersama anaknya sendiri jika keduanya rela. Kehendak mereka tidak boleh disekat oleh undang undang dan tidak boleh dicemuh oleh masyarakat sekeliling.

4. Sepanjang sejarah sehingga kini, musuh utama kepada liberalism adalah Kerajaan dan Institusi Agama. Ini adalah kerana hanya dua perkara inilah yang sering menganggu kebebasan individu.

Antara projek liberalisasi adalah memandulkan fungsi Mahkamah Syariah


5. Negara liberal moden awal adalah Amerika Syarikat, yang didirikan di bawah prinsip

" Setiap manusia diciptakan sama taraf; bahawa mereka diberi oleh pencipta mereka hak-hak yang tidak boleh dinafikan; bahawa antara ini adalah kehidupan, kebebasan, dan mengejar kebahagiaan; bahawa untuk melindungi hak-hak ini, kerajaan dibuat oleh manusia, yang menggunakan kuasa mereka secara adil dengan izin mereka yang diperintah"

Ini adalah prinsip asas kepada liberal, dan melalui prinsip inilah akan terbentuknya undang undang, struktur pemerintahan dan sistem sosial di dalam sesebuah negara.

6. Fungsi kerajaan hanyalah mengurus kehidupan, menyelesai pertelingkahan dan tidak boleh menjalankan undang undang atau pemerintahan yang menyekat apa apa kehendak rakyat. Manakala institusi agama (jabatan atau NGO) juga tidak boleh mencemuh, mengongkong kehendak rakyat. Bahkan tidak boleh tegur sekalipun (walaupun sepatutnya ia sebahagian dari freedom of expression) kerana manusia berhak melakukan mengikut kehendaknya, dan menegur adalah lambang kepada sifat tidak terbuka, menafikan kebebasan milik individu dan akan digelar sebagai pelampau.

7. Boleh dikatakan liberalisma adalah falsafah pokok kepada LGBT, SIS, demonstrasi jalanan melampau dan lain lain aktiviti perjuangan kumpulan civil society.

8. Semasa revolusi Mesir, banyak provokasi provokasi telah dilakukan. Antaranya ialah peristiwa wanita arab yang menayangkan gambarnya telanjang di laman fb. Hala tuju revolusi yang ingin dibawa ialah kebebasan mutlak dan ketinggian nilai kehendak manusia. Negara liberal yang diidamkan tidak boleh menghalang kehendaknya yang rela menyebarkan gambar tidak senonoh itu. (Tak perlu search di google tentang berita ini, nanti keluar gambar, dosa)

9. Namun perbuatannya mendapat tentangan yang sangat hebat kerana majoriti rakyat Mesir ingin mengekalkan identiti ketimuran dan jati diri Islam. Tetapi perbuatannya disokong penuh oleh golongan liberal Mesir, terutama golongan feminist. Bahkan mereka menggelar perempuan itu sebagai 'revolutionary girl' bagi negara Mesir. Media liberal menyatakan sokongan penuh terhadap idea kebebasan ini, wanita wanita Israel juga telah membuat kumpulan rasmi menyokong tindakan itu dengan mengadakan protes secara berbogel sebagai provokasi dan menyatakan bahawa tindakan wanita itu ialah HAK peribadinya.

10. Selain itu, selama 20 bulan proses pindaan perlembagaan Mesir dilakukan, golongan liberal tidak habis habis berjuang untuk membuang peruntukan Islam di dalam perlembagaan, iaitu perkara 2 yang mengatakan islam sebagai agama negara dan bahasa Arab adalah bahasa rasmi negara. Ini kerana bagi mereka, peruntukan Islamlah yang menyekat kebebasan individu dan asas kepada kepincangan/ketidak adilan undang undang negara yang dilihat berat sebelah dan tidak terbuka. Namun pihak Ikhwan Muslimin dan golongan Islamis lain dengan keras mempertahankan artikel 2 tersebut, sehinggalah draf perlembagaan diserahkan kepada Dr Morsi tempoh hari.

11. Protes dan demonstrasi yang dilakukan oleh pihak liberal dan sekular sebenarnya adalah disebabkan ketidak puas hatian mereka terhadap dominasi islamis dalam perubahan negara sehingga menggagalkan mereka untuk merubah negara menjadi negara liberal democrat. Itulah pertembungan yang pasti. Rusuhan memuncak ketika dr Morsi mengembalikan kuasa penuh presiden(walaupun hanya buat sementara waktu) dan usaha dan pakatan untuk menjatuhkan dr Morsi masih diteruskan sehingga ke hari ini.

