Zaid Z Rashid

We are currently working on a new website.
Stay tuned for more information.

to stay updated on our progress.

Demokrasi, Liberalisma dan Islam

Karangan kali ini ditulis bagi memperbetulkan tulisan saya di laman Facebook pada tarikh 2 December 2012, yang saya terbitkan sekali di laman blog saya di link berikut.

Pengalaman pembacaan saya yang tidak berapa banyak dan penyusunan semula yang tidak dilakukan secara teliti dan kemas menyebabkan saya sedikit keliru tentang beberapa terma dan idea. Saat itu, saya berkejar untuk menulis sebuah siri tulisan, sebelum saya sampai ke jadual penerbangan ke Gaza. 

Terima kasih kepada saudara saya Alif Imran menyoal semula tentang penulisan saya, menyebabkan saya menyimpan hajat untuk memperbetul semula dan akhirnya berpeluang menulis dan membaiki semula hari ini. el-Hamdulillah.

Moga sentiasa dirahmati Allah taala.


*  *  *  *  *  *  *  *


Demokrasi bukan sebuah falsafah. Ia adalah satu bentuk pemerintahan dan sistem politik sesebuah negara.

Adapun yang saya sebutkan bertentangan dengan Islam adalah falsafah Liberalisme, bukannya demokrasi.

Jadi sepatutnya, ia berbunyi begini 


Demokrasi adalah sebuah bentuk pemerintahan atau sistem politik sesebuah negara.

Sistem Syura juga adalah sebuah bentuk pemerintahan atau sistem politik sesebuah negara. Saya belum belajar Siyasah Syar'iyah, jadi saya tidak tahu samada sistem syura ini mempunyai/telah-digariskan-oleh-ulama sebuah bentuk dan struktur yang tetap atau tidak.

Namun sistem pemerintahan seringkali tidak mempunyai struktur kecil dan teliti yang tetap, bentuknya berubah mengikut masa, tempat dan keadaan semasa, jadi bila dinilai semula, pelbagai sistem politik diguna pakai oleh negara negara pada hari ini, namun ia tetap digelar sebagai demokrasi kerana persamaan terhadap beberapa struktur utamanya.

Begitu juga dengan sistem pemerintahan syura yang diamalkan pada zaman khilafah islamiah terutamanya zaman khulafa ar-Rasyidin, ia tidak statik pada bentuk yang tertentu bahkan ia berubah dari zaman ke zaman. Ini kerana pertimbangan yang dilakukan oleh ulama menghasilkan bentuk yang berbeza bergantung kepada situasi semasa yang berubah-ubah. Namun, ia tetap mempunyai asas utama yang disepakati sebagai sistem syura.

Demokrasi ditemui oleh manusia, dilahirkan melalui falsafah liberalisma. Jadi, kebanyakan dari undang-undang demokrasi terikat dengan falsafah tersebut. 

Demokrasi juga terkenal sebagai sistem pemerintahan bagi falsafah liberalisma. 

Sistem syura yang diamalkan di dalam pemerintahan Islam, menjadikan dalil dalil Islam sebagai rujukannya, manakala sistem demokrasi tulen mengambil Liberalisma sebagai rujukan utamanya.

Melalui rujukan kepada falsafah inilah, demokrasi menolak adanya keistimewaan orang Islam ke atas orang bukan Islam, dan sistem pemerintahannya menolak sebarang penggunaan dalil Islam sebagai hujah dalam menentukan sesebuah keputusan ataupun perlaksanaan. Sebab itulah perkahwinan sejenis dibenarkan di bawah sistem demokrasi tulen.

Perkara ini perlu difahami dengan jelas. Sistem demokrasi telah melarang penglibatan Islam dalam sistem pemerintahan, atau menghalalkan perkahwinan sejenis, bukanlah kerana struktur demokrasi itu sendiri, tetapi kerana keterikatannya dengan dalil dalil liberalisma yang menolak sama sekali peranan agama dalam kehidupan manusia.

Sebagaimana 'kekuasaan' dalam Islam adalah digunakan untuk menegakkan Islam, begitulah 'kekuasaan' dalam Liberalisma adalah bagi menegakkan prinsip prinsip liberal.

Demokrasi dibuat bagi meraikan prinsip prinsip yang ada dalam falsafah liberalisma, jadi bila sesuatu perlaksanaan atau perbuatan yang bertentangan dengan falsafah liberalisma, liberalist akan menggelar dan mendakwa sebagai tidak demokratik(tidak mengikut undang-undang demokrasi).


