Zaid Z Rashid

We are currently working on a new website.
Stay tuned for more information.

to stay updated on our progress.

al-Kisah di Gaza, Palestin

Tempat penginapan peserta Misi Solidariti Gaza Disember 2012

Malam itu lobi hotel sangat meriah. Malam yang kedua kami berada diGaza.

Terasa sesak jugalah.

Hotel kami didatangi oleh Abul 'Abied Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Gaza, Abul Walid Khaled Mesh’al, ketua biro politik Hamas dan puluhan pimpinan Hamas yang lain. Perjumpaan pemimpin tertinggi Hamas di dewan Hotel Commodore Gaza ini diketahui sebahagian rakyat, akibatnya habis hotel kami ini ‘dirempuh’ secara beramai-ramai oleh penyokong yang terdiri dari kalangan rakyat setempat yang ingin bersalaman dengan mereka.

Usai perjumpaan pemimpin Hamas, lobi hotel semakin reda, bilangan orang pun semakin susut. Namun bilangan masih tidak sedikit, suasananya masih lagi bising, cuma tidaklah berhimpitan dan bertindih-tindih seperti waktu awal-awal perjumpaan tadi.

Saya sejak awal-awal lagi, dengan seorang rakan misi, cuba-cuba untuk turun ke lobi. Pada awalnya kami diarahkan untuk tidak turun ke tingkat satu ini. Bila dibenarkan saja, kami terus menyelinap dalam keramaian orang Gaza.

Kami perasan, kebanyakan orang di sini semuanya telah berumur, tidak seperti kami. Entah bagaimana di tengah keramaian tu, Allah jumpakan kami dengan dua orang yang, hei, nampak macam sebayalah. Heh.

Saya pun sapa lah akhi ni dengan ucapan salam. Borak punya borak, dia pun beritahu yang dia ini berumur sembilan belas tahun. Hmh, memang sebaya pun.

Borak perkenalan yang agak panjanglah. Macam-macam.

Malam yang mulia. Perjumpaan pertama antara saya dengan pemuda ini, dan kami mulakan dengan berkenal-kenalanlah.

"Enta dari mana? Maksud ana, negara apa?"

"ah, Malaysia. Ya Malaysia."

"Allahuakbar dari Malaysia!? Masyallah"

Dikupas sikit demi sikit biodata masing-masing. Tergagap-gagap saya, cuba membiasakan diri untuk bercakap bahasa Arab. Selama ni tulis atas kertas saja, nah, sekarang kena sembang dengan orang Arab baru nak sedar manfaatnya.

Oh ya, ada satu perkara penting yang dia sendiri tak mahu dipisahkan dari identitinya. Mesti diberitahu semua.

"Psst, ya akhi Zaid..."

'eh?'

"...Ana Hamas."

"Enta Hamas?" spontan terkeluar dari mulut saya, gembira. Riang hati kecil kami ini, tak boleh sorokkan senyum di muka kami.

Dia mendakwa dengan penuh rasa kebanggaan dan kemuliaan, saya tersenyum, teruja dengan hikmah perjumpaan.



KEKAYAAN JIWA PEMUDA

Menjadi seorang ahli Hamas bukanlah sesuatu yang asing di Gaza. Sesiapa pun boleh mendaftarkan diri sebagai ahli Hamas, namun setelah menyertai Hamas, mereka tertakluk dalam pendidikan islam dan peraturan-peraturan tertentu. Saya tidak berhajat untuk bercerita panjang tentang Hamas dalam artikel ini.

Saya nak bercerita tentang seorang ahli Hamas, namanya Muhammad, daripada keluarga al-Judu.

Pemuda mulia yang Allah pertemukan saya dengannya pada malam tersebut.

Muhammad al-Judu bersama kawan kawanya telah menyertai Hamas sejak muda, dan semua kawannya yang dikenalkan kepada saya termasuk dirinya telah mengahafaz 30 juzu’ al-Quran.

Mungkin kebanyakan dari kita sudah mula menghafal keseluruhan 30 Juzu al-Quran, namun untuk pengetahuan pembaca (yang mungkin fikir, 'alah di Malaysia pun ada hafiz'), kawan saya Muhammad ni, menghafal Quran 30 Juzu dalam tempoh 2 bulan sahaja.

2 Bulan sahaja. Noktah.

"Kau hafal seluruh al-Quran selama dua bulan saja!?"

"Aiwah, sehari sepuluh muka suratlah" Jawabnya selamba.

Saya tergamam.

