Zaid Z Rashid

We are currently working on a new website.
Stay tuned for more information.

to stay updated on our progress.

Memenangkan Kebenaran Dalam Memerangi Kebatilan

Hak dan Batil sentiasa bertembung.


Wahyu dan Nafsu sentiasa berperang antara satu sama lain, dan mana satu yang kuat, akan menang dan menguasai.



Kuat lemah wahyu atau nafsu adalah disebabkan faktor biasa kuat lemahnya sesuatu perkara. Faktor pendokong, kelebihan suasana, kemahiran dan lain lain.


gambar hiasan


Ya, kebenaran itu sentiasa dimenangkan oleh Allah taala. Namun Allah tidak menjadikan alasan ianya 'kebenaran' maka Allah melarikan peraturan alam yang telah ditetapkan. Allah akan memenangkan agamaNya selari mengikut fitrah yang telah ditetapkan.

Pertembungan hak dan batil berlaku dalam diri sesorang. Jika dia menyediakan asbab kemenangan bagi kebenaran, maka kebenaran akan mengatasi kebatilan yang wujud dalam dirinya.

Jika dia (lelaki) membiasakan dirinya berlapar, hidup bersama orang soleh dan menghadiri majlis ilmu, maka saat dia berdiri di hadapan perempuan yang cantik, kebenaran yang kuat (kerana dilatih) akan mengatasi kebatilan, hak akan menguasai dirinya, kebenaran akan mendominasi dan membuat keputusan terhadap perlakuan dirinya, 

maka dia akan menundukkan pandangannya.

Jika kebenaran itu tidak dilatih, maka ia akan jadi lembik, dan nafsu akan mendominasi keputusan hatinya, dan dia terpaksa tunduk dengan kehendak nafsu untuk melaksanakan perlakuan yang kadang kadang akalnya sendiri benci dan menyesalinya.

Sebab itu kita menganggap sesetengah manusia itu tidak bebas. Jiwanya tak bebas membuat keputusan, terpaksa tunduk kepada kehendak atau dominasi nafsu ke atasnya.

Kehendak nafsu mengarahkannya untuk mendengar lagu-lagu haram, berpacaran, meninggalkan solat dan dia tunduk terhadap desakan tersebut disebabkan kuatnya dominasi nafsu ke atas diri.

Begitu juga dengan pertembungan kebenaran dan kebatilan di peringkat masyarakat. 

Pertembungannya sama. Kebenaran dan kebatilan terus bertempur, dan andaikata kebenaran lemah, ianya tetap akan kalah. 

Jadilah masyarakat itu masyarakat yang terjajah oleh nilai nafsu. Akhirnya keputusan yang dibuat di peringkat pemimpin masyarakat adalah keputusan yang tidak merdeka, bahkan terikat kepada kepentingan kepentingan selain daripada kebenaran.

Keputusan seperti tidak mahu melaksanakan syariat, membenarkan kilang arak dibuka, menolak al-muqowamah (fatah di palestin suatu ketika sahulu), tunduk kepada kehendak dan desakan orang kafir, rasuah dan rompakan harta rakyat, itu semua contoh keputusan yang didominasi oleh kebatilan.

Ya, jika kita perhatikan dengan teliti, kebenaran bukannya langsung tidak wujud dalam individu sewaktu ia mengerjakan maksiat dan kebenaran bukannya langsung tidak terlintas dalam perbincangan masyarakat sewaktu keputusan membenarkan kilang arak dibuka, namun pelaksanaan jahiliah tetap dilakukan kerana lemahnya kuasa kebenaran dan kuatnya dominasi kebatilan.

Dan berulang seperti apa yang berlaku dalam pertembungan dalam individu, sebahagian dari masyarakat sangat kesal terhadap keputusan yang dilakukan sebabkan kebodohannya membiarkan penguasaan nafsu terhadap diri. Namun begitulah keadaanya, apabila kebenaran lemah, kita tidak boleh lari dari peraturan alam yang menetapkan, ia akan tunduk terhadap yang kebatilan yang lebih kuat.

Tinggallah penyesalan, kekecewaan, dan keluhan itu sendiri tanpa boleh mengubah keputusan yang akan datang.