Jadi, bila Amerika menyerang negara Arab Islam, mereka memanggil ia sebagai democratization atau proses pendemokrasian negara Arab, sedangkan ia juga membawa maksud kepada memasak dan mengguna pakai falsafah liberalisma dalam negara tersebut.



Peringkat kesempurnaan demokrasi di sesebuah negara, peringkat 
dibahagikan melalui penilaian liberal, negara Arab terletak di peringkat terendah



Secara mudahnya, demokrasi adalah sebuah sistem pemerintahan yang terbahagi kepada empat ciri :


1. Sistem politik bagi memilih dan menggantikan pemerintah melalui pilihanraya yang bebas dan adil

2. Penyertaan aktif bagi setiap individu, sebagai seorang warganegara, dalam politik dan kehidupan sivik

3. Mempertahankan hak asasi setiap warganegara

4. Sebuah sistem undang-undang, di mana peraturan dan undang undang dilaksanakan secara samarata terhadap seluruh warganegara (termasuk pemerintah)



Malaysia termasuk di dalam kategori 'Flawed Democracy', di atas alasan itulah Amerika mendana kumpulan masyarakat Madani (Civil Society Group) dan beberapa pihak lain bagi menghidupkan demokrasi penuh di Malaysia


PENGAJARAN

Demokrasi adalah sebuah bentuk pemerintahan, dan ia menjadi salah apabila ia menjadikan Liberal sebagai rujukan utamanya. Adapun struktur demokrasi, jika terpisah dari liberalisma, maka ia adalah struktur pemerintahan yang mempunyai aspirasi yang sama dengan sistem syura, ia menolak kediktatoran, meraikan hak rakyat, memberi kebebasan dan menghidupkan perkongsian pandangan.

Namun terdapat juga (banyak) strukturnya yang masih tidak menepati aspirasi syara' seperti di dalam sistem pilihanraya di Malaysia :

Syarat calon bertanding yang sangat terbuka, iaitu kepada semua warganegara Malaysia yang berumur lebih 21 tahun. 

Dalam Islam, ahli majlis syura dan pemerintah hendaklah orang yang bertaqwa, amanah dan mempunyai kemampuan memimpin, tetapi sistem hari ini membenarkan sesiapa sahaja menjadi ahli syura, termasuk yang fasik dan kafir, yang penting ia disokong dan diundi oleh rakyat dengan undian tertinggi.

Di samping itu, elemen 'Peraturan Majoriti' (Majority Rule) juga dikira tidak syar'ie kerana ia meletakkan kuasa majoriti di atas autoriti al-Quran dan as-Sunnah, dengan itu jika majoriti perwakilan menetapkan sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, maka ia akan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam ataupun sebaliknya, dan disitulah antara kecacatan sistem demokrasi (berparlimen).

Jika kita lakukan pemerhatian dengan cermat, apabila demokrasi memutuskan hubungannya dengan liberal, (menjadi demokrasi terpimpin) maka perbezaan demokrasi dan sistem syura dalam Islam hanyalah beberapa sudut teknikal sahaja, yang masih boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

Sudut teknikel ini (spt penamaan calon, akhlak parti, kuasa parlimen dll) telahpun dibahaskan oleh ramai pemikir Islam dan Ulama kontemporari seperti dr Salah as-Sowy, Dr Munir Muhammad al-Ghadban, Dr Yusuf Qardawi, Dr Mahmood Ghazlan, Dr Wahbah Zuhaili dan mereka telahpun mengulas demokrasi dan menyusun kembali sistem ini dan menyesuaikannya dengan kehendak Islam. Namun ia belum lagi dilaksanakan di kebanyakan negara Islam, dan sebahagiannya masih/telah melakukan proses islamisasi sistem demokrasi tersebut seperti di Mesir dan Gaza.



Buku yang saya sempat beli semasa ziarah di Mesir, 'Ikhwan dan Demokrasi, Risalah kepada Pemuda' oleh Dr Mahmood Ghazlan (pelajaran dari revolusi)


Seperti yang pernah dinyatakan oleh Ust Abdullah Zaik (Presiden ISMA), ISMA tidak menolak elemen elemen positif dalam demokrasi pilihanraya. Ust Abdullah menyebut bahawa :


" ISMA menerima  :

  1. pertukaran kuasa secara aman
  2. hak rakyat untuk muhasabah pemerintah
  3. hak rakyat untuk sama-sama menentukan masa depan negara

ISMA menganggap demokrasi pilihanraya adalah hasil penemuan manusia. Islam tidak melarang umatnya mengambil faedah dari pengalaman manusia, seperti sabda Rasulullah s.a.w  ”kebijaksanaan itu adalah barang yang hilang dari orang yang beriman..di mana ia menjumpainya, ia lebih berhak terhadapnya”.