12. Secara umumnya, seluruh negara Islam yang mengamalkan konsep nasionalisma secular akan mengalami perubahan pada negaranya dek kerana kegagalan konsep itu dalam menyelesaikan krisis umat, dan konsep itu telah sampai kepada tarikh luputnya. Konsep ini akan berakhir dan ia akan digantikan dengan sebuah negara berkonsepkan perkara yang baru.

13. Malaysia tidak terkecuali. Malaysia pun sedang mengalami perubahan, dan pertembungan di antara hak dan batil ini telahpun bermula. Malaysia hari ini adalah negara yang belum habis dibentuk, dan barisan mana yang mempunyai kekuatan maka dialah yang paling berhak dalam mencorak rupa bentuk negara Islam Malaysia ini di masa hadapan. Barisan antara Islamis dan liberalis, bukan BN dengan Pakatan.

14. Isu isu seperti LGBT, IFC yang menuntut kebenaran kahwin campur dan penggunaan perkataan Allah dalam majalah Herald bahasa Melayu, hak kesamarataan mutlak, hak bukan Melayu untuk memimpin, hak golongan minoriti, hak wanita untuk berpoligami, hak untuk murtad, permohonan keizinan syiah di Malaysia atas nama hak asasi melalui SUHAKAM, semua desakan desakan ini adalah buah kepada falsafah liberalisma yang mula mengakar.

15. Namun tuntutan tuntutan ini tidak dilaksanakan dan dapat dikawal kerana peruntukan Islam yang tertera di dalam perlembagaan negara. Islam menganjurkan kebebasan, namun kebebasan dalam Islam punya sempadan. Tetapi desakan dan asakan ini tetap tidak boleh dianggap ringan, kerana usaha untuk menjadikan negara ini menyarungi konsep liberal telah sampai kepada mempertikaikan sendiri perlembagaan negara, dalam keadaan golongan tersebut tidak berkuasa lagi.

Bersambung.


Zaid b Zainur Rashid
7 December 2012
Gaza Commodore Hotel
Palestine

Perang Dingin 2 (Cold War II)


1. Islam adalah sebuah deen.

2. Deen bermaksud sistem kehidupan, ataupun nizhomul hayah/way of life. Sistem kehidupan terbahagi kepada pelbagai aspek, antaranya akhlaq individu, kepercayaan, kefahaman, ritual ibadah, sistem kemasyarakatan, pemerintahan dan undang undang, ekonomi, hukum jenayah, sistem antarabangsa dan lain lain. Islam adalah seluruh sistem tersebut.

2. Kristian, Hindu dan lain lain agama bukanlah ad-deen/sistem hidup. Ia adalah satu aspek daripada sebuah sistem hidup, dan kalaulah ia didakwa sebagai sistem kehidupan, maka ia adalah sistem kehidupan yang terlampau banyak kelompongan.

3. Pernah dengar terma christianic banking? Hindu ada ajar cara melafaz lafaz nikah, cara lafaz talaq, pembahagian jenis talaq? Sinkh ada peraturan dalam perniagaan, cara berhutang, atau adakah ia menyediakan cara cara sembelih binatang, harus diputuskan urat merihnya? Adakah buddha memperbahas sistem perundangan, sistem pemerintahan, hubungan antara negara negara asing, hukum jenayah, hukum kepada pencuri dan penzina? Jawapannya tidak.

4. Maka apakah semua itu kalau ia bukan addeen? Ia adalah satu aspek daripada sistem kehidupan iaitu semata mata kepercayaan dan ritual ibadah untuk individu.

5. Siapakah lawan kepada Islam? ad-Deen apa yang sedang dianuti dan diguna pakai oleh kebanyakan negara/khususnya barat? Jawapannya adalah liberal democratic.

6. Selain liberal democratic, terdapat lagi beberapa sistem kehidupan lain seperti komunis, semuanya lain daripada Islam, semuanya jahiliah.

7. Liberal democratic adalah ad-Deen. Dasar ekonominya adalah kapitalisma. Kepercayaan agamanya adalah pluralisma, iaitu meletakkan semua agama itu sama tarafnya, semua membawa kepada kebaikan dan membawa kepada apa yang dipercayai(surga). Maqasid syariahnya adalah UNDHR. Rukun negaranya dan maksud pemerintahannya adalah 'four pillars of democracy'.