Subhanallah. Tahu apa yang terlintas dalam fikiran saya?

‘Dia ni keturunan Imam Syafie!’

Allahuakbar wa lillahil Hamd.

Saya terasa benar keindahan yang Allah kurniakan dalam kehidupannya. Keindahan cahaya Islam dalam dirinya dan masyarakat sekelilingnya.

Namun keindahan yang Muhammad nikmati bukannya tidak disulami keperitan dan kepayahan. 

Dia diuji dengan berat apabila ayahnya jatuh sakit dan dia kehilangan sumber kewangan untuk meneruskan pengajian. Semua kawan-kawan sebayanya yang dikenalkan kepada saya telah pergi ke universiti untuk menyambung pelajaran.

Namun, si Muhammad ini, tersepit dalam tanggungan keluarga.

Anak sulung dari 14 orang adik beradik, bukan kecil tanggungjawab yang digalas Muhammad. 

Dia bersahaja. Senyum selalu.

“Zaid, saya sangat cintakan ilmu”

“Saya ingin sambung pelajaran, saya nak masuk Jami’ah(university),sebab saya cintakan ilmu dengan sangat mendalam”

“Tetapi saya diuji dengan kesusahan harta dan kesakitan ayah”

Satu-satu dia sebutkan. Masih tersenyum.

Saya sendiri sudah sebak. Cuba-cuba untuk senyum, mengamankan atmosfera perbualan.

Terasa ingin juga dihulurkan saja wang dipoket, walaupun tak seberapa.

Tapi orang palestin menyimpan kemuliaan dan meletakkan harga diri di tempat yang tinggi. Mereka menolak untuk menjadi pengemis, mereka menghalang anak-anak mereka meminta-minta.

Apa yang saya mampu buat, saya cuba hubungkan dia dengan Aman Palestin cawangan Gaza. Moga-moga Aman Palestin menyediakan sedikit dana scara rasmi untuk Muhammad tanggung kehidupan keluarga dan sambung pelajaran.

Teringat hari itu, saya menghabiskan sisa malam yang ada di masjid bersama sahabatdari Hamas. Sikit-sikit dia cerita, mengupas selok-belok kehidupan di Gaza, menceritakan perjuangan diri dan bangsanya disini. Saya pun tidak kurangnya, berceritatentang kisah kita orang Malaysia, dia pun berminat juga hendak mendengarnya.

“Setiap masjid ada ahli Hamas yang menjaganya, dan di setiap masjid ini ada tahfiz”

Sebelum berpisah di hotel sewaktu perjumpaan pertama kami,dia sudah berpesan supaya datang untuk solat berjemaah di Masjid el-Huda. Dia dan beberapa orang rakannya bertanggungjawab untuk menjaga masjid itu termasuk menjadi guru tahfiz kepada kanak-kanak di kawasan tersebut.

Syukur, kami sempat mengadakan beberapa kali pertemuan, beberapa kali selepas Subuh, Magrib dan Isya' dalam hari-hari saya di Gaza.

Setiap hari, selepas maghrib, kelas hafazan akan dibuka untuk semua anak-anak setempat. Percuma, tiada bayaran.

“oh, kau jadi guru Tahfiz di sini?” pada awalnya, saya agak terkejut. Belia semuda itu menjadi guru tahfiz, saya agak, patutnya didahulukan syeikh syeikh yang sudah berumur. Dia mengiyakan sahaja.

“Kau ambil bayaran ke percuma saja?”

“Saya ajarkan al-Quran kerana Allah taala, biarlah ia begitu”

Saya jadi tertanya-tanya. Dari mana pula duit dia nak dapatkan? Bukan ke dia yang perlu tanggung ahli keluarganya? Saya pun terlupa nak bertanya tentang pekerjaannya di siang hari.

Saya (berdiri) bersama Muhammad yang duduk di hadapan, Hassan, yang berjambang lebat, setahun lebih tua dari kami. Bersama kanak kanak setempat, kumpulan hafazan yang berada di bawah kendalian mereka berdua


(bersambung : minta maaf, kena keluarkan 1 risalah sebelum tarikh tamat)

Memenangkan Kebenaran Dalam Memerangi Kebatilan

Hak dan Batil sentiasa bertembung.


Wahyu dan Nafsu sentiasa berperang antara satu sama lain, dan mana satu yang kuat, akan menang dan menguasai.