Namun ISMA menolak falsafah demokrasi Barat yang menolak peranan Tuhan dalam pemerintahan, peranan agama dalam kehidupan, yang menyamaratakan antara orang yang beriman dan tidak beriman, yang menganggap semua agama sama menyeru kepada perkara yang betul. Falsafah liberal yang bolos dari setiap ikatan akhlak dan hukum hakam serta  meletakkan kebebasan individu sebagai nilai tertinggi atau rakyat sebagai Tuhan."


Sebelum demokrasi ditemui, pertukaran kuasa di mana mana empayar jarang sekali dapat dilakukan secara aman, termasuk juga pertukaran kuasa di dalam empayar Islam. Ulama' silam telah meletakkan syarat-syarat yang sangat ketat dalam melaksanakan penukaran kuasa bagi mengelakkan perpecahan, peperangan, pertumpahan darah dan kemudhoratan yang lebih besar daripada berlaku semata-mata kerana pertukaran kuasa antara blok politik tertentu.

Sistem demokrasi merupakan sistem yang baik hasil kajian manusia itu sendiri, ia adalah sebuah sistem baru untuk dunia, dan negara Islam terutamanya. Namun hendaklah disedari bahwa sistem ini bertumbuh dari bumi barat, setelah zaman gelap mereka, di mana pemikir pemikir mereka adalah orang yang anti-agama, yang hanya menerima pakai logika akal semata-mata, jadi demokrasi yang dimulakan di bumi barat ini sarat dengan nilai nilai liberalisma. Jadi kemasukan sistem ini ke dalam negara Islam seharusnya tidak dilakukan secara terbuka dan kita tidak boleh menerimanya bulat-bulat, bahkan sistem ini haruslah disaring, ditapis sesuai mengikut nilai ketimuran yang terpasak pada negara-negara Islam.

Negara kita dianggap sebagai negara yang mempunyai demokrasi yang cacat (flawed demokrasi) seperti yang tertera pada indeks demokrasi adalah kerana Malaysia menolak untuk menerima seluruh nilai nilai tersebut. Pemikir Islam kita di era kemerdekaan telah menyesuaikan sistem ini di Malaysia dengan kehendak siyasah syar'iyah, pada kadar yang paling maksima yang mampu dilakukan bagi memelihara kehendak siyasah syar'iyah pada waktu tersebut. Pada tahun 1955 kita telah menerima pakai sistem demokrasi, secara bertapis seperti kebanyakan negara Islam lain dan disertakan dengan sistem beraja.

Negara Islam mengikut pandangan ulama bolehlah disimpulkan kepada 2 perkara utama iaitu :

1. Kekuasaan Muslimin

2. Penegakan Syariah

(rujuk)

Penyesuaian sistem demokrasi dengan kehendak siyasah syar'iayah pada era kemerdekaan boleh dilihat apabila kita menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan(menjadi rujukan), tiadanya perkataan sekular di dalam perlembagaan, ketuanan umat Islam (Melayu) di Malaysia, pengekalan institusi Diraja dan lain lain. Namun kita dapati kebanyakan masalah yang berlaku adalah pada perlaksanaannya, disebabkan oleh faktor pemimpin dan rakyat yang tidak memahami Islam dengan baik.

Falsafah liberalisma adalah falsafah ciptaan manusia di bawah bimbingan syaitan. Ianya tidak sempurna, dan ia tak akan mampu menandingi falsafah dan sistem yang datang dari langit, iaitu Islam. Dan kecacatan liberalisma sendiri telah mula disedari oleh pihak barat sendiri, seperti Perancis, Itali, Greece dan Slovenia yang dengan sendirinya telah menolak demokrasi penuh, menolak liberalisma dan hak asasi manusia sebagai rujukan utama dalam pelaksanaan ekonomi dan pentadbiran, yang akhirnya menjadikan negara mereka jatuh dari Full democracy ke Flawed Democracy, seperti di Malaysia. Kecacatan demokrasi ini terserlah tatkala ia benar-benar diuji tentang validitinya, apabila dunia menghadapi krisis ekonomi, dan juga penilaian hasil dari agenda kebebasan Amerika yang dilakukan di timur tengah.


Jadi, adakah kita menerima demokrasi?