(inilah yang cuba diterapkan dalam Malaysia. ISMA sama sekali menolaknya)

8. Atas dasar itu, kita dapati bahawa kristian, hindu dan lain lain kepercayaan boleh bertahan dalam bentuknya, kerana mereka hanyalah menjadi tampalan kepada sistem yang lain. Ia adalah penggabungan yang sempurna, kerana Kristian dan lain lain agama hanyalah mengisi aspek kepercayaan dan tidak membahaskan perkara lain, sedang liberal democratic adalah sistem yang memberikan kebebasan dalam kepercayaan dan menyatakan kepercayaan itu bersifat relatif dan khusus untuk individu. Manakala Islam adalah projek yang terasing, ia mampu berdiri sendiri, ia adalah sistem kehidupan, bukan tampalan hiasan dalam sistem kehidupan yang lain, tidak boleh dicampur adukkan. (Ucapan Dasar AGM ke 12 ISMA)

9. Adapun negara negara islam, setelah mendapatkan kemerdekaan dari penjajah, telah ditinggalkan bagi mereka sistem negara selain dari Islam, namun bukanlah sepenuhnya liberal democratic. Ia adalah religous nationalism atau secular nationalism.

10. Menjadikan negara Islam(dan keseluruhan negara, terutamanya yang pernah dijajah) negara yang berasaskan liberal democratic adalah impian mereka. Namun mereka terpaksa meninggalkan negara Islam, selepas dijajah bukan dengan sistem liberal democratic disebabkan nilai ketimuran yang masih kuat dalam negara negara terjajah. Mereka meninggalkannya dengan konsep secular nationalism, yang padanya tertanam nilai nilai Islam dan ketimuran, tapi bukan sepenuhnya sistem islam.

11. Dengan itu kita dapati sebahagian daripada sistem islam masih dijalankan di negara Islam. Seperti malaysia, suruhanjaya Reid dan jawatankuasa 11 telah memutuskan bahawa islam adalah agama persekutuan, hak istimewa orang melayu dan lain lain. Kewujudan mahkamah syariah, tabung haji, juga adalah bukti nilai ketimuran yang masih terkesan dalam negara Islam. Dan ini bukanlah idea yang diminati oleh barat, boleh dikatakan ini adalah akhaf dharurain (dharurah yang lebih ringan) bagi mereka berbanding sistem Islam yang penuh, dan projek penjajahan mereka masih diteruskan.

12. Kemerdekaan yang diberikan oleh penjajah tidaklah dilepas dengan kosong. Peperangan masih berlangsung, sepertimana yang berlaku antara kerajaan soviet dan blok barat. Pertembungan yang berlaku di antara tamadun barat dan tamadun Islam adalah perang dingin, mereka ingin mendefinasi semula negara negara Islam, sehingga ia berubah menjadi negara liberal democratic seperti mereka.

*Sebab itulah, sesetengah artikel perlembagaan Malaysia itu disisip tepinya (akan disemak semula selepas 15 tahun) kerana perlembagaan islamik itu tidak disenangi barat. Penjajahan fizikal mereka tidak berjaya, dan semakan semula adalah bukti proses penjajahan ingin diteruskan. Tetapi semakan semula itu tidak dijalankan dek peristiwa 13 Mei.

13. Revolusi negara negara Arab adalah di antara harapan barat menukar kerajaan diktator dengan kerajaan baru liberal democrat. Namun sesetengah revolusi itu tidak bergerak mengikut acuan yang diidamkan oleh barat.

14. Peperangan dingin ini juga berlaku di Indonesia dan di sana tamadun barat telah menampakkan kesan penjajahan budayanya disitu(bukan untuk menyakiti ikhwah indonesia). Peperangan ini masih berlangsung di Malaysia, dan pihak barat, sebagaimana biasa dalam peperangan dingin, tidak berdepan secara jelas di sini, tidak datang ke negara sebagai orang luar, tetapi kontijennya dibawa oleh golongan liberal, termasuk juga muslim moderat yang berada dalam negara itu sendiri. Mereka dibiaya dengan yayasan yayasan antarabangsa untuk menjalankan misi tersebut. Muslim Moderat memainkan peranan yang sangat besar, selain daripada penampilannya yang popular di kalangan audience Islam.

15. Malaysia adalah negara yang belum habis dibentuk. Begitu juga beberapa negara Islam yang lain. presiden ISMA menyebut, kita berhadapan dengan sebuah perubahan, dan bagi kita dua pilihan samada :

a) kembali kepada Islam, bersatu dan mempertahankan sisa hak warisan yang ada
b) lebur dalam masyarakat antarabangsa di bawah pengaruh globalisasi

16. Secara umumnya, kita sedang menuju kepada dunia orde baru. Dunia di bawah satu sistem, satu budaya. Orde baru ini bukanlah seperti yang dimomok oleh golongan teori konspirasi sehingga segala simbol itu mengawal takdir manusia. Tetapi ia adalah bentuk penjajahan baru kepada dunia, di mana seluruh negara terpaksa tunduk di bawah satu sistem yang dimonopoli oleh barat, dan penjajahan budaya.

17. Justeru, apa matlamat kita? sekarang kita berada di mana? apa yang perlu kita buat? apa yang perlu dipertahankan? apa yang perlu dibina?