Kuat lemah wahyu atau nafsu adalah disebabkan faktor biasa kuat lemahnya sesuatu perkara. Faktor pendokong, kelebihan suasana, kemahiran dan lain lain.


gambar hiasan


Ya, kebenaran itu sentiasa dimenangkan oleh Allah taala. Namun Allah tidak menjadikan alasan ianya 'kebenaran' maka Allah melarikan peraturan alam yang telah ditetapkan. Allah akan memenangkan agamaNya selari mengikut fitrah yang telah ditetapkan.

Pertembungan hak dan batil berlaku dalam diri sesorang. Jika dia menyediakan asbab kemenangan bagi kebenaran, maka kebenaran akan mengatasi kebatilan yang wujud dalam dirinya.

Jika dia (lelaki) membiasakan dirinya berlapar, hidup bersama orang soleh dan menghadiri majlis ilmu, maka saat dia berdiri di hadapan perempuan yang cantik, kebenaran yang kuat (kerana dilatih) akan mengatasi kebatilan, hak akan menguasai dirinya, kebenaran akan mendominasi dan membuat keputusan terhadap perlakuan dirinya, 

maka dia akan menundukkan pandangannya.

Jika kebenaran itu tidak dilatih, maka ia akan jadi lembik, dan nafsu akan mendominasi keputusan hatinya, dan dia terpaksa tunduk dengan kehendak nafsu untuk melaksanakan perlakuan yang kadang kadang akalnya sendiri benci dan menyesalinya.

Sebab itu kita menganggap sesetengah manusia itu tidak bebas. Jiwanya tak bebas membuat keputusan, terpaksa tunduk kepada kehendak atau dominasi nafsu ke atasnya.

Kehendak nafsu mengarahkannya untuk mendengar lagu-lagu haram, berpacaran, meninggalkan solat dan dia tunduk terhadap desakan tersebut disebabkan kuatnya dominasi nafsu ke atas diri.

Begitu juga dengan pertembungan kebenaran dan kebatilan di peringkat masyarakat. 

Pertembungannya sama. Kebenaran dan kebatilan terus bertempur, dan andaikata kebenaran lemah, ianya tetap akan kalah. 

Jadilah masyarakat itu masyarakat yang terjajah oleh nilai nafsu. Akhirnya keputusan yang dibuat di peringkat pemimpin masyarakat adalah keputusan yang tidak merdeka, bahkan terikat kepada kepentingan kepentingan selain daripada kebenaran.

Keputusan seperti tidak mahu melaksanakan syariat, membenarkan kilang arak dibuka, menolak al-muqowamah (fatah di palestin suatu ketika sahulu), tunduk kepada kehendak dan desakan orang kafir, rasuah dan rompakan harta rakyat, itu semua contoh keputusan yang didominasi oleh kebatilan.

Ya, jika kita perhatikan dengan teliti, kebenaran bukannya langsung tidak wujud dalam individu sewaktu ia mengerjakan maksiat dan kebenaran bukannya langsung tidak terlintas dalam perbincangan masyarakat sewaktu keputusan membenarkan kilang arak dibuka, namun pelaksanaan jahiliah tetap dilakukan kerana lemahnya kuasa kebenaran dan kuatnya dominasi kebatilan.

Dan berulang seperti apa yang berlaku dalam pertembungan dalam individu, sebahagian dari masyarakat sangat kesal terhadap keputusan yang dilakukan sebabkan kebodohannya membiarkan penguasaan nafsu terhadap diri. Namun begitulah keadaanya, apabila kebenaran lemah, kita tidak boleh lari dari peraturan alam yang menetapkan, ia akan tunduk terhadap yang kebatilan yang lebih kuat.

Tinggallah penyesalan, kekecewaan, dan keluhan itu sendiri tanpa boleh mengubah keputusan yang akan datang.

Kita perlu kuatkan kebenaran. Kita perlu mendokong wahyu. Dan kebenaran tidak cukup kuat dengan islamnya seorang individu, bahkan ia harus dipikul oleh sebuah generasi yang benar benar meyakini, sanggup bekorban demi kebenaran dan mengoptimumkan segala potensi sehingga ia dapat meruntuhkan dominasi nafsu/taghut yang bukan sahaja didokong oleh pemahaman, bahkan sistem yang berada diperingkat antarabangsa.

Dengan apa kebenaran itu dikuatkan?

Dengan penyucian jiwa, pendidikan akhlaq, majlis zikir, kelas pemahaman Islam, dakwah, ukhuwwah, wehdah, jihad, (kekuatan nilai) dan kekuatan teknikal seperti kerajaan, media dan sebagainya.