Jawapannya, ya, kita terima, tetapi tidak sepenuhnya.

Kita terima beberapa aspek strukturnya, tetapi kita menolak falsafahnya.

Kita terima demokrasi Islam, bukan demokrasi liberal.


Kita beranggapan bahawa struktur yang ada haruslah diperbetulkan, dan demokrasi yang sepatutnya diguna pakai tidak seharusnya merujuk kepada falsafah liberalisma atau UNDHR bahkan ia patut merujuk kepada Islam dan CDHRI/UIDHR.

Kalaulah demokrasi Islam yang kita takrifkan ini tidak dianggap sebagai demokrasi oleh Amerika/masyarakat dunia, (walaupun setelah kita mengguna pakai sistem pilihanraya dan beberapa strukturnya), maka lebih baik kita dakwa sendiri bahawa kita tolak demokrasi.

Saya kira masyarakat Islam adalah masyarakat yang unik, tersendiri, dan tidak boleh dicampurkan sistemnya dengan sistem jahiliah. Mufasolah atau pembezaan antara yang Hak dan Batil adalah perkara yang pasti dalam menegakkan maksud syahadah yang sebenar.

Nabi s.a.w. telah membina sebuah masyarakat yang exclusive, mempunyai nilai yang tersendiri, tidak tunduk kepada nilai masyarakat lain bahkan membina blok baru dan memanggil manusia untuk berada di bawah garisan garisan, sistem, dan nilai yang ditentukan oleh Allah s.w.t sendiri.

Permulaan bagi langkah ini ialah dengan membina individu yang benar-benar Muslim, yang bebas dari nilai jahiliah, kemudian kepada keluarga Muslim, masyarakat yang Muslim, dan kemudian dengan masyarakat yang muslim inilah, mereka menjadi pengundi (penentu kepada majlis pemerintahan) yang sah, berkelayakan dari segi akidah dan kefahaman Islamnya, bagi memilih ulil Amr mereka.

 (Syarat kelayakan pengundi ; seluruh warganegara yang berumur 21 tahun - saya kira dalah peraturan yang cukup loggar dan tidak kuat. Dalam Islam sendiri, mereka yang membuat keputusan dalam perbincangan sepatutnya terdiri daripada ahlinya. Paling kurang, pengundi mestilah mereka yang mempunyai ilmu yang cukup, adil dan matang.

Dan gerakan Islam seperti Hamas dan Ikhwan Muslimin tidak memilih untuk menukar bentuk syarat kelayakan pengundi (buat masa ini) bahkan mereka mengambil langkah menjadikan seluruh rakyat berumur 21 tahun mereka yang berkelayakan dari segi penilaian Islam melalui projek dakwah dan tarbiah masyarakat. Dengan ini kuasa pengundi membentuk desakan Islam yang kuat dan membantu blok politik untuk menjalankan pemerintahan yang berlandaskan Islam yang sebenar.)

Dari ulil Amr yang terpilih itu, mereka membersihkan negara Islam dari kuasa asing, sama ada aspek ekonomi, budaya, dan sistem/ fahaman politik itu sendiri. Setelah itu, ulil Amr ini akan mendirikan negara Islam yang benar-benar bercirikan Islam, menegakkan keadilan, membasmi kemiskinan dan menjadi negara contoh kepada negara negara lain.

Untuk langkah seterusnya, anda boleh baca maratib amal Ikhwan di dalam rukun Baiah yang ketiga, Risalah taa'lim, Imam as-Syahid Hassan al-Banna.


Sekali lagi, adakah kita benar benar terima demokrasi?

Ya, apabila ia terpisah dari falsafah liberalisma, apabila kita bersungguh menjalankan dakwah dan tarbiah, dan apabila kita, umat Islam, berani untuk bersatu padu. (seruan ust Abdullah Zaik)



Wallahualam

Zaid b Zainur Rashid
24 Januari 2013
Taman Guru Melayu
Seremban, Negeri Sembilan

3 comments:

  1. sila kaji hujah ulama yg menentang demokrasi...

    http://islamsyumul.blogspot.com/2006/09/telaah-buku-demokrasi-sistem-kufur.html

    ReplyDelete
    Replies
    1. http://islamsyumul.blogspot.com/2006/09/menggugat-thaghut-demokrasi.html

      Delete

Powered by Blogger.

Rakan

My Blog List

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Sampaikan Ke Peti Email

Terjemah

Follow by Email

Risalah yang Dibaca

Labels

Followers

Blog Archive