--

Selain daripada barat, terdapat juga blok kuasa yang lain, dan semuanya bukan dari Islam. Barat tidaklah menguasai sepenuhnya, namun mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kerajaan dunia. Semua yang selain dari Islam adalah daripada iblis.

Artikel ini bertujuan untuk memahami pertembungan yang berlaku sahaja.

Perang yang berlaku dalam Malaysia, dan negara Islam yang lain.

Peperangan membentuk negara.

Ia adalah konsep asas, yang membuahkan pelbagai isu, kes dan perbahasan cabang yang lain.

Paling kurang jelas siapa musuh sebenar kita, dan hendaklah dikaji semula, jawab persoalan persoalan dan haruslah fikir, ke mana sebenarnya perjuangan kita.



Zaid b Zainur Rashid
3 December 2012
Taman Guru Melayu
Seremban, Malaysia.


Nilai demokrasi yang bertentangan dengan Islam



(sila baca juga karangan pembetulan saya di sini)

1. Demokrasi adalah sebuah idea manakala Islam pula adalah idea yang lain, ianya terpisah sama sekali.

2. Asas kepada Islam adalah pengabdian manusia kepada Allah, manakala demokrasi asasnya ialah kehendak manusia.

3. Jika anda menilai struktur Islam mengikut kacamata demokrasi, maka anda akan dapati bahawa Islam itu terkebelakang, pemikiran sempit, berbaur pengganas, mempunyai nilai kediktatoran, bercanggah dengan prinsip kebebasan dan hak asasi manusia.

4. Contoh : Islam tak membenarkan penganutnya berkahwin campur, Islam mengatakan agamanya sahaja yang benar, penganutnya dilarang untuk bertukar agama, dilarang untuk berkata yang membawa kepada menentang syariat atau akidah, atau kesat dan lucah, dan boleh dikenakan tindakan undang undang.

5. Dengan itu, Islam telah menafikan hak asasi manusia, sekaligus melanggar prinsip demokrasi.

6. Berdasarkan idea kebebasan manusia, PBB telah menggariskan beberapa hak asas bagi seseorang individu. Dalam fasal 'Freedom of Worship' yang tertera dalam Deklarasi PBB tentang Hak Asasi Manusia 1948 (UNDHR) mengatakan setiap individu berhak untuk menganut apa apa kepercayaan, ataupun tidak menganut apa apa, dan bebas menukar agama tanpa sekatan dari mana mana pihak. Inilah salah satu daripada banyak cabang struktur demokrasi yang bertentangan dengan syariat Islam, disebabkan oleh percanggahan pada perkara pokok iaitu kebebasan manusia, dengan pengabdian pada Allah.

7. Maka jelas idea demokrasi ini bertentangan dengan manhaj Islam.

8. Namun pada sesetengah strukturnya, ada juga yang mempunyai persamaan dengan syariat, tetapi ia hanyalah pertemuan pertemuan kebetulan di antara cabang.

9. Jika negara/parti/individu memilih untuk mengikut Islam, maka tidak boleh tidak ia akan melanggar hak asasi manusia dan secara automatik menjadi negara/parti/individu yang tidak demokratik.

10. Jika ada yang kata 'ini bercanggah dengan demokrasi' maka belum tentu ia salah mengikut Islam. Dan jika ia kata 'inilah semangat demokrasi' belum tentu ia betul di sisi Islam.

11. Politikus Islam, jangan takut untuk menjadi tidak demokratik. Dan kepada pengkritik, jangan pakailah ayat 'ini bercanggah dengan demokrasi' kepada orang Islam. Saya geli. Sebab barat pun bukan pakai sangat UNDHR. Pakai untuk kes yang menguntungkannya sahaja.

12. Dalam setiap isu atau tindakan sebahagian pihak, hendaklah diukur berasaskan garisan yang ditunjuk syariat, bukan panduan suruhanjaya demokrasi(kalau ada) atau suhakam.

13. Kita orang Islam, negara Islam, berhak menggunakan ideologi lain, tersendiri, dalam membentuk asas dan struktur negara, dan tidak boleh dipaksakan ideologi demokrasi ke atas negara ini.

Untuk memaksa idea demokrasi diterima di sesebuah negara adalah sangat tidak demokratik. Ia sendiri melanggar idea kebebasan dalam berideologi dan berpendirian.

Biarlah kita sendiri yang menentukan bagaimana rupa bentuk negara kita di dirikan.

Bukankah kita sudah merdeka?


Zaid b Zainur Rashid
2 December 2012
Seremban, Negeri Sembilan.
Powered by Blogger.

Rakan

My Blog List

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Sampaikan Ke Peti Email

Terjemah

Follow by Email

Risalah yang Dibaca

Labels

Followers

Blog Archive