Kita perlu kuatkan kebenaran. Kita perlu mendokong wahyu. Dan kebenaran tidak cukup kuat dengan islamnya seorang individu, bahkan ia harus dipikul oleh sebuah generasi yang benar benar meyakini, sanggup bekorban demi kebenaran dan mengoptimumkan segala potensi sehingga ia dapat meruntuhkan dominasi nafsu/taghut yang bukan sahaja didokong oleh pemahaman, bahkan sistem yang berada diperingkat antarabangsa.

Dengan apa kebenaran itu dikuatkan?

Dengan penyucian jiwa, pendidikan akhlaq, majlis zikir, kelas pemahaman Islam, dakwah, ukhuwwah, wehdah, jihad, (kekuatan nilai) dan kekuatan teknikal seperti kerajaan, media dan sebagainya.

Dengan itu, ia akan membentuk sebuah kekuatan bagi kebenaran dalam pertempurannya terhadap kebatilan pada peringkat masyarakat dan negara sehinggalah ia mampu menguasai keadaan, mendominasi keputusan dan menjadi penghala tuju terhadap sesebuah pelaksanaan dalam bermasyarakat.

Tidak lupa juga, adalah sangat penting untuk memutuskan segala faktor yang boleh memberi nafas kepada nafsu untuk terus hidup seperti program hiburan melampau, memberikan kuasa kepada yang tidak amanah atau musyrik, dan sebagainya, sepertimana juga pada peringkat individu, kita perlu memutuskan diri dari makan berlebihan, atau membiarkan diri tidak beraktiviti di masa kosong dan apa saja ruang yang memberi nafas untuk nafsu beraksi.

Kebenaran dan kebatilan adalah entiti yang sentiasa berlawan. Tak mungkin memberikan peluang kepada nafsu boleh membina kekuatan bagi kebenaran (seperti kisah abid yang mencuba arak dengan harapan timbul keinsafan). Adalah sangat penting bagi muslim untuk menyedari bahawa kebenaran yang dipikul sifatnya terputus dari mana mana aspirasi nafsu dan jahiliah (selain dari perhambaan kepada Allah).

Kebenaran dan kebatilan itu bertempur. Kita perlu kuatkan kebenaran dan jangan sekali-kali membantu kebatilan. Kita perlu putuskan diri dengan kebatilan.

Ya, saya tahu. Saya kenal pembaca saya, anda seperti saya, saya seperti anda semua, orang yang sangat kesal dengan keputusan keputusan yang telah dibuat oleh kepala masyarakat. Keputusan yang sangat jauh dari kebenaran, kerana lemahnya dominasi kebenaran.

Lemahnya dominasi itu sebab kita sendiri. 

Kitalah yang perlu membangunkan kekuatan al-hak dan memperjuangkan prinsip wahyu.

Kitalah yang harus melaksanakan kerja dakwah dan terus-menerus mentarbiah.

Sifirnya mudah saja.

Kuatkan kebenaran dan lemahkan kebatilan, dan mulakannya pada peringkat diri anda sendiri.

Pertama sekali, kalau kita benar-benar mahukan kebenaran menang di peringkat negara kita, kita mesti menangkan kebenaran pada peribadi kita sendiri.

Kalau kita mahu bebaskan negara dari dominasi kebatilan, kita wajib melepaskan diri kita sendiri dari dominasi nafsu terhadap jiwa.

Pesanan ini khas untuk diri saya, dan juga kawan kawan terutamanya orang muda. Barangkali sebahagian dari kita tak selesa mendengar nama Ustaz al-Banna, apa pun, dia pernah berpesan kepada mahasiswa dalam risalahnya, dia menyebut, wahai pemuda (yang penuh semangat inginkan perubahan), keutamaan kamu adalah diri kamu sendiri.

Wallahualam


*  *  *


Membangun Ummah Beragenda

Zaid b Zainur Rashid 
12 Feb 2013
Taman Guru Melayu








No comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

Rakan

My Blog List

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Meja Penulis

Tulisan yang disiarkan adalah pandangan peribadi. Jika tidak senang, anda berhak sepenuhnya untuk menutup atau beralih ke laman yang lain. Segala komentar dan kritikan yang membina amatlah digalakkan. Ulang siar diharuskan dengan meletakkan sebarang maklumat yang menyandarkan kepada blog atau penulis.

Baca, dengan Bismillah dulu, biar bermanfaat.

Sampaikan Ke Peti Email

Terjemah

Follow by Email

Risalah yang Dibaca

Labels

Followers

Blog Archive