Dengan itu, ia akan membentuk sebuah kekuatan bagi kebenaran dalam pertempurannya terhadap kebatilan pada peringkat masyarakat dan negara sehinggalah ia mampu menguasai keadaan, mendominasi keputusan dan menjadi penghala tuju terhadap sesebuah pelaksanaan dalam bermasyarakat.

Tidak lupa juga, adalah sangat penting untuk memutuskan segala faktor yang boleh memberi nafas kepada nafsu untuk terus hidup seperti program hiburan melampau, memberikan kuasa kepada yang tidak amanah atau musyrik, dan sebagainya, sepertimana juga pada peringkat individu, kita perlu memutuskan diri dari makan berlebihan, atau membiarkan diri tidak beraktiviti di masa kosong dan apa saja ruang yang memberi nafas untuk nafsu beraksi.

Kebenaran dan kebatilan adalah entiti yang sentiasa berlawan. Tak mungkin memberikan peluang kepada nafsu boleh membina kekuatan bagi kebenaran (seperti kisah abid yang mencuba arak dengan harapan timbul keinsafan). Adalah sangat penting bagi muslim untuk menyedari bahawa kebenaran yang dipikul sifatnya terputus dari mana mana aspirasi nafsu dan jahiliah (selain dari perhambaan kepada Allah).

Kebenaran dan kebatilan itu bertempur. Kita perlu kuatkan kebenaran dan jangan sekali-kali membantu kebatilan. Kita perlu putuskan diri dengan kebatilan.

Ya, saya tahu. Saya kenal pembaca saya, anda seperti saya, saya seperti anda semua, orang yang sangat kesal dengan keputusan keputusan yang telah dibuat oleh kepala masyarakat. Keputusan yang sangat jauh dari kebenaran, kerana lemahnya dominasi kebenaran.

Lemahnya dominasi itu sebab kita sendiri. 

Kitalah yang perlu membangunkan kekuatan al-hak dan memperjuangkan prinsip wahyu.

Kitalah yang harus melaksanakan kerja dakwah dan terus-menerus mentarbiah.

Sifirnya mudah saja.

Kuatkan kebenaran dan lemahkan kebatilan, dan mulakannya pada peringkat diri anda sendiri.

Pertama sekali, kalau kita benar-benar mahukan kebenaran menang di peringkat negara kita, kita mesti menangkan kebenaran pada peribadi kita sendiri.

Kalau kita mahu bebaskan negara dari dominasi kebatilan, kita wajib melepaskan diri kita sendiri dari dominasi nafsu terhadap jiwa.

Pesanan ini khas untuk diri saya, dan juga kawan kawan terutamanya orang muda. Barangkali sebahagian dari kita tak selesa mendengar nama Ustaz al-Banna, apa pun, dia pernah berpesan kepada mahasiswa dalam risalahnya, dia menyebut, wahai pemuda (yang penuh semangat inginkan perubahan), keutamaan kamu adalah diri kamu sendiri.

Wallahualam


*  *  *


Membangun Ummah Beragenda

Zaid b Zainur Rashid 
12 Feb 2013
Taman Guru Melayu








Gaza (ep 1)

Perjalanan saya ke Gaza selama 5 hari cukup memberi kesan kepada peribadi saya. Bukan saya seorang sahaja, bahkan rakan-rakan saya yang turut menyertai misi solidariti ini, tiada siapa nafikan bagaimana anak-anak Gaza ini sebenarnya telah ‘mengajarkan’ sesuatu kepada kami tentang makna kehidupan.

Bacaan al-Quran mereka tidak lari seperti kita. Cara mereka solat juga sama, tiada asingnya sujud dan ruku’ yang biasa kita ulang-ulang setiap hari. Hadith yang diajar kepada anak-anak mereka bukanlah sesuatu yang tidak lansung didengari di negara Malaysia, bahkan sesekali hadith yang dilalui itu, saya sendiri pernah menghafalnya.

Tetapi di sini terasa berbeza. Lain benar.

Jiwa tenteram.

Hati terasa rindu.

Kadang-kadang tersenyum sendirian.

Ada apa sebenarnya dengan kau, Gaza?



Zaid b Zainur Rashid
10 Feb 2013
Taman Guru Melayu
Seremban NS


Powered by Blogger.

Rakan

My Blog List

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Sampaikan Ke Peti Email

Terjemah

Follow by Email

Risalah yang Dibaca

Labels

Followers

Blog